Thursday, April 28, 2011

Hati si Jusoh: episod 10

Pisang Kelat Siam

Pukul 5.42 petang. Cuaca hari ni dok lah berapa panas sangat. Orang Tranung kata jo’ong sejak tengahari tadi lagi. Jusoh ajak Rosman gi minum di Tanjung Lumpur lepas balik kerja. Jumpa di kedai Pok Su depan pondok polis Peramu. Petang-petang gini kalu kena bubur kacang ke, bubur pulut hitam ke, lompat tikam ke, sedap gak. Laksa kuah putih pun buleh tahan. Ketupat sutong pun ada. Macam-macam makanan ada, yang ringan yang berat ada belaka. Bingka ubi bungkus daun pisang, tepung pelita, bronok sagu, onde-onde, tiri mandi, woh gomok, belebab pisang.... ish banyak ah, dok cakak nak bilang!

Sedang molek Jusoh baru je tubik dari kereta, Rosman pun sampai, terus parking sebelah kereta Jusoh di tepi pagar balai polis. Ramai sungguh orang, tapi mujur ada meja kosong belah hujung sekali, dekat dengan tempat panggang pulut lepa.

“Owoh, lama dok nampak orang kita! Guane koho lama koho semart ning!!” Pok Su tokey kedai tegur Jusoh dengan ramah. Lepas mintak air, Rosman bangun ambik ketupat goreng, paung ubi, dan temosa letak dalam pinggan bawak ke meja, sebagai mukadimah sebelum mintak makanan lain. Rosman pun kalu bab makan lebih kurang Jusoh gak, handalan sungguh. Memang peseng orang Tranung jenis berahi makan kot!

“Soh, Pok Su ni orang Tranung kita gak ke?” Rosman tanya Jusoh. Mungkin sebab dia tengok cara Pok Su gurau ngan Jusoh tadi ada bunyi buah Tranung.

“Ya ah, orang Ru Rendang ke orang Kijing... dekat-dekat situ ah!”

“Owh, orang Marang. Patut pun banyak makanan Tranung sini.”

Jusoh mintak nasi dagang. Rosman makan laksam, lepas tu tambah bubur caca pulak.

“Soh, kalu bulan puasa mu biasa sembahyang tarawih kat mana?” Tiba-tiba Rosman mengajukan soalan pop kuiz dengan bersahaja, sambil tangannya duk gaul ulam dengan belacan dalam kuah laksam. Takdok tama’ninah langsung! Jusoh pun pelik, apa kaitan bulan puasa dengan belacan pulak? Kalau bubur lambuk tu logik jugak.

“Di surau kat umah aku lah... bakpe tiba-tiba tanya sembahyang tarawih, puasa lambat lagi kang!” Jawab Jusoh selamba. Sebenarnya Jusoh buleh agak, Rosman mesti nak buat perangkap speed trap ni!

“hahaha..!” Rosman gelak menganjing, sebijik macam Mahmud Jun.

“Bakpe mu suka?” Jusoh bertanya, tapi mukanya tak pandang Rosman sebab tengah ralit suap nasi dagang masuk mulut. Kusyuk dan tawadhuk sungguh cara Jusoh makan.

“Orang wahabi pun sembahyang tarawih jemaah jugak ke? Kan bid’ah tu...!” Ambik nak! Mari dah buah nyekit, Rosman terus bagi selalu atas butir. Tak dok main tunggu lama-lama. Malas main bunga silat pulut ngan Jusoh, Rosman terus pepah dengan seludang nyor mamba je!

“Bid’ah mende pulak? Siapa yang kata bid....” Owoh, Jusoh tergigit lada jarum dalam kuah nasi dagang pulak dah! Pedas dessit sampai berair mata. Dia cepat-cepat ambik air, tak dang sedut dengan straw, terus togok gitu je!

“Laaa... kan wahabi kata semua bid’ah sesat! Saidina Umar pulak kata sembahyang tarawih berjemaah tu bid’ah... Saidina Umar tak salah, sebab dia kata itu bid’ah yang baik...! Wahabi yang pandai-pandai kata tak ada bid’ah hasanah. Takkan Umar al-Khattab sesat pulak!” Rosman terus menyerang dengan nada suara separuh menganjing sambil senyum macam kambing bor.

Jusoh terdiam agak lama. Sebenarnya bukan tak tahu nak jawab, tapi rasa malas pulak, sebab dah tahu kes akan jadi panjang. Kalu Jusoh speaker dewan dok apa, gantung je Rosman jangan bagi masuk parlimen macam Pandikar Mulia selalu buat tu... kalau dulu, orang jual dadah dan bunuh orang je yang kena gantung, tapi sekarang jadi wakil rakyat pun kena gantung jugak!

“Mang, mu tahu apa pasangan kata lawan, dosa...?” Tiba-tiba Jusoh tanya soalan skima.

“Pahala!” laju je Rosman jawab.

“Syurga...?”

“Neraka!” Dalam hati Rosman kata, ceh! Soalan kacang kuda. Nak makan butir nangka rebus lagi susah!

“Sunnah...?”

“Haram... eh..! Makruh!”

“Makruh kepala korok mung! Aku tanya sunnah, bukan sunat....! Mu tahu dok sunnah tu apa benda? Sunnah ialah Hadis Nabi SAW! Samada perbuatan atau perkataan dari Nabi, itulah sunnah! Lawan sunnah ialah bid’ah! Bukannya yang kalu buat buleh pahala kalu tinggal tak berdosa tu... itu sunat! Mu keliru kat sini lah, Mang! Sebab ejaan dalam bahasa Arab sama. Patutlah bila sebut sunnah mu anggap itu perkara remeh temeh dan tak berapa penting, sebab mu tak faham, mu ingat sunnah tu.. er... pakai jubah..! lilit serban..! jilat jari lepas makan..! pakai celak mata...! makan sireh...! tonyoh gigi dengan kayu sugi depan orang ramai...! Memang mu berasa tak ikut sunnah pun dok apa, sebab mu ingat sunnah tu benda sunat je..!! Sunnah tidak semestinya sunat, Mang! Sunnah ni, hukumnya ada yang wajib, ada yang sunat, ada yang makruh... Lawan sunnah ialah bid’ah! Andersteng?”

Jusoh start injin je terus preh minyak...

“Ada ke sunnah wajib?” Suara Rosman tiba-tiba jadi macam orang tongong.

“Bakpe takdoknya? Satu contoh, sabda Nabi SAW ‘sollu kamaa ra’aitumuni usolli’, maksudnya solatlah kamu sebagaimana kamu lihat cara aku solat... itu wajib! Apa mu ingat solat ikut cara Nabi tu sunat ke? Wajib Mang, wajib!! Kita wajib solat ikut cara Nabi! Bukan sunat!”

Rosman nganga tak dang mikir nak jawab mende... memang dia tak pernah spot soalan macam ni pun yang akan keluar. Dia study tajuk lain, keluar soalan topik lain. Ish, buleh kuah lagi ke petang ni?

Jusoh menambah, “mu tahu dok solat tarawih berjemaah di masjid adalah sunnah Nabi? Dan solat tarawih sendiri di rumah pun sunnah juga? Sebab Nabi pernah mengerjakan solat tarawih berjemaah di masjid, dan pada malam yang lain baginda juga solat tarawih di rumah. Jadi kedua-duanya sunnah!”

“Ya lah, itu aku tahu....”

“Dah tu, kalu dah tahu sunnah, bid’ah apa bendanya? Sunnah tetap sunnah lah, bid’ah tu lawan sunnah!”

“Saidina Umar yang kata bid’ah hasanah, itu macam mana?”

“Makna bid’ah ada dua, Mang! Samada pengertian dari segi lughah, atau bid’ah dari segi istilah syarak. Macam juga perkataan ulamak. Dari segi bahasa, ulamak maknanya orang yang berilmu. Tetapi dari segi syarak, selain berilmu, mesti beriman dan bertaqwa kepada Allah. Kalu ikut pengertian ulamak dari segi bahasa, Samy Velu pun boleh jadi ulamak! Bid’ah yang disebut oleh Umar itu adalah dari segi bahasa, atau lughah. Mana mungkin Umar maksudkan bid’ah dari segi istilah, sebab solat tarawih berjemaah telah dilakukan oleh Nabi SAW sebelum itu! Aku ulang, solat tarawih berjemaah itu sunnah hasanah, bukan bid’ah!”

“Ok lah... itu bab solat tarawih. Macam mana dengan penyusunan dan pembukuan Qur’an? Masa zaman Nabi tak dok lagi mushaf al-Qur’an ni... kalau ikut istilah bid’ah puak wahabi, menyusun dan membukukan Qur’an tu pun bid’ah! Takkan itu pun sesat?! Sebab tu aku kata ada bid’ah yang dibolehkan, itulah namanya bid’ah hasanah, tapi mu tetap berpegang semua bid’ah sesat. Aku nak tanya, membukukan al-Qur’an tu sesat ke?” Rosman mula cari selekoh nak konar leper tajuk lain pulak.

Jusoh mintak air sirap bandung satu lagi, Rosman air kosong. Lepas tu Jusoh suruh bungkus sotong goreng celup tepung nak wat balik ke anak.

“Mang, kalu aku kata mu ni cak-do-do kang, mu marah pulak...! sebenarnya mu tak faham apa makna bid’ah... selagi mu tak faham makna bid’ah, aku cerita sampai lembu tumbuh belalai pun tak guna! Yang orang uduk kata bid’ah, bid’ah ni maksudnya ibadat yang baru! Ibadat yang direka oleh orang kemudian... ‘baru’ maksudnya yang tidak pernah dibuat oleh generasi salaf! Salaf ni maknanya tiga kurun terbaik yang dijamin oleh Nabi... zaman sahabat, tabi’in, dan tabi’ tabi’in..! Ibadat yang direka selepas tiga zaman ni lah yang dikatakan bid’ah! Apa yang dilakukan oleh para sahabat, di zaman Khulafa ar-Rasyidin pulak tu, itu bukan bid’ah! Faham dok? Ada Hadis Nabi SAW, maksudnya, hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan sunnah khulafa ar-rasyidin yang mendapat petunjuk....!” Jusoh dah jadi macam ultraman dah, kira nak sembur api saja!

“Dok kira ah! Aku tetap berpegang bahawa ada bid’ah hasanah dalam Islam. Contoh paling senang ialah membukukan al-Qur’an! Zaman Nabi tak dok kitab kitab ni, semua sahabat hafal Qur’an dalam dada je! Habis tu, membukukan Qur’an pun bid’ah lah! Kalu mu kata semua bid’ah sesat, baca Qur’an pun sesat lah..!!!” Rosman yakin inilah hujah paling kukuh dalam mempertahankan bid’ah hasanah, dan dia rasa Jusoh tak berapa reti sangat nak jawab pasal ni.

“Tahu pun mung, masa zaman Nabi, Qur’an dalam dada sahabat... habis yang mu pernah kata ada hadis kalu nak sentuh Qur’an wajib ambik air sembahyang tu, hadis timbul ikut celah mana?” Sempat lagi Jusoh konar. Dalam konar pun, dang jugak bubuh sikit...

Nampak macam Rosman cuba nak kata sesuatu, tapi suara dalam tekak tak keluar. Dalam duk oh-ah oh-ah gitu, Yusof menyambung, “Mang, siapa yang kata membukukan al-Qur’an itu bid’ah? Ok, mari aku nak cerita ke mu... Masa Nabi masih hidup, baginda dah lantik beberapa orang sahabat yang reti menulis suruh catatkan ayat-ayat Qur’an. Para sahabat yang dilantik itu dipanggil al-kuttab. Kalu ikut kitab sejarah Tarikh-i-Damsyiqi oleh al-Hafiz Abu al-Qasim, al-Kuttab yang dilantik oleh Nabi sendiri ada 23 orang. Kitab tu siap catitkan nama sorang-sorang. Di antara nama yang aku ingat, selain Abu Bakar, Umar, Usman, Ali, ialah....” Jusoh mengira dengan jari satu persatu, “Zubir bin Awwam... Ubai bin Kaab... Zaid bin Sabit... Muawiyah bin Abu Sufyan... Muhammad bin Musallamah... Arqam bin Abi Arqam... Ibban bin Said... Khalid bin Said... Sabit bin Qais... Hanzalah bin Rabia... Khalid al-Walid... Abdullah bin Arqam... Abdullah bin Zaid... Alla’ bin Utbah... Mughairah bin Sa’ba... Syurahbil bin Hasanah... er.. tiga orang lagi aku tak ingat. Tapi yang menulis ayat Qur’an paling banyak sekali ialah Zaid bin Sabit dan Muawiyah bin Abu Sufyan!”

Rosman tergamam. Moyok terus macam ayam kena gigit di kutu babi! Memang dia tak tahu langsung pun pasal ni. Dan yang buat dia tak terkata ialah sebab ada nama Muawiyah tu. Setakat yang Rosman tahu selama ini, Muawiyah bin Abu Sufyan adalah seorang yang zalim dan jahat!

Jusoh menambah, “Lepas Nabi wafat, masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar, berlaku gerakan murtad. Ramai sangat puak-puak sufi yang mengaku jadi nabi. Walaupun semuanya dapat dilumpuhkan atas jasa besar Khalid al-Walid, tapi masa perang dengan pasukan tareqat Musailamah al-Kazzab di Yamamah, bukan main ramai sahabat yang hafal Qur’an mati Syahid. Lalu Umar cadangkan kepada Abu Bakar suruh kumpulkan semua naskah-naskah ayat Qur’an yang ditulis itu. Abu Bakar pun lantik Zaid bin Sabit suruh jadi ketua. Lepas Abu Bakar wafat, naskah itu disimpan oleh Umar. Lepas Umar wafat, naskah itu disimpan di tangan Hafshah, salah seorang isteri Nabi, yang juga anak kepada Umar al-Khattab. Masa pemerintahan Khalifah Usman bin Affan, barulah naskah-naskah itu dibukukan. Jadi Mang, kalu mu rasa membukukan al-Quran itu satu perbuatan bid’ah, terpulang atas mu lah! Bagi aku, itu bukan bid’ah!”

Hari dah nak gelap. Tapi rasanya sempat lah sampai rumah sebelum maghrib. Mek Dayang call dua kali dah, tanya ada mana. Jeles ah tu, takut Jusoh gi ngorat orang lain. Rosman pulak kena bilas lagi hari ni, untuk kali yang kesepuluh. Muka Rosman pun dah macam pisang kelat siam dah. Kuat sungguh kewahabian Jusoh, fikir Rosman. However... eh... anyway, esok dia akan bagi soalan maut untuk Jusoh. Siap lah mu Jusoh!

Demikian adanya.
Bersambung...

Tuesday, April 5, 2011

Hati si Jusoh: episod 9

Amalan Malam Nisfu Sya'ban

“Aku cakap terus terang, memang aku tak puas hati lagi dengan mu, Soh...!” Jusoh baru je sampai, Rosman terus terjah tanpa mukadimah.

Petang tadi Rosman call Jusoh ajak jumpa di Restoren Rahmat Indera Mahkota pukul 9.30 malam ni. Kebetulan Jusoh pun free, setuju terus. Lagipun Rosman adalah kawan sekolah Jusoh. Kawan yang pernah sama satu sekolah menengah, satu asrama pulak tu, martabatnya lain, memang istimewa sikit jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang Jusoh kenal di tempat lain selepas meninggalkan alam persekolahan. Ranking atas sikit pada yang lain. Dalam apa benda hal pun, mesti bagi priority keutamaan kepada member satu hostel dulu. Mungkin sebab mereka menjalani proses pembesaran dan peremajaan hidup bersama-sama, jadi nilai hubungan keakrabannya tu berbeza dengan kawan lain. Ceh, panjang pulak Jusoh berangan sorang-sorang dalam kereta.

Rosman pun baru je sampai, tunggu Jusoh tak lama, tak sampai pun lima minit, ingat dalam tiga minit lebih je kot!

“Apa benda yang mu tak puas hati.. acu mu kabo...!” Jusoh rilek, sambil senyum sampai nampak lesung pipit kat pipi belah kanan. Matanya melirik nakal ke arah tiga orang awek di meja sebelah. Awek tu pun tersipu-sipu, mungkin ingat Jusoh senyum kat dia.

“Bila aku tanya mu mazhab apa, mu kata ahli sunnah wal jamaah, bila aku kata mu wahabi, mu kata bukan, kononnya tak tahu apa benda wahabi... tapi...!” Suara Rosman tersangkut.

“Tapi lembu sapi..!” Jusoh menganjing, tapi sambil lewa je. Tangannya lambai pelayan restoren, bagi isyarat nak order minum. Kopi o gelas besar, makan mee goreng basah, buat telur mata lembu satu, bawak air suam satu. Rosman makan nasi goreng pattaya dan minum air limau fresh orange.

“Ok, straight to the point lah... salah satu fatwa wahabi yang paling karut ialah membid’ahkan orang Islam yang beramal pada malam Nisfu Sya’ban. Aku nak tanya pendapat mu pulak, macam mana tu Soh...! aku nak confirm betul-betul samada mu wahabi ke bukan!” Rosman berkata agak serius dan berterus-terang, tak dok tapis langsung.

“Pasal fatwa tu, memang aku dok tahu! Ada ke apa-apa fatwa keluar atas nama wahabi? Aku tak pernah dengar, tak pernah baca pulak wahabi ada keluar fatwa!” Jusoh tenang. Sesekali mukanya memandang ke arah tv yang terpasang dalam restoren. Bola. Liga Sepanyol. Kelab Real Betis lawan... entah lawan apa ntah, tak nampak jelas. Betis lawan tulang kering kot!

“Semua ulamak-ulamak wahabi bagi pendapat kata amalan Nisfu Sya’ban tu bid’ah. Ustaz-ustaz wahabi di Malaysia pun bukan main, duk syarah ke anak murid dia kononnya sesiapa yang sembahyang sunat dan berdoa pada malam tu adalah bid’ah dan haram! Masuk akal ke, Soh? Dok logik langsung!”

“Laaa... itu pendapat dia. Biar je lah. Takkan bagi pendapat pun tak boleh? Sejak bila pulak Islam melarang umatnya mengeluarkan pendapat tentang agama? Mu ingat ulamak keluarkan satu-satu pendapat tu macam mana Mang? Mu ingat wartawan suratkhabar dan tv gi temuramah dia mintak pendapat ke? Ataupun wartawan mintak ulamak tu buat sidang akhbar ke? Bukan gitu, Mang! Para ulamak mengeluarkan satu-satu pendapat berdasarkan ilmu yang ada pada mereka. Pendapat itu tertulis dalam kitab siap dengan dalil dan hujah. Bukan main ikut dang je macam mangsa banjir di kedah nun, bila TV3 temuramah. Bukan main lagi komplen kerajaan Pas tak bagi ubat nyamuk lah, bagi tilam murah lah! Bukan gitu!!!”

Sesekali Jusoh menjeling makwe meja sebelah. Rasa macam pernah tengok. Budak UIA agaknya, sebab yang sorang tu kalau tak silap pernah nampak masa kuliah ustaz Rasul Dahari di rumah cikgu Munah kat Kubang Buaya. Memang ramai student UIA datang kelas sunnah. Lelaki dan perempuan.

Jusoh senyum sorang kalu teringat dia pernah tersilap orang. Dalam kedai buku MPH di East Coast Mall. Jusoh tengah belek-belek buku, ada anak dara kat rak sebelah, tengah tengok-tengok buku jugak. Sekali Jusoh pandang, awek tu senyum. Cari apa? Jusoh menegur dengan suara yang ada nada miang sikit-sikit. Cari buku lah, takkan nak cari ikan pulak, awek tu jawab selamba sambil tergelak. Mujur Jusoh tak dang jawab balik, awek tu tanya, pakcik datang sorang je ke? Alamak, dia panggil Jusoh pakcik daaa...! Ar ah, saya sorang je mak cik! Jawab Jusoh dengan jujur, tapi jujur macam ada makna je. Sekali awek tu tanya, anak-anak apa khabar, semua sihat? Laaa, dia kenal aku ke? Gigi Jusoh dah pucat. Pakcik J lama dah tak datang rumah, abah selalu sebut! Dulu kalau nampak abah kelam-kabut kait nyor muda atas pohon, lepas tu dok dang-dang suruh umi buat lempeng, kita tahu dah... kalau tanya, Abah mesti kata, Tok J nak mari!

Laaaaa... hahaha! Anak Pokde Spanar rupanya, kawan baik Jusoh yang duduk dekat Taman Satelit! Fuuuuuh, Jusoh rasa malu tak dok arah lah, dok tahu mana nak susut muka! Rasa macam nak pakai purdah je hari tu!

“Ok itu pendapat wahabi... mu pulak macam mana? Mu pegang pendapat wahabi ke pendapat mazhab Syafie?”

“Aku pegang pendapat yang mengatakan amalan Nisfu Sya’ban yang dibuat oleh orang Melayu, itu bukan dari tunjuk ajar Nabi SAW. Titik.”

“That’s why I told you before... yang you ni memang wahabi! But, tapi you denied...!”

“Hahaha... kang I kabo dah ke you kang...! Kalu wahabi tu maknanya orang yang pertahankan sunnah dan menolak bid’ah, I pun nak masuk wahabi!” Selamba badak je Jusoh menganjing.

“Apa yang bid’ahnya? Sembahyang sunat pun bid’ah ke? Zikir pun bid’ah ke? Baca doa pun bid’ah ke?” Rosman menyemburkan ayat antarabangsanya.

“Aku nak tanya mu, pasal apa nak kena tunggu malam Nisfu Sya’ban baru nak sembahyang sunat, nak zikir, nak baca doa?”

“Laaa... malam lain pun kita buat jugak, cuma kita lebihkan pada malam Nisfu Sya’ban, itu je! Takkan itu pun bid’ah!!”

“Nisfu Sya’ban tu malam apa sebenarnya? Ada kaitan dengan hari jadi Ahmad Nisfu dok? Hahaha..! Yang aku tahu, itu malam pertengahan bulan Sya’ban! Aku tak tahu pulak kalau ada apa-apa kelebihan malam tu.”

“Itu malam yang berkat! Mesti ada kelebihan ganjaran kalau buat amalan pada malam Nisfu Sya’ban!”

“Siapa yang janji kata malam tu ada kelebihan ganjaran? Ada sebut dalam Quran atau Hadis ke?”

“Dalam Quran Hadis aku tak pasti, tapi ustaz-ustaz dan tok imam pun duk buat selama ni, mesti ada dalil!”

“Aku nak tanya, selama ni masa mu duk beramal pada malam Nisfu Sya’ban, ada orang gi kacau dok?”

“Memanglah tak pernah kacau, tapi....”

“Hor dah, apa masalah mu dengan orang yang tak buat amalan Nisfu Sya’ban?”

“Puak-puak anak Wahab ni, dah lah dia tak nak buat, dia kata bid’ah pulak tu, itu yang buat aku sakit hati...!”

“Dia orang berpegang dengan dalil dan ilmu yang dia ada, dia bukan kira mu sakit hati ke dok! Kalau mu ada dalil daripada Nas yang mengatakan bahawa malam Nisfu Sya’ban ada kelebihan, atau mu ada dalil riwayat kata Nabi dan sahabat pernah buat amalan Nisfu Sya’ban, mu buat je lah, takdok orang nak gi larang pun! Tapi pasal apa mu sakit hati kalau ada orang tak nak buat?”

“Itu yang buat masyarakat Islam berpecah-belah....! Apa salahnya kalau kita semua pakat ikut mazhab Syafie, kan senang! Ini bawak ajaran yang pelik-pelik, bercanggah dengan yang tok nenek kita ajar, itu yang buat orang Islam jadi keliru...!”

“Mu kata wahabi tu pengikut Muhammad bin Abdul Wahab......!”

“Ya betul, semua orang kata gitu..!”

“Mu tahu ke dok, orang yang tak buat amalan Nisfu Sya’ban tu, mereka bukan ikut fatwa Muhammad bin Abdul Wahab pun.... tapi aku pegang pendapat Yusuf Qardawi!!! Bila orang tanya tentang Nisfu Sya’ban, Yusuf Qardawi jawab, amalan itu tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat....!!! Tidak ada riwayat yang kata bahawa Nabi dan sahabat pernah berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa tertentu, dan mengerjakan solat sunat tertentu... takdok!! Orang ramai pakat berhimpun lepas maghrib, baca Yasin ramai-ramai, sembahyang dua rakaat dengan niat panjang umur lah, dua rakaat lain dengan niat tidak bergantung kepada manusia, lepas tu baca doa tertentu yang direka sendiri dan bukan diambil dari sahabat, tabi’in, dan tabi’ tabi’in, itu semua bid’ah! Bukan aku yang kata, Yusuf Qardawi yang kata! Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam Nas. Segala kebaikan adalah mengikut salaf... salaf ni maksudnya 3 golongan tadi... setiap amalan yang sengaja diada-adakan adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat. Itu kata Yusuf Qardawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asarah... aku baca dalam kitab Mang, bukannya Yusuf Qardawi bagi pendapat masa interview dengan CNN!!!! Aku nak tanya, Yusuf Qardawi pun wahabi jugak ke?”

Seperti biasa Jusoh selalu motong tang konar. Last lap sokmo. Kalu tengok orang berlumba race motor, itu selekoh Rothman namanya. Rosman terkebil-kebil tak tahu nak jawab apa.... orang Temerloh kata, tak daya koi! Ibarat kalu tengok wrestling, Rosman macam Steve McMahon lepas kena buah sweet chin music ngan Shawn Michaels. Gitulah lebih kurang.

Malam telah larut. Awek tiga orang makan di meja sebelah pun dah balik. Sebelum balik tadi sempat jugak awek tu pandang Jusoh yang senyum sambil angguk kepala. Sebelum masuk kereta Kancil, nampak awek tu pakat duk main cubit lengan sama sendiri.

Persidangan ditangguhkan ke malam esok. Rosman masih belum dapat peluang terbaik untuk smash Jusoh. Selalunya dia menunggu bola tanggung, tapi yang dapat cuma bola tunggeng. Kata orang, jerat tak lupakan pelanduk, tetapi Rosman yang selalu lupakan jerat bingkas yang dia pasang sendiri.

Demikian adanya.
Bersambung...