Tuesday, April 5, 2011

Hati si Jusoh: episod 9

Amalan Malam Nisfu Sya'ban

“Aku cakap terus terang, memang aku tak puas hati lagi dengan mu, Soh...!” Jusoh baru je sampai, Rosman terus terjah tanpa mukadimah.

Petang tadi Rosman call Jusoh ajak jumpa di Restoren Rahmat Indera Mahkota pukul 9.30 malam ni. Kebetulan Jusoh pun free, setuju terus. Lagipun Rosman adalah kawan sekolah Jusoh. Kawan yang pernah sama satu sekolah menengah, satu asrama pulak tu, martabatnya lain, memang istimewa sikit jika dibandingkan dengan kawan-kawan yang Jusoh kenal di tempat lain selepas meninggalkan alam persekolahan. Ranking atas sikit pada yang lain. Dalam apa benda hal pun, mesti bagi priority keutamaan kepada member satu hostel dulu. Mungkin sebab mereka menjalani proses pembesaran dan peremajaan hidup bersama-sama, jadi nilai hubungan keakrabannya tu berbeza dengan kawan lain. Ceh, panjang pulak Jusoh berangan sorang-sorang dalam kereta.

Rosman pun baru je sampai, tunggu Jusoh tak lama, tak sampai pun lima minit, ingat dalam tiga minit lebih je kot!

“Apa benda yang mu tak puas hati.. acu mu kabo...!” Jusoh rilek, sambil senyum sampai nampak lesung pipit kat pipi belah kanan. Matanya melirik nakal ke arah tiga orang awek di meja sebelah. Awek tu pun tersipu-sipu, mungkin ingat Jusoh senyum kat dia.

“Bila aku tanya mu mazhab apa, mu kata ahli sunnah wal jamaah, bila aku kata mu wahabi, mu kata bukan, kononnya tak tahu apa benda wahabi... tapi...!” Suara Rosman tersangkut.

“Tapi lembu sapi..!” Jusoh menganjing, tapi sambil lewa je. Tangannya lambai pelayan restoren, bagi isyarat nak order minum. Kopi o gelas besar, makan mee goreng basah, buat telur mata lembu satu, bawak air suam satu. Rosman makan nasi goreng pattaya dan minum air limau fresh orange.

“Ok, straight to the point lah... salah satu fatwa wahabi yang paling karut ialah membid’ahkan orang Islam yang beramal pada malam Nisfu Sya’ban. Aku nak tanya pendapat mu pulak, macam mana tu Soh...! aku nak confirm betul-betul samada mu wahabi ke bukan!” Rosman berkata agak serius dan berterus-terang, tak dok tapis langsung.

“Pasal fatwa tu, memang aku dok tahu! Ada ke apa-apa fatwa keluar atas nama wahabi? Aku tak pernah dengar, tak pernah baca pulak wahabi ada keluar fatwa!” Jusoh tenang. Sesekali mukanya memandang ke arah tv yang terpasang dalam restoren. Bola. Liga Sepanyol. Kelab Real Betis lawan... entah lawan apa ntah, tak nampak jelas. Betis lawan tulang kering kot!

“Semua ulamak-ulamak wahabi bagi pendapat kata amalan Nisfu Sya’ban tu bid’ah. Ustaz-ustaz wahabi di Malaysia pun bukan main, duk syarah ke anak murid dia kononnya sesiapa yang sembahyang sunat dan berdoa pada malam tu adalah bid’ah dan haram! Masuk akal ke, Soh? Dok logik langsung!”

“Laaa... itu pendapat dia. Biar je lah. Takkan bagi pendapat pun tak boleh? Sejak bila pulak Islam melarang umatnya mengeluarkan pendapat tentang agama? Mu ingat ulamak keluarkan satu-satu pendapat tu macam mana Mang? Mu ingat wartawan suratkhabar dan tv gi temuramah dia mintak pendapat ke? Ataupun wartawan mintak ulamak tu buat sidang akhbar ke? Bukan gitu, Mang! Para ulamak mengeluarkan satu-satu pendapat berdasarkan ilmu yang ada pada mereka. Pendapat itu tertulis dalam kitab siap dengan dalil dan hujah. Bukan main ikut dang je macam mangsa banjir di kedah nun, bila TV3 temuramah. Bukan main lagi komplen kerajaan Pas tak bagi ubat nyamuk lah, bagi tilam murah lah! Bukan gitu!!!”

Sesekali Jusoh menjeling makwe meja sebelah. Rasa macam pernah tengok. Budak UIA agaknya, sebab yang sorang tu kalau tak silap pernah nampak masa kuliah ustaz Rasul Dahari di rumah cikgu Munah kat Kubang Buaya. Memang ramai student UIA datang kelas sunnah. Lelaki dan perempuan.

Jusoh senyum sorang kalu teringat dia pernah tersilap orang. Dalam kedai buku MPH di East Coast Mall. Jusoh tengah belek-belek buku, ada anak dara kat rak sebelah, tengah tengok-tengok buku jugak. Sekali Jusoh pandang, awek tu senyum. Cari apa? Jusoh menegur dengan suara yang ada nada miang sikit-sikit. Cari buku lah, takkan nak cari ikan pulak, awek tu jawab selamba sambil tergelak. Mujur Jusoh tak dang jawab balik, awek tu tanya, pakcik datang sorang je ke? Alamak, dia panggil Jusoh pakcik daaa...! Ar ah, saya sorang je mak cik! Jawab Jusoh dengan jujur, tapi jujur macam ada makna je. Sekali awek tu tanya, anak-anak apa khabar, semua sihat? Laaa, dia kenal aku ke? Gigi Jusoh dah pucat. Pakcik J lama dah tak datang rumah, abah selalu sebut! Dulu kalau nampak abah kelam-kabut kait nyor muda atas pohon, lepas tu dok dang-dang suruh umi buat lempeng, kita tahu dah... kalau tanya, Abah mesti kata, Tok J nak mari!

Laaaaa... hahaha! Anak Pokde Spanar rupanya, kawan baik Jusoh yang duduk dekat Taman Satelit! Fuuuuuh, Jusoh rasa malu tak dok arah lah, dok tahu mana nak susut muka! Rasa macam nak pakai purdah je hari tu!

“Ok itu pendapat wahabi... mu pulak macam mana? Mu pegang pendapat wahabi ke pendapat mazhab Syafie?”

“Aku pegang pendapat yang mengatakan amalan Nisfu Sya’ban yang dibuat oleh orang Melayu, itu bukan dari tunjuk ajar Nabi SAW. Titik.”

“That’s why I told you before... yang you ni memang wahabi! But, tapi you denied...!”

“Hahaha... kang I kabo dah ke you kang...! Kalu wahabi tu maknanya orang yang pertahankan sunnah dan menolak bid’ah, I pun nak masuk wahabi!” Selamba badak je Jusoh menganjing.

“Apa yang bid’ahnya? Sembahyang sunat pun bid’ah ke? Zikir pun bid’ah ke? Baca doa pun bid’ah ke?” Rosman menyemburkan ayat antarabangsanya.

“Aku nak tanya mu, pasal apa nak kena tunggu malam Nisfu Sya’ban baru nak sembahyang sunat, nak zikir, nak baca doa?”

“Laaa... malam lain pun kita buat jugak, cuma kita lebihkan pada malam Nisfu Sya’ban, itu je! Takkan itu pun bid’ah!!”

“Nisfu Sya’ban tu malam apa sebenarnya? Ada kaitan dengan hari jadi Ahmad Nisfu dok? Hahaha..! Yang aku tahu, itu malam pertengahan bulan Sya’ban! Aku tak tahu pulak kalau ada apa-apa kelebihan malam tu.”

“Itu malam yang berkat! Mesti ada kelebihan ganjaran kalau buat amalan pada malam Nisfu Sya’ban!”

“Siapa yang janji kata malam tu ada kelebihan ganjaran? Ada sebut dalam Quran atau Hadis ke?”

“Dalam Quran Hadis aku tak pasti, tapi ustaz-ustaz dan tok imam pun duk buat selama ni, mesti ada dalil!”

“Aku nak tanya, selama ni masa mu duk beramal pada malam Nisfu Sya’ban, ada orang gi kacau dok?”

“Memanglah tak pernah kacau, tapi....”

“Hor dah, apa masalah mu dengan orang yang tak buat amalan Nisfu Sya’ban?”

“Puak-puak anak Wahab ni, dah lah dia tak nak buat, dia kata bid’ah pulak tu, itu yang buat aku sakit hati...!”

“Dia orang berpegang dengan dalil dan ilmu yang dia ada, dia bukan kira mu sakit hati ke dok! Kalau mu ada dalil daripada Nas yang mengatakan bahawa malam Nisfu Sya’ban ada kelebihan, atau mu ada dalil riwayat kata Nabi dan sahabat pernah buat amalan Nisfu Sya’ban, mu buat je lah, takdok orang nak gi larang pun! Tapi pasal apa mu sakit hati kalau ada orang tak nak buat?”

“Itu yang buat masyarakat Islam berpecah-belah....! Apa salahnya kalau kita semua pakat ikut mazhab Syafie, kan senang! Ini bawak ajaran yang pelik-pelik, bercanggah dengan yang tok nenek kita ajar, itu yang buat orang Islam jadi keliru...!”

“Mu kata wahabi tu pengikut Muhammad bin Abdul Wahab......!”

“Ya betul, semua orang kata gitu..!”

“Mu tahu ke dok, orang yang tak buat amalan Nisfu Sya’ban tu, mereka bukan ikut fatwa Muhammad bin Abdul Wahab pun.... tapi aku pegang pendapat Yusuf Qardawi!!! Bila orang tanya tentang Nisfu Sya’ban, Yusuf Qardawi jawab, amalan itu tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi SAW dan para sahabat....!!! Tidak ada riwayat yang kata bahawa Nabi dan sahabat pernah berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Sya’ban, membaca doa tertentu, dan mengerjakan solat sunat tertentu... takdok!! Orang ramai pakat berhimpun lepas maghrib, baca Yasin ramai-ramai, sembahyang dua rakaat dengan niat panjang umur lah, dua rakaat lain dengan niat tidak bergantung kepada manusia, lepas tu baca doa tertentu yang direka sendiri dan bukan diambil dari sahabat, tabi’in, dan tabi’ tabi’in, itu semua bid’ah! Bukan aku yang kata, Yusuf Qardawi yang kata! Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam Nas. Segala kebaikan adalah mengikut salaf... salaf ni maksudnya 3 golongan tadi... setiap amalan yang sengaja diada-adakan adalah bid’ah, dan setiap bid’ah itu sesat. Itu kata Yusuf Qardawi dalam kitabnya Fatawa Mu’asarah... aku baca dalam kitab Mang, bukannya Yusuf Qardawi bagi pendapat masa interview dengan CNN!!!! Aku nak tanya, Yusuf Qardawi pun wahabi jugak ke?”

Seperti biasa Jusoh selalu motong tang konar. Last lap sokmo. Kalu tengok orang berlumba race motor, itu selekoh Rothman namanya. Rosman terkebil-kebil tak tahu nak jawab apa.... orang Temerloh kata, tak daya koi! Ibarat kalu tengok wrestling, Rosman macam Steve McMahon lepas kena buah sweet chin music ngan Shawn Michaels. Gitulah lebih kurang.

Malam telah larut. Awek tiga orang makan di meja sebelah pun dah balik. Sebelum balik tadi sempat jugak awek tu pandang Jusoh yang senyum sambil angguk kepala. Sebelum masuk kereta Kancil, nampak awek tu pakat duk main cubit lengan sama sendiri.

Persidangan ditangguhkan ke malam esok. Rosman masih belum dapat peluang terbaik untuk smash Jusoh. Selalunya dia menunggu bola tanggung, tapi yang dapat cuma bola tunggeng. Kata orang, jerat tak lupakan pelanduk, tetapi Rosman yang selalu lupakan jerat bingkas yang dia pasang sendiri.

Demikian adanya.
Bersambung...

No comments:

Post a Comment