Saturday, July 23, 2011

Hati si Jusoh: episod 20

Gayung Bersambut, Kata Berjawab

Satu pagi Ahad. Jack ajak Jusoh bawak dia round-round bandar Kuantan. Aduh, bab kena jadi tourist guide ni yang Jusoh paling tak reti sekali. Jusoh tak pandai nak bawak orang melancong, kalau nak bawak melencong mungkin boleh lah! Dalam duk fikir mana nak gi, sedar-sedar dah sampai depan Kompleks Teruntum. Jalan Haji Abdul Aziz. Lalu depan balai polis IPD Kuantan.

“Eh tu, tempat apa kat depan tu, bai? nampak macam menarik je...!” Jack bertanya sambil memandang ke arah sekelompok orang-orang di tepi padang, ada yang bersila atas tikar, ada yang mencangkung, ada yang duduk atas kerusi, ada yang berdiri mengcancang, ada yang mundar mandir gi mari gi mari.

“Ooh! Itulah taman kerang namanya. Tempat orang jual ubat. Dulu orang panggil tempat ni, ‘bawah pokok’ atau ‘pokok buluh’. Tempat klasik ni, Jack! Sejak zaman purba dah ada, seingat aku, masa Sipitung bunuh JWW Birch di Perak dulu, masa tu dah ada orang jual ubat kat sini....!”

“Ubat apa yang dia orang jual?”

“Macam-macam, Jack! mu sebut je nak ubat apa, semua ada...!”

Ya lah, semua ada! Jangankan ubat orang, ubat cicak dengan ubat lipas pun ada jual kat sini! Selama ni doktor duk pening satu dunia tak jumpa ubat aids dan selsema babi, cuba tanya kat taman kerang tengok, ubat aids ada jual tak? Adaaaaa..! Sampai pernah sorang penjual ubat kata, kalau sapu ubat dia, yang mati pun boleh hidup balik! Ingatkan bergurau, ya lah, kalau ada orang mati boleh hidup semula, susah juga! Nak buat kenduri arwah hari ketujuh hari ke empat puluh pun kelam kabut! Kejap mati kejap hidup, jenuh jugak anak-anak nak kena perabih duit buat kenduri tahlil. Yang senang pun mungkin bini tok imam, sebab kerap dapat cuti tak payah masak, imam dah pergi makan kenduri rumah orang mati! Rupa-rupanya orang jual ubat tu maksudkan mati pucuk! Dia jual ubat kuat! ceh!

“Eh, singgah sini jap, bai! nampak cam happening je..!”

“Ooh beres, tak ada hal! Nanti mu tengok sendiri ah, macam-macam benda ada jual. Hari tu ada sorang orang tua kan, dia jual air apa entah, isi dalam botol kecik, pekat macam gam kanji, dia kata air mani gajah! Ada jugak hamba Allah yang beli tu...!”

“Wuih! Air mani gajah betul ke...?”

“Entah..!! Kalau dia kelentong pun, orang mana tahu..? Tak ada sapa pun yang pernah tengok air mani gajah macam mana! Kalau sikit-sikit tu logik jugak, tapi yang dia bawak punyalah banyak! Yang belum masuk botol, ada penuh dalam satu bocong! Entah gajah kat mana dia rembat tak tau lah!! Kalu buleh kumpul air mani banyak tu, aku ingat mahu lima hari gajah tu melepek tak boleh bangun, lembik lutut! Kalau dia tadah air kencing kerbau pun, dia lebong kata air mani gajah, mana orang tahu, kan?”

“Ha ha ha ha....!”

Jusoh pun masuk parking kat tapak tempat orang jual makanan bulan puasa. Orang tak berapa ramai lagi. Kalau campur orang menjual dan orang membeli campur sekali dengan yang duk wat serabut gi mari gi mari, ingat adalah lebih kurang dalam 64 orang! Jack mengekori Jusoh berjalan kaki menyusur tepi orang jual buku terpakai second hand. Jack mencangkung sekejap, belek-belek buku yang betindih-tindan atas tikar kanvas. Jusoh tilik-tilik buku yang disusun atas meja. Banyak novel Inggeris. Buku melayu tak banyak sangat. Yang ada pun buku Mastika dan Variasari yang lama-lama. Yang lainnya banyak buku Fadilat Surah ini, Khasiat Ayat itu, zikir begini zikir begitu, Amalan bulan Muharram, Safar, lengkap sampai bulan Zulhijjah, ada jugak buku Panduan Amalan Wirid dan Doa Harian, complete dari pagi hari Isnin sampai malam Ahad minggu depan! Jusoh agak dalam setahun dua lagi, mungkin akan keluar buku amalan setiap jam pulak. Pukul 8 pagi zikir begini, pukul 9 wirid begitu, ish, kalau nak cukupkan sampai pukul 10 malam, bolehlah siap satu buku. Orang melayu kan memang kreatif dalam mereka-reka ‘ibadat’ dan memang punya idea yang bernas tentang tata-cara untuk dapat ganjaran itu dan ini dari Allah!

Sempat jugak Jusoh beli buku sebuah dua. Satu novel Srengenge karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad. Buku lama, cetakan pertama tahun 1973! Kalau harapkan nak beli buku gini kat kedai buku, alamatnya sama lah macam nak beli belacan kat kedai tayar! Kedai buku lebih berminat jual buku tentang bagaimana cara nak jadi jutawan ke, atau buku yang ajar cara buat duit dengan tangan je! Sebelum bayar, Jusoh periksa dulu untuk pastikan betul ke buku ni karya asal Shahnon Ahmad! Manalah tahu, dalam Malaysia ni ramai yang nama Shahnon. Budak kerja bank pun ada sorang, tapi Shahnon bin Mat Desa. Jusoh belek bab satu mukasurat pertama, baca ayat mula-mula : ‘Srengenge tersergam hodoh macam setan’.....! Ya, ya betul! Ini karya original Sasterawan Negara!

Srengenge nama sebuah bukit yang terletak dalam sebuah kampung di Sik, Kedah. Penduduknya kerja tanam padi. Masa tunggu padi itulah kebiasaan penduduk kampung melakukan aktiviti di bukit Srengenge. Menepuk pelanduk, menggetah punai, meracik tekukur dan menjebak landak.

Konflik timbul bila Awang Cik Teh menyuarakan hasratnya untuk tutuh, tebas, pugar, dan bersihkan bukit Srengenge. Daripada tersergam hodoh macam tu, baiklah buat kebun boleh tanam macam-macam. Keinginan Awang Cik Teh itu sudah tentu mendapat tentangan yang hebat dari sekelian warga kampung.

Sebenarnya tentangan terhadap cadangan Awang Cik Teh itu bukanlah sangat disebabkan takut tak dapat menepuk, menggetah, meracik, dan menjebak lagi. Ada sebab lain. Penduduk kampung percaya bahawa bukit Srengenge ada yang menjaganya. Ada penunggu! Ada datuk-datuk yang memeliharanya. Pantang dibuat tak elok terhadap bukit itu, nanti nahas akibatnya, seluruh kampung akan binasa! Itu di antara kepercayaan mereka. Itu adalah situasi yang biasa tergambar kepada penduduk-penduduk kampung, lebih-lebih lagi kampung yang berada di kawasan pendalaman. Mempercayai sesuatu kuasa selain dari kuasa Tuhan tanpa menafikan kuasa Tuhan itu sendiri!

Yang memperkuatkan lagi kepercayaan penduduk kampung kepada bukit Srengenge ialah apabila Imam Hamad diserang penyakit misteri selepas menyatakan setuju dengan cadangan Awang Cik Teh itu ketika pulang dari meracik tekukur di bukit Srengenge.

Useng ialah seorang tok bomoh yang ‘pandai’ mengubat penyakit pelik-pelik macam yang kena kat Imam Hamad. Gambaran watak Useng ini memang wujud dalam dunia realiti sebenar!

Melalui kebolehan Useng itulah penduduk kampung dapat tahu bahawa Imam Hamad telah ‘tertegur’ oleh penunggu bukit Srengenge. Useng sangat dipercayai oleh warga kampung. Maka bila mana katanya tertegur, maka tertegurlah punca Imam Hamad sakit itu. Tak mungkin akan ada punca yang lain. Pasti tertegur! Sahih! Dan bila Useng kata bukit Srengenge mesti dijamu, maka sekelian anak buah kampung Srengenge wajib mempercayainya tanpa bantahan satu apa pun. Bukit Srengenge mesti dijamu, baru Imam Hamad dapat sembuh seperti sediakala. Wajib dijamu! Tidak boleh tidak!

Selepas bukit Srengenge dijamu, Imam Hamad ditakdirkan meninggal dunia! Tapi penduduk kampung Srengenge tetap percaya kepada kuasa datuk-datuk yang menjaga bukit Srengenge. Tetap memuliakan bukit Srengenge. Barangsiapa yang cuba memugar Srengenge diibaratkan seperti meruntuhkan madrasah, atau mencabut batu nisan, atau mengoyakkan al-Quran. Sampai begitu sekali kepercayaan mereka! Dan pasti Imam Hamad telah melakukan kesalahan besar kepada bukit Srengenge sehingga begitu dahsyat sekali balasannya. Jangankan kata mahu memugar, berniat sahaja pun sudah seperti ibarat membunuh diri. Berdosa besar!

Kata pepatah, di mana ada khurafat dan tahyul, maka di situ akan tetap ada orang wahabi yang akan berusaha membenterasnya. Begitulah dengan kampung Srengenge. Setan menggunakan bukit Srengenge sebagai objek untuk menyesatkan seluruh penduduk kampung. Inilah yang barangkali Shahnon Ahmad tak nyatakan dengan terus terang, bahawa Awang Cik Teh dan Imam Hamad tu sebenarnya wahabi!

Selain Srengenge, Jusoh juga beli Kamus Nurul bahasa Arab-Melayu. Tebal sungguh. Berat dekat tiga kilo setengah. Jusoh memang minat buku tebal-tebal ni, kalau tak suka bacapun, Jusoh suka simpan buat pusaka! Kalau Jusoh mati pun, anak-anak tak adalah sampai bergaduh adik-beradik. Biasanya keluarga berbalah sebab berebut tanah, tak pernah dengar pulak ada kes tak bertegur adik beradik sebab berebut buku! Jack beli majalah Lonely Planet. Jack datang dekat dengan Jusoh sambil menunjukkan sebuah buku nipis di tangannya.

“Aku nak tanya, kau pernah baca tak buku ni, bai!”

“Ooh ni....! aku pernah baca, tapi baca sekali lalu gitu je!” Jusoh mengambil dari tangan Jack sambil membaca judul pada kulit buku : BERMAZHAB HARAM DAN SESAT? Pengarang Nahmar Jamil!

“Nah, ambik ah, murah! dua ringgit je...!” Jack mengejek dalam selamba.

“Uish, aku tak nak! jangan kata dua inggit, kalau dua posen pun aku tak beli!” Jusoh menolak sambil gelak.

“Apasal?” Jack bertanya sambil buat-buat terkejut. Terkejut tapi senyum! ceh, menyampah!

“Nanti ah, balik karang aku cerita.... haah! mu yang lebih tahu, Jack! mu kan orang Negeri Sembilan! Mu mesti sempat kenal dengan arwah ustaz Hashim Ghani! Kalau tak silap, ustaz Hashim ada tulis buku Gayung Bersambut untuk jawab buku Nahmar Jamil ni, kan?”

“Bukan Gayung Bersambut, tapi Kata Berjawab! Buku Gayung Bersambut tu untuk jawab fitnah Haji Abdullah Marzuki terhadap Ittiba’ as-Sunnah Kuala Pilah. Yang fitnah dari Nahmar Jamil ni, ustaz Hashim jawab dalam buku Kata Berjawab!”

“Oowh gitu..! Ish, menarik jugak ni... nanti sambung cerita ni, Jack! kalau tak silap, Nahmar Jamil siap cabar ustaz Hashim Ghani berdebat depan-depan, ye ke Jack?”

“Tak tahu lah sapa cabar sapa, tapi memang pernah bersemuka lah. Masak Nahmar Jamil kena buli. Dia tu mana boleh debat, bai! Aku dengar cerita, dia emosional habis, siap tumbuk meja tu! Habis nak sangat lawan dengan ustaz Hashim! Orang tua tu, dalam dada penuh dengan ilmu Qur’an Hadis, Nahmar Jamil tu bukan ustaz pun! Dia penulis. Tulis sajak, tulis puisi, tulis pantun, itu je! Alaaah, kalau kau ingat, bai... Dr Asri pernah debat dengan Astora Jabat dulu kan? Haa lebih kurang macam tu lah! Nahmar Jamil ni macam Astora Jabat je! Dia tak ada hujah, bai! banyak merapu! Kalau kau dah baca buku dia ni, kau sendiri tahu lah!”

“Huh, itu yang buat aku sayang ke mu, Jack! Haha..! Memang betul. Nahmar Jamil tulis memang teruk, dia kutuk ustaz Hashim Ghani... gila punya kutuk! Habis-habisan! Dalil entah apa-apa, hujah pun merapu, yang banyaknya fitnah, tuduhan, dan andaian buruk. Dia pakai hentam ikut dang je! Kalau mu pernah baca buku ’50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM’ oleh Khalid Jefri, buku Nahmar Jamil ‘Bermazhab Haram dan Sesat’ ini pun lebih kurang sama selekeh dengan buku 50 Dalil! Aku rasa Nahmar Jamil ni tersilap lah, Jack! Aku agak masa tu dia tak kenal betul-betul lagi siapa ustaz Hashim, tapi dia dah tak sabar nak tunjuk hero. Mungkin dia ingat Hashim Ghani sama macam Kassim Ahmad! Atau pun dia ni memang kurang cerdik, dia sangka kalau tak ikut mazhab, maknanya orang tu anti Hadis dan terkeluar dari Islam! Aku ingat-ingat lupa, masa kita sekolah menengah, Nahmar Jamil ni pernah debat dengan Kassim Ahmad dalam Harakah. Memang ramai orang sokong dia, sebab semua orang tahu Kassim Ahmad tu anti Hadis! Jadi, mungkin Nahmar Jamil ni ingat, kalau dia hentam ustaz Hashim pulak kali ini, tentu lebih menaikkan nama dia! Rupanya dia yang kena belasah dengan orang tua tu! Agaknya itu yang sampai tumbuk meja tu kot!”

“Kau tahu tak, bai! aku pun fikir sama macam yang kau!! Bagi aku, Nahmar Jamil ni kan, fikrah dia memang suka berbahas! dan dia suka mencari populariti dengan isu-isu kontroversi. Dia nak tunjuk terer, sebenarnya! Dia harap ramai yang akan sanjung dia lepas tu...!”

“Haji Abdullah Marzuki tu sapa, Jack? Nama macam tak glamour je!”

“Dia tu penceramah. Tapi tak pasti lah samada penceramah bebas atau tak bebas. Tunggu balik nanti aku sambung! Cerita ni panjang, bai! kena ikut kronologi.”

Kedua-duanya terus menyusur melewati meja jual beg duit. Lawa-lawa jugak. Semua cap gajah. Jusoh malas tanya tuan dia samada itu kulit betul atau tiruan, sebab dah tahu jawapannya. Wajib tuan dia akan jawab semua dompet tu genuine leather dibuat dari kulit gajah! Harga? Biasalah, harga mati, tak boleh tawar! Kurang lapan puluh ringgit seratus!

Jusoh dan Jack meneruskan langkah. “Mari mari pilih pilih! Janda baik kota Mekah, barang baik harga murah! Janda baik kota Mekah, barang baik lambung tak pecah! Mari pilih mari pilih!”

Ceh, ingatkan apa, rupanya jual jam tangan! Tapi semua branded woo! Rolex, Omega, Tag Heuer, Casio, Orient, bahkan jam tangan Adidas pun ada! Harga semua bawah pada RM1,000!! Model Rolex yang harga RM12,000 kat kedai jam pun, kalau beli kat taman kerang bolehlah dapat murah sikit. Paling tinggi pun dapatlah harga RM50. At least dah save 11,950 ringgit! Not bad! Better than nothing, right? Cukup lah tu, sapa nak bagi, kan? Kalaulah ada pelancong dari Swiss yang singgah kat sini, harus terkena demam kura-kura sebab terkejut tengok harga jam Omega kat taman kerang baru USD12 satu! Tiga ratus dua puluh sembilan kali ganda lebih murah dari harga yang dijual di pasar malam di Switzeland!!

Ada dua tiga orang jual senjata dan keris lama. Macam-macam bentuk macam-macam gaya. Keris 7 luk, 5 luk, keris tak ada luk, lading, parang, golok, segala macam mak nenek punya pisau, semua diatur atas meja. Itu yang atas meja! Hanya Jusoh dan beberapa orang lama saja yang tahu. Kalau selak kain alas meja, mesti ada satu beg tersorok bawah meja. Kalu bukak zip beg tu, ada barang dibungkus dalam suratkhabar cina. Dijual kepada orang-orang tertentu yang dipercayai sebagai genuine buyer sahaja. Orang yg tak kenal dia tak jual. Manalah tahu kot-kot ejen FBI yang menyamar, nahas! Bila bukak kertas suratkhabar, tengok-tengok, nah..! kapak kecik, kapak bungkus, buku lima, lawi ayam, badik, kerambit, dengan berbagai macam rupa bentuk!

“Lawi ayam ni, kita nak, Pok! Dah nak bayar berapa ke Pok ni?” Jusoh tanya separuh berbisik.

“Ambo royat terus terang... bare ni, kalu dengan ore lain, duo ratus ambo tak lepas lagi! Sungguh! Tapi sebab ambo nak saing lamo dengan demo, jadi gini ah... demo bayar seratus sudah! Ambo kalu dengan demo, buke nak niago sangat, kiro nak saing jah..!” Pok dah keluar ayat power dia, sambil matanya melilau kiri kanan, takut-takut ada inspektor sahab tengah skodeng urusniaga ‘pasar hitam’ itu.

“Ada 50 rial je, Pok... buleh? hehe!”

“Hiiish, demo gak... jange gak wat nayo ke ambo lagu ni... tambah ah 10 rial lagi, boh...!” Pok senyum temewek sambil cuit janggut Jusoh. Bergurau!

“Hahaha..! ok ah! 60 rial, deh? bungkus sikit, Pok! takut orang nampak.”

“Simpan molek ni, boh! Jangan bagi anak main, tajam ni! Binjai manis tak ser ko?”

“Uh, kapak ambe takmboh, ada dah kat umah...!”

Masuk ke tengah lagi, ada orang jual cincin. Batu delima, zamrud, nilam, batu akek, semua ada! Berlian Jerman pun ada! Silap-silap emas Argentina pun ada kot! Tuan cincin nampak Jusoh pakai cincin batu warna hijau. “Comel zamrud, bos! Acu bawak mari jap, nak tengok...!” Jusoh pun tanggalkan cincin pada jari, bagi kat taukeh cincin. “wooih, kalu mata zamrud lagu ni, kat tempat lain takdok jual ni! di Tranung je ada zamrud gini!”

Betul lah tu! Memang Jusoh beli cincin tu di Terengganu pun! Pandai sungguh orang tu, tengok batu pun dah tahu beli kat mana! Jusoh memang tahu pakai je! Yang Jusoh tahu, batu cincin dia warna hijau, itu je! Kalau orang kabo batu kapur pun Jusoh caya. Ye lah, kata orang, kalau berkawan dengan penjual minyak atar, sikit sebanyak tempias juga bau wangi kat kita. Tapi kalau berkawan dengan orang jual batu cincin, nak tak nak, terikut juga perangai Gurkha sikit-sikit. Padahal pakai cincin bukan apa pun, buat lawa je. Tapi kalau sekali-sekala terlupa pakai, mulalah gelisah tak senang duduk rasa macam terlupa gosok gigi! Macam Gurkha hilang cincin!

Jack terkejut tengok pil Viagra pun ada jual! Dia tanya Jusoh, kalau try sekali macam mana? Hish, Viagra yang original pun Jusoh tak berani nak cuba, inikan pula yang ejaannya ‘Viagro’! Viagra versi Siam!

Orang makin ramai. Suasana makin riuh dengan suara penjual ubat yang berbaur dan bersahut-sahutan menyampaikan tazkirah dalam halaqah masing-masing. Jusoh mengamati satu persatu. Masing-masing ada cara tersendiri untuk tarik perhatian orang-orang. Dan macam biasalah, daya tarikan itu tak ada kena-mengena langsung dengan ubat yang dijual. Ye lah, buat pertunjukan ular tedung, bukan main hebat, ular tu berdiri, belit tuan dia, cium pipi tuan dia yang tak licin langsung tu, alih-alih jual sabun ubat gatal. Ceh! Lari tajuk terus.

Dua minggu lepas, Jusoh ada beli ubat kat sini. Ma’jon ikan belacak. Yang jual tu orang Kedah. Katanya dia lah orang pertama yang jual ubat tu dalam Malaysia. Dah dekat 30 tahun berniaga. Ubat nombor satu tiada tandingan. Dia siap bawak ikan belacak hidup 4-5 ekor isi dalam balang. Sekor belacak hidup dia nak jual RM50! Katanya lagi, kalau telan ikan tu hidup-hidup, kita punya benda tu tak akan mati sampai kita mati! Kata dia lah. Dia buat ma’jon, jual 10 ringgit sebotol. Siap bagi nombor alamat dan nombor telefon. Kalau ubat tak menjadi, telefon je dia, dia akan pulangkan balik duit yang kita bayar! Ceh, harga 10 ringgit, dia duduk di Kedah, dah tentu tak ada orang Kuantan yang telefon. Agaknya dah kaya dia tu hasil jual ma’jon ikan belacak selama 30 tahun.

Tetapi... Hari ni pakar ikan belacak tu ada lagi kat taman kerang... tapi, dia jual perfume lelaki pulak dah! Drakkar, Brut, Polo, Versace, Dunhill, Gucci, semua import! Harga pun sama dengan sebotol ma’jon, RM10! Agaknya, dalam dua minggu lagi, kalau pergi gerai buah, harus jumpa lagi dia ni jual limau madu pulak!

Ada sorang tu, cakap slang Indon, baru sampai, dia pegang kertas tangan kiri, tangan kanan pegang lighter, dia pun bersyarah : “Ya tuan-tuan! Ini kertas... (dia pun bakar kertas dengan lighter).. kertas dibakar menjadi abu, ya..! Abu dibakar menjadi abu bakar...!”

Lepas tu, dia punya bersyarah, pergh! sekali dengar sebijik macam Syeikh Nurudin al-Banjari, ustaz Indonesia yang datang ke Malaysia untuk bersyarah tentang khasiat kayu koka dan mengajar cara bersalam untuk masuk syurga tu! Ingatkan jual apa, rupa-rupanya... ceh! pil vitamin 21st Century! Kat farmasi berlambak ada jual vitamin gitu.

Yang kat tengah makin meriah nampak... “......sekok sebok kembong berak tak lawas, angin medu, uluran, anak kencing malam....!” Aceh ceh ceh! Ingatkan jual ubat apa, rupanya batu geliga!

“Kalau anak menangis malam-malam, kena sawan, kena sampuk, kena tegur.... caranya, baca bismillah 3 kali, rendam batu geliga dalam segelas air, tunggu 5 minit, ambik air isi atas tapak tangan, baca selawat 3 kali, sapu pada kepala anak... Insya Allah, sampai bila-bila pun sang kelembai tak berani nak ganggu anak kita. Itu kalau anak menangis malam! Kalau mak menangis pulak, macam mana? Kalau mak menangis lagi senang, tuan-tuan! Tak payah rendam batu geliga, petuanya kena panggil ayah, insya Allah selesai masalah! Batu geliga ada pada ayah!”

Aduuh macam-macam! Tengok belah sana pulak.... “Suami balik kerja, badan letih, kepala pening, ketiak hangit... balik balik tengok isteri berkemban kain batik, baju tak pakai, bulu ketiak berceracak, dengan bedak sejuk bertempek-tempek kat muka... suami nak hiburkan hati, nak bergurau senda dengan isteri, cium cium bau macam tikus mampuih....!” Ceh, jual bedak rupanya! Patut lah.

“Banyak omong banyak bohong! Banyak kata banyak dusta! Banyak cakap banyak silap!” Tu dia! Padahal dalam ramai-ramai orang jual ubat tu, dia yang cakap paling banyak sekali!

Tengok belah hujung sana tepi Jalan Bukit Ubi lagi meriah. Penuh orang berkerumun, padahal orang jual ubat tu baru je sampai. “Saya baru balik dari Golok. Petang semalam di Kota Bharu, pagi ni singgah Kuantan. Ada barang baik, tapi saya bawak tak banyak, cuma ada dalam 50 botol! Saya biasa jual ubat ni harga sepuluh ringgit satu botol. Kalau ambik lima botol, saya bagi hadiah satu! Tapi hari ni....! Jangan bayar sepuluh ringgit, jangan bayar lima puluh ringgit! Hari ni, saya nak bagi percuma sorang satu sorang satu sorang satu! Sempena promosi, free of charge tak payah bayar duit.

Ubat apa tu abang? Namanya sex-top! Untuk apa abang? Untuk orang lelaki yang tidur susah nak bangun! Puas kejut, puak gosok, puas tarik... ada yang memang tak boleh bangun... ada yang bangun sekejap, tapi tak boleh terkejut sikit, dia tidur balik! Puas-puas kejut, baru nampak gaya nak bangun, anak bujang jiran sebelah pulak start motor. Bunyi preng! dia pun terkejut terus tidur balik! Kejut lagi, nak bangun pun terkial-kial macam beruk jantan naik basikal, tiba-tiba gedegang! buah kelapa jatuh atas atap. Kalau tadi kawan tu tidur, sekarang terus pengsan! Nak main bola tapi depan gol sepak penalti bola tak masuk! Nak belayar di tengah lautan, tapi layar patah bot hanyut lemas terkapai-kapai berenang tak sampai ke tepian. Ada yang lima minit, ada yang satu minit, ada yang langsung tak ada minit. Moyok macam arnab tak dapat kangkung! Hari ini..! saya nak bagi hadiah percuma pakai ubat sex-top! Semalam saya berniaga di Kelang. Orang ramai macam ulat! Saya buka 30 minit, habis licin 200 botol! (ceh! tadi kata baru balik dari Golok).

Ada sorang abang, tiba-tiba datang tanya saya, abang jual ubat apa, bang? Saya jawab ubat sex-top! Dia tanya lagi, abang jual berapa harga satu botol, bang? Saya jawab sepuluh ringgit satu botol. Dia kata, ish mahal lah bang! saya beli kat supermarket, botol besar ni haa (sambil tunjuk botol air mineral besar), baru enam ringgit lebih..! Saya tanya, ubat apa kau beli? Shelltox lah! Shelltox kepala hotak kau! Itu ubat nyamuk! Kalau sembur pada anu, nanti telur kau pulak yang menetas!”

Tiba-tiba.... krek kreeek, krek kreeek...! hanphone Jusoh berbunyi.

“Hello, ayah kat mana?”

“Kat bandar!”

“Ya lah, bandar tu besar... ayah ada area mana?”

“Taman kerang... tempat orang jual ubat!”

“Ayah nak beli ubat ke?”

“Tak lah. Ayah nak beli tayar kereta...!”

“Hahaha...! ayah, ibu suruh balik!”

“Hish! Baru pukul berapa? Ayah dah mandi dah tadi!”

“hahahaha...! bukan balik mandi lah..! Kawan ayah datang rumah...!”

“Siapa?”

“Entah, ramai sangat! Tiga bijik kereta. Uncle Rosman pun ada.”

“Ok, ayah on the way balik ni, dah dekat nak sampai rumah dah...! (ceh, padahal belum masuk kereta pun lagi).

Jusoh pun terus bagitahu Jack ajak balik. Ada tetamu kat rumah. Aduh, tak sempat nak cerita habis kisah orang jual ubat. Dalam kereta Jack cerita tentang buku Gayung Bersambut dan kisah debat Nahmar Jamil dengan ustaz Hashim Ghani. Sampai rumah, lagi panjang cerita. Rosman bawak geng pondok tareqat datang rumah Jusoh! Semua akan diceritakan dalam episod akan datang.

Demikian adanya.
Bersambung..