Ustaz Sejuk
Jusoh dan Jack dah jadi macam dua ekor kucing yang tengah berhadapan dengan segerombolan dua belas ekor tikus! Ustaz Zabidi, Suhaimi, Pian, Rosman, dan awok-awok dondang masih berhempas pulas cuba meluruskan bulu keting yang kerinting!
Dalam hidup Jusoh, rupanya pernah ada sorang manusia yang bagi Jusoh punya suara yang paling tidak sedap sekali dalam dunia. Jusoh cukup tak suka dengar dia bercakap. Memang tak suka sungguh. Belum dengar apa isi butir yang dia kata, dengar suara pun dah meluat! Menyakitkan hati! Kadang-kadang rasa loya nak muntah. Iaitu lah Rashid bekas Pengerusi SPR. Bukan sebab Pas Umno. Bukan! Tapi sebab dia Pengerusi SPR. Segala tindakan dan percakapannya sangat sinikal ketara sangat seperti sengaja nak memperbodoh-bodohkan semua rakyat Malaysia. Mujur sekarang dah pencen. Kuranglah sikit dosa Jusoh mengutuk orang tua ni setiap kali si Rashid ni keluar tv.
Suara ustaz Zabidi pun lebih kurang gitu gak! Orang Terengganu kata, nyekit! Tak tahulah macam mana boleh jadi ustaz. Di Tranung, ada sorang ustaz tu, orang gelar ‘ustaz sejuk’. Dia memang ustaz sungguh. Mengajar Pendidikan Agama Islam di sekolah rendah. Tapi anak murid panggil ustaz gak. Tapi, tu lah... orang muda. Bila petang-petang, dia selalu duduk lepak sama dengan geng-geng belia harapan bangsa; main gitar, menyanyi, hisap rokok, duduk ho ha ho ha. Berkawan dengan geng rambut berkarat. Yang fesyen rambut macam bulu ayam terbalik pun ada. Berjalan pun semacam, sekejap kembang sekejap kuncup, henjut gi henjut mari, yoo sana yoo sini. Yang rock ada yang rap pun ada. Ada yang hisap ganja. Balut dalam rokok daun. Yang jenis hisap bubuh dalam rokok dunhill pun ada. British style! kata puak-puak geng ustaz sejuk.
Tapi bila di sekolah, cikgu lain tetap panggil dia ustaz. Dan dia memang ustaz pun! Ngajar iqrak, rukun iman, rukun islam, ajar tauhid yang asas-asas, cerita hal sirah nabi, tentera bergajah, nama malaikat, nama rasul kepada murid sekolah rendah. Ustaz jugak! Jadi apabila di kampung, dipendekkan cerita, lekatlah namanya orang semua panggil ‘ustaz sejuk’! Orang Terengganu kalu bab letak nama nak gelar ke orang, memang nakal sunggoh!
Itu kisah ustaz sejuk. Ini Zabidi bukan sejuk lagi dah, memang dah jadi ustaz beku! Maksudnya, dia bukan ustaz pun. Puak-puak awok dondang dia je pakat panggil ustaz. Dia takdok tauliah dari mana-mana pun! At least, ustaz sejuk pun ada jugak diploma dari maktab perguruan. Ini Zabidi bukan ada apa-apa sijil pun. Setakat belajar tareqat tasawuf di pondok tiga empat tahun, itu sekadar layak untuk jadi tok bomoh je! Kalu takmboh berubat orang sakit pun, pilih lah jurusan bahagian barang hilang. Macam ada sorang tua duduk di Pulau Kerengga. Bomoh cari barang hilang. Sohor bukan main. Orang dekat orang jauh, ada yang hilang lembu, yang hilang pitis simpan bawah bantal, yang hilang duit dalam tabung haji pun ada, yang hilang gelang emas, yang hilang motosikal, yang hilang bot fiber, yang hilang injin sangkut semua pakat mari jumpa tok bomoh.
Semua kes pun tok bomoh boleh teka sapa yang curi. Dan tekaan tok bomoh biasanya 100 peratus tepat. Jusoh pun pelik, pasal apa orang tua tu jadi tok bomoh? Kalu jadi ketua polis negara, kan bagus! Nescaya tak ada lah berlaku lagi kes budak hilang tak jumpa sampai ke sudah! Dia tilik air dalam mangkuk je, baca jampi serapah lebih kurang, lepas tu dia baca lah, yang mencuri tu orang yang macam mana. Lembu tu ada orang ambik. Orang tu pun ada bela lembu jugak. Dulu lembu dia ada enam ekor, sekarang pun enam! Lembu yang dicuri tu dah sembelih, daging dah jual di pasar malam sekian sekian. Yang ambik duit bawah bantal, gelas emas, yang buat keluar duit dalam tabung haji, itu bukan orang jauh. Orang dekat. Ceh, padahal orang yang hilang gelang tu memang ada dua orang anak lelaki yang hisap dadah. Itupun nak gi mengadu hal ke tok bomoh! Kesudahannya... bila motosikal buruk tok bomoh sendiri yang hilang, berhungga dia gi ke balai polis! Buat report kata orang curi kapcai dia. Padahal, motor tu bukan hilang pun. Dia yang letak kat tempat lain, cari kat lain. Nyanyuk dah! Ada jugak lagi yang percaya tu!
Ustaz Zabidi masih tak puas hati. Dia meneruskan hujah antarabangsanya dengan suara yang menyekit dan berlagak : “Ana tak kata tak boleh belajar Qur’an. Boleh belajar, untuk dapatkan ilmu, tapi kita tak layak untuk mentafsirkan ayat Qur’an dengan kepala hotak sendiri. Kita tidak layak untuk berijtihad sendiri. Kita tak ada ilmu. Kita wajib bertaqlid kepada ijtihad ulamak yang memang pakar dalam tafsir Qur’an dan Hadis...!”
“Siapa yang ijtihad sendiri, syeikh?”
“Orang wahabi lah!”
“Kalau baca Tafsir Ibnu Katsir, itu ijtihad sendiri ke? Kalau ambik pendapat feqah dalam kitab karangan Sayid Sabiq, itu ijtihad sendiri ke? Anta tahu tak apa makna ijtihad? Jangan-jangan yang itu pun antum semua tak clear lagi!”
“Soalnya, kita bermazhab Syafie. Ramai ulamak mazhab Syafie yang pakar dalam Qur’an Hadis. Kita kena bertaqlid kepada mereka. Kalau bercanggah dengan mazhab Syafie, itu maknanya anta berijtihad sendiri! Anta ni layak ke ijtihad sendiri? Dah cukup syarat ke? Orang wahabi semuanya alim kucing. Jahil tetapi berlagak macam ulamak. Ada hati nak ijtihad sendiri konon! Tak nak taqlid kepada ulamak mazhab Syafie. Rasa diri lebih alim dari Imam Syafie!”
Hish, ini sudah lebih, syeikh! Tapi bukan terlebih apa pun, terlebih bodoh je! Jack pandang Jusoh sambil tersenyum. Jusoh angguk kepala, bagi isyarat, tak apa biar aku jawab!
“Syeikh, kalau ana cakap dengan jujur, anta jangan ambik hati ye? Sebelum tu ana nak tanya, betul ke anta ni ustaz? Bukan apa, kalau betul, ana nak bagitahu, anta lah ustaz yang paling tak cerdik yang pernah ana jumpa! Anta cuma tahu sebut je, ijtihad lah, taqlid lah, padahal anta bukan faham apa-apa pun! Dengar sini, syeikh, ana nak mengajar istilah sikit.
Sebenarnya antum tak tahu pun apa maksud ijtihad, taqlid, ittiba’. Sepatutnya masa belajar ilmu feqah dulu, antum semua dah belajar perkara ni. Kalau betul orang sunnah nak ijtihad sendiri, apa guna kami simpan banyak kitab rujukan yang ditulis oleh Imam-Imam mazhab? Baik orang sunnah simpan kitab al-Qur’an dan kitab Hadis je, lepas tu pakai pikir tafsirannya dengan kepala hotak sendiri je! Faham ke tidak, syeikh? Rujuk kitab ulama’ bukan ijtihad sendiri namanya, syeikh! Itu ittiba’ namanya. Orang sunnah ittiba’, bukan taqlid!
Dalam kitab usul, istilah ijtihad itu ditulis sebagai : Menumpahkan sepenuh daya dan tenaga untuk mendapatkan pencapaian hukum syari’i dengan cara istimbath dari al-Qur’an dan as-Sunnah! Ijtihad boleh dilakukan sekiranya mempunyai syarat-syarat yang sesuai.
Ittiba’ ialah : Menerima perkataan atau pendapat yang berkata dalam keadaan kita tahu dari mana sumber perkataannya itu diambil! Melakukan ittiba’ itu tidak tercela, malah digalakkan bagi orang yang kurang mampu untuk berijtihad.
Taqlid ialah ikut buta! Iaitu menerima pendapat orang yang berkata, sedangkan dia tak tahu-menahu pun dari mana perkataan itu diambil! Bertaqlid adalah tercela dan dicela oleh Allah. Sila rujuk Surah al-Baqarah Ayat 170.
Sebab itu ana nak bagitahu, orang sunnah tidak taqlid kepada seseorang Imam, tetapi ittiba’ kepada semua ulama’ sunnah, termasuk Imam Syafie!! Pada pendapat ana, antum semua ni bukan bermazhab Syafie! Antum tak ikut Imam Syafie pun! Tetapi antum adalah dari golongan Syafi’iyah yang menentang dan menolak Imam mereka yang asal.
Ana nak tanya, adakah semata-mata menolak pendapat ulama’ Syafi’iyah dalam soal furuk, boleh menyebabkan seseorang itu sesat dan rosak akidah?”
Ustaz Zabidi terdiam. Pian pulak yang menyampok : “Siapa kata ini soal furuk? Ini soal Tauhid, soal akidah. Dalam soal feqah, kita taqlid kepada mazhab Syafie, tetapi dalam soal pegangan Tauhid Asy’ariyah dan Maturidiyah. Sifat 20. Tapi wahabi terang-terang menolak Tauhid Sifat 20! Kalau macam tu, tak sesat lagi ke?”
“Sesat ke tak sesat, anta peduli apa? Nanti mati dia orang jawablah sendiri dalam kubur! Yang anta susah sangat duk sesatkan dia orang sampai macam tak ada kerja lain nak buat tu, pasal apa? Bukan antum lah yang tukang tentukan pegangan akidah dalam dada orang lain! Tak ada sapa pun yang lantik antum untuk tentukan siapa yang sesat siapa yang tak sesat!! Antum ingat agama ni apa? Antum perasan antum semua ni sapa dalam agama ni? Siapa yang bagi tauliah agama kat antum?
Nak cerita pasal tauhid sangat, mari dengar ana nak syarah sikit. Ilmu Tauhid berkembang dalam dua bahagian. Yang pertama dipanggil Tauhid golongan Salafiyah. Iaitu Tauhid yang dipraktik yang dijadikan akidah dan amalan oleh pengikut al-Qur’an dan as-Sunnah yang terdahulu. Juga disebut Tauhid asma’ wassifat, iaitu mengaku keEsaan, Nama dan Sifat Allah, tanpa tashbih, ta’wil, dan ta’thil. Golongan ini menolak segala bentuk syirik dan bid’ah, menolak pendewaaan terhadap orang suci, menolak pengagungan terhadap kubur dan keramat, dan menolak fahaman sufi yang sesat!
Yang kedua ialah Tauhid golongan Asy’ariyah-Maturidiyah. Iaitu Tauhid Sifat 20, yang dijadikan teori perbahasan dan perdebatan oleh golongan khalaf. Ok, Abu Hasan Asy’ari, dia wafat tahun 330 Hijrah. Beliau bermazhab Syafie, dan berfahaman ahlissunnah, setelah 40 tahun menganut fahaman Muktazilah daru gurunya Abu Ali al-Jubba’i. Susunan beliau hanya 13 sahaja dari 20 Sifat yang dipelajari sekarang.
Abu Mansur al-Maturidi, wafat tahun 333 Hijrah, bermazhab Hanafi. Fahamannya hampir sama dengan Abu Hasan Asy’ari. Abu Mansur menambah Sifat Ma’nawiyah menjadi 20 Sifat yang ada. Lepas tu timbul pulak Abu Hamid al-Ghazali. Wafat tahun 505 Hijrah. Beliau menyatukan dua fahaman Asy’ari dan Maturidi.
Abu Hasan Asy’ari, lepas keluar dari muktazilah, telah berpegang kepada Ahlissunah, akhirnya rujuk kembali menerima pendapat ulamak salaf mengikut jejak Ahmad bin Hanbal, iaitu tidak lagi mentakwil segala Sifat Allah, tetapi menyerahkan kepada Allah mengenai sifat-sifatNya, tanpa tashbih, takwil, dan ta’thil. Ini dinyatakan dalam kitabnya ‘al-Ibaanah fi Usuulid Diniyah’.
Hasil dari fahaman Asy’ari-Maturidi, maka akhirnya lahirlah pula satu fahaman baru yang lain, yang turut dinisbahkan kepada Abu Hasan Asy’ari, iaitu fahaman Asy’ariyah, atau Asya’irah! Golongan Asy’ariyah yang bukan dari ajaran Abu Hasan Asy’ari inilah yang telah buat macam-macam rumusan tentang konsep ketuhanan yang kesemuanya hanya bersifat teori! Iaitu teori ketuhanan berbentuk falsafah Yunani aresto. Rumusannya hanya terbatas pada akidah dan kepercayaan sahaja. Falsafah itu tidak mengambil-kira bagaimanakah akidah itu dapat dilaksanakan dalam kehidupan yang dibimbing oleh Qur’an! Hanya ilmu itu dipraktikkan untuk kepentingan debat dan untuk nak menang bahas saja!!
Banyak ajaran Asy’ariyah yang bukan Abu Hasan Asy’ari itu yang berfahaman salah, hanya khayalan, animisma, dan berfahaman sufi yang sesat! Ramai penganut Asy’ariyah ini menyeleweng dan terlibat dalam amalan Jabariyah dan Muktazilah, walaupun dalam teori mereka menolaknya. Termasuklah antum semua yang menganut ajaran Sifat 20 yang mentashbih, mentakwil, dan menta’thil segala Sifat Allah yang disifatkan oleh Allah sendiri dalam Qur’an!
Antum tahu pasal apa? Sebabnya ialah kerana fahaman Asy’ariyah telah dimasuki falsafah Yunan, dan juga kemunculan ulamak ilmu kalam dari Parsi. Mereka mencampur-adukkan ilmu kalam dari al-Qur’an dengan ilmu kalam ciptaan puak-puak teori dan falsafah. Lepas tu, mari pulak Ahli Nazar, yang terjemahkan kitab-kitab ulamak Parsi dan kitab ahli Kalam lainnya, lalu dinamakan sebagai Muta’akhirin. Ilmu Tauhid golongan Muta’akhirin inilah yang mencipta syarat ‘Mathlab Tujuh’ sebagai syarat bagi seseorang yang hendak mengajar ilmu Tauhid. Pelajaran Tauhid inilah yang antum semua pegang sekarang!
Golongan Salafiyah yang antum gelar wahabi tu, adalah berpegang dengan ajaran tauhid yang dipelopori oleh Imam Ahmad bin Hanbal, yang diikuti oleh Ibnu Taimiyah, Muhammad bin Abdul Wahab, dan juga seluruh ulamak Islam yang rujuk kepada Qur’an dan Sunnah!”
Tiba-tiba salah seorang awok dondang yang pakai celak mata melompat : “kalau dah mengaku ikut Muhammad bin Abdul Wahab, memang sah lah kafir! Sebab Muhammad Abdul Wahab tu dah rosak akidah!! Dalam Hadis sendiri ada sebut.....!!! Sesiapa yang tak ikut Tauhid Asy’ariyah, memang terkeluar dari Islam. Memang kafir!”
Jack pun bangun spontan. Nampak dah belalak mata, dah kacip gigi dah, Jusoh pun tarik Jack suruh duduk. Nampak Rosman macam ada nak kata sesuatu, tapi Jusoh suruh diam. Jusoh pun tengok ke badigo yang melompat tadi, lalu berkata dengan tenang, tapi tegas : “Syeikh, mintak tulong duduk boleh dok? Biar beradab sikit, jangan lebih sangat! Baik mu duduk dulu sebelum aku bangun!!”
Semua mata pandang ke arah awok dondang yang pinggang tak ramping langsung tu, kalu tengok dari belakang macam umbi pokok sagu. Suhaimi bagi isyarat suruh duduk, dia pun duduk dengan muka macam nak telan orang! Jusoh menyambung : “Mu jangan bercakap boleh dok, syeikh? Aku tak suka dengar suara mu. Aku cakap terang, kalu sekali lagi mu merepek macam tu, jangan sampai itulah ayat terakhir yang mu boleh sebut hari ni!! Faham, syeikh? Mu duduk diam-diam, ok?!”
Semua terdiam. Jusoh meneruskan syarahan : “Antum tahu pasal apa orang sunnah tak boleh terima Tauhid Asy’ariyah? Sebab sebenarnya Ilmu Kalam... Ilmu Usuluddin... Ilmu Aqaa-id... Ilmu Sifat 20... Itu semua adalah ilmu bicara, atau ilmu mantiq! Yang dicedok dari Aristotles! Lalu disusun menjadi Muqaddimah Sughra, Muqaddimah Kubra, dan diadakan natijahnya, yang kesemuanya berkisar dalam teori dan falsafah semata-mata!
Golongan Asy’ariyah mentashbih, mentakwil, dan menta’thil Sifat Allah. Golongan Asy’ariyah yang menyebabkan perpecahan umat Islam dalam akidah, kerana dari situlah lahirnya golongan Sufiyah, Ghuluwiyah, Batiniyah Zuqiyyah dan lain-lain. Golongan Asy’ariyah menentang Tauhid anjuran Qur’an dan Sunnah. Mereka menggalakkan amalan taqarrud, tawassul, tabarruk, dan istighatsah kepada selain Allah! Golongan Asy’ariyah bersubahat dengan golongan Rafidhah (Syi’ah) untuk menentang Tauhid Salafiyah seperti yang dilakukan oleh K.H.Sirajuddin Abbas, golongan Arqam, dan puak-puak tareqat tasawuf. Sila terangkan dari Qur’an-Sunnah yang sahih, bahawa Islam menganjurkan Tauhid Sifat 20!!”
Begitulah! Persidangan hari itu diakhiri dengan perasaan panas hati di pihak 12 ekor tikus! Kena basuh cukup-cukup! Keesokan harinya, Rosman telefon Jusoh. Kabo nak mari rumah malam ni. Mari sorang je. Ada hal sikit nak cerita. Jack pergi Kemaman. Ada urusan bisnes. Malam ni balik. Dua hari lagi Jack nak balik Seremban. Minggu depan nak kena mari semula ke Gebeng, dia ingat nak bawak keluarga sekali. Jusoh termenung terkenang kisah silam. Tentang persahabatannya dengan Rosman. Tentang zaman sekolah. Zaman duduk di kampung masa kecik-kecik dulu.
Kehidupan zaman kanak-kanak yang ditempuh oleh Jusoh tidak banyak bezanya dengan Rosman, walaupun kedua-duanya datang dari kampung lain-lain. Sekarang masing-masing dah dewasa. Bukan setakat dah jadi orang besar, bahkan memang dah dekat-dekat nak jadi orang tua dah pun! Dah dok tua bakpe, Jusoh dan Rosman sudah merasai pengalaman hidup dalam tujuh abad dah!! Kedua-duanya beranak masa zaman radio greng! Hujung tahun 60an! Tetapi, yang Jusoh rasa ralatnya, pasal apa pemikiran Rosman tentang agama, tentang kerasulan, tentang ketuhanan terlalu jauh beza dengan Jusoh?
Mereka sama-sama hidup dan membesar di kampung! Zaman dulu, bila sebut kampung, memang kampung sungguh! Rumah jiran yang paling dekat pun jarak dalam seratus meter! Kalu nak gi rumah jiran lepas maghrib, kena bawak api jamung daun nyor wat suluh jalan. Gelap gugup dok nampak benda! Beza dengan orang sekarang. Rumah berhimpit rapat-rapat. Kena pulak yang duduk rumah teres. Jiran kentut kat rumah dia pun boleh dengar sampai rumah kita! Anak dara orang sebelah hirup air kopi depan tv pun boleh dengar!
Api lektrik pun takdok. Pakai pelita minyak gas je. Sekali sekala bila malam nispu sya’ban ke, hari maulud nabi ke, malam raya puasa ke, malam raya haji ke; barulah rumah orang kampung masing-masing cerah-nerang pakat pasang lampu gasolin. Orang Terengganu panggil lampu spirit. Bukan main suka budak-budak. Buleh tengok lampu gasolin pun suka dah. Padahal bukan tahu pun nispu syakban tu apa benda! Ye lah, masa zaman tu, jangankan nak tengok tv, gambar tv pun tak pernah tengok!
Kalu sekali sekala buleh tengok wayang gambar bunga raya, amboi, bukan main suka! Pertunjukan wayang gambar percuma oleh Jabatan Penerangan. Dia pacak skrin putih tengah padang, lepas tu dia pancar pakai generator set. Buleh tengok depan belakang. Kalu duduk belakang, dok buleh dengar suara, sebab bising bunyi enjin generator. Kalu ada orang melintas, nampak bayang dalam skrin, kepala bapak besar! Pendek kata, kalu ada main wayang gambar bunga raya di kampung, memang meriah sungguh. Budak-budak mandi awal petang tu. Mak ayah yang ada anak ramai siap bawak tikar. Ye lah, nama pun Pejabat Penerangan. Sebelum main cerita melayu, kempen dulu. Tunjuk gambar Tun Razak lah, Tun Dr Ismail lah, Husin Onn lah, kabo hal Dasar Ekonomi Baru lah, suruh gi ngundi lah, macam-macam! Bila masing-masing dah menguap sampai berair mata tahan ngantuk, barulah tayang cerita melayu.
Cerita Lela Manja je! Bat Latif berlakun. Sedih takdok arah lah. Kesian sangat tengok dua beradik, Lela dengan Manja kena seksa ngan mak tiri. Kaum ibu jangan ceritalah, menangis sampai bengkak mata. Tak dang habis cerita lagi, budak-budak semua pengsan netang kalang pakat tidur tengah padang. Kalu setakat air liur basi meleleh tu, boleh tahan lagi. Ada yang dah mimpi sampai terkencing tengah tidur!
Air paip pun takdok lagi. Pakai air telaga je. Karai dengan timba. Kalu kena timba tiris, telaga pulak dalam sampai lima kerek, nak buleh sampai ke atas, tinggal separuh je air dalam timba! Kalu kena musim kemarau air telaga kering, kena gi mandi di telaga rumah orang lain nun di kampung lain nun! Lepas mandi balik rumah tubuh berpeluh macam baru sudah main galah panjang!
Seingat Jusoh, semasa kecik zaman sekolah rendah, acara paling besar yang dijalankan di kampung, yang juga merupakan peristiwa paling besar dan paling bermakna dalam hidup seluruh penduduk kampung, dan yang paling tercatat dalam sejarah ialah pembukaan kilang papan Pesaka Terengganu Berhad. Ek eleh! ingatkan bukak shopping complex 2 tingkat ke, bina bangunan 11 tingkat ke, rupanya bukak sawmill!! Dekat kubur cina pulak tu! Ops silap. Jirat cina. Orang cina tak boleh sebut kubur, tak baik. Kena sebut jirat. Gitu jugak kalu dia mati. Dok buleh sebut mati, kena sebut mampus. Mati untuk orang melayu je. Itulah yang diberitahu oleh orang kepada Jusoh masa kecik. Jusoh pun percaya. Padahal orang yang cakap tu, masa Jusoh dah habis baca muqadam nak naik Qur’an, dia baru baca lam yakunillazi. Selamba je Jusoh kena lebong!
Nama kampung pun takdok tulis dalam peta. Jusoh dari kampung Bukit Konggo! Jangankan orang Kuala Lumpur, kalu tanya orang Dungun pun sahih dok tahu kat mana! Jusoh pun dok pernah tahu macam mana sejarah asal usul nama kampung Bukit Konggo. Padahal bukan ada orang Congo pun duduk situ. Takdok sorang-harang pun! Ada lah sorang jeragan pukat cerut yang sohor di daerah Marang, orang panggil nama dia Mat Konggo. Jusoh pun dok tahu macam mana Mat Konggo buleh nama, tapi yang buat Jusoh dok fahamnya, Mat Konggo sendiri tak pernah duduk di Bukit Konggo pun! Dia duduk kampung lain. Dekat Rhu Muda nun!
Orang dulu kadang-kadang dia letak satu-satu nama, pakai ikut sedap mulut je. Bukan ada makna apa-apa pun. Bukan ada sebab musabab apa-apa pun. Hanya dinisbahkan kepada ‘sedap sebut’ semata-mata. Ada sorang tua di kampung Jusoh, nama dia Sunway! Samada ayah dia tahu dok apa makna sunway, wallahu’alam! Tapi kalu nak kata ayah dia pernah masuk main gelongsor dalam kolam di Sunway Lagoon pun, dok munasabah langsung! Sebab masa ayah dia report buat surat beranak di balai polis dulu, taukeh Sunway Lagon pun tak beranak lagi!
Contohnya, bila orang dulu reka lagu, bukan penting ke makna pun! Puas-puas duduk saja, dia nyanyi : mat ming tonjol...! beranak dalam botol...! timbul tenggelam...! terus masuk gol! Kalau tanya orang Terengganu yang sempat jadi budak-budak zaman tahun 70an, semua reti nyanyi lagu ni. Tapi sekor-habok pun dok tahu apa benda maksud yang nak diceritakan. Bukan salah mereka, memang lagu tu takdok maksud apa-apa pun! Ikut sedap mulut je!
Rosman pulak orang Kuala Berang. Kampung Tajin. Entah apa benda makna tajin, memang Jusoh angkat tangan. Dok tahu starang! Jangankan dalam peta, dalam kamus pun tak jumpa perkataan tajin. Kalu dia kabo ke orang luar dia dari kampung Tajin, dengar pulak dia bercakap Kuala Berang, tobat orang ingat Rosman orang Sarawak! Masa baru-baru masuk asrama dulu, loghat Kuala Berang dok hilang lagi. Ada sekali lepas keluar bilik air, dia belebel sebab ada budak tak pam tandas lepas guna. Kata dia, “kamai nok birok pun susaoh! Buke pitu jamban, tingok-tingok, caeih! bao taek!!” (sarikata : “aku nak berak pun payah! Buka je pintu tandas, tengok-tengok, cis, bau taik!)
Habis zaman radio greng, lepas LLN dah masuk api letrik, barulah timbul tv hitam putih. Bukan semua rumah ada tv. Satu kampung ada dua orang je yang ada tv kat rumah. TV dulu bukan macam sekarang. Nipis. Ringan. TV dulu besar. Kena angkat empat orang. Ada bodi kayu. Siap empat kaki. Ada sliding door. Bukan ada remote control macam sekarang. Semua manual. Kalau nak alih siaran, kena pulas benda bulat besar macam nak spin mesin basuh. Deguh! Deguh! Deguh! Tiga kali. Baru jumpa rangkaian dua. Pulas pulak degek! degek! degek! Jumpa rangkaian satu semula. Memang dua channel tu je yang ada pun! Bukan buleh tengok tv ikut dang macam sekarang.
TV1 pukul 5 petang baru start siaran. Pukul 12 malam tamat dah. Rancangan pun, ek eleh! Cabutan toto! Itu pun nak masuk tv! Zaman dulu punya cerita. Lepas tu tunjuk orang nyanyi lagu dondang sayang. Ghazal. Lepas tu berita. Ulasan Berita pulak. Peristiwa. Harap nak tengok cerita melayu, seminggu sekali je. Malam Ahad. Petang Khamis ada cerita koboi, mula-mula ‘Iron Horse’, lepas tu cerita ‘How The West Was Won’. Ada cerita Jepun cakap melayu. Giant Robot. Lepas tu baru ada cerita Ultraman. Lepas tu Lost in Space. Six Million Dollar Man. Bionic Woman. Paling best sekali cerita Combat. Tengtengtengteng tengteng! Combat! Staring! Vic Morrow! Jengjengjengjeng jengjeng! and! Rick Jason! Tratatatatap taptap! Amerikanaaa..!! kata askar Jerman.
TV2 lagi tenat. Pukul 6 petang baru start. Memang takdok cakap melayu sepatah haram pun. Padan main tukar tamil, cina, orang putih je! Lepas tu baru timbul tv color. Suka sangat. Tengok iklan pun sedap. Sampai ternganga depan tv. Ye lah, kalu tengok bola, buleh tengok lah mana baju biru mana baju merah. Kalu dulu gak, nampak tiga color je; hitam, putih, kelabu taik anjing! Tak lama lepas tu, barulah ada TV3. Lepas tu mari pulak zaman komputer. Masuk pulak hand phone. Ada pulak Internet. Lepas tu Facebook. Lepas ni tak tahu apa benda lagi nak mari. Patutlah Jusoh kata dia dah hidup tujuh abad dah! Memang dah tua pun!
Malam. Baru sudah solat Isyak. Jack dah sampai lepas Maghrib tadi. Seperti yang dijanjikan, Rosman pun sampai.
“Tak ada program ke malam ni, bro?” Jack tanya Rosman dengan nada bergurau. Jusoh buat-buat tak dengar, tapi senyum!
“Tak adalah! Hahaha..! aku tak tahu, dan tak nak ambik tahu dah! Itu urusan dia orang, aku tak nak campur dah!!”
“Haaaah? Apa sudah jadi, Mang?” Jusoh menyampok.
“Karutlah Soh! Aku dah campur macam-macam, aku dah ikut dia orang sampai entah mana-mana dah... mu tahu pasal apa, Soh? Semata-mata untuk tengok sendiri apa yang mu cakap selama ni. Rupa-rupanya, semua yang mu kata selama ni, semuanya betul, Soh! Memang betul sangat. Masa wirid kuat dalam gelap tu yang aku rasa betul-betul karut! Lepas tu aku perhatikan satu-satu amalan mereka, betul lah semua apa yang mu cerita dulu!
Mu tak tahu, Soh, aku selalu berdebat dengan dia orang. Tapi aku cakap terus-terang, memang aku tak pandai. Sebab tu aku selalu kalah. Tapi aku tahu, dia orang yang tak betul. Tapi aku tak tahu sangat, aku tak ada hujah nak bidas. Mu tahu dok, sebelum pindah Kuantan, aku memang tak tahu apa-apa pun pasal ni. Tapi aku mengaku sebelum ni fahaman aku sikit sebanyak ada persamaan dengan dia orang. Tapi bukan semua. Lepas bahas dengan mu, timbul niat aku nak cari sendiri dan aku nak tengok sendiri gelagat orang-orang tareqat, orang tasawuf, sufi, macam mana. Memang betullah apa yang mu royat, Soh. Sebab tu aku bawak dia orang mari rumah mu! Sebab memang aku nak suruh mu bedal dia orang cukup-cukup. Mu ingat dok aku tanya soalan apa kelmarin? Soalan itulah yang dia orang tanya kat aku, manalah aku tahu nak jawab! Aku saja ulang balik, mu sembur aku, dia orang yang terasa! Memang aku saja nak suruh mu jawab keras gitu. Saja aku nak kenen ke puak dia. Masa hantar dia orang balik kelmarin, dalam kereta aku perli ah, haa, berat kena kena belasah hari ni, KO terus! Selama ni sedap sangat antum kutuk ana wahabi, sekarang ana bawak mari jumpa orang yang betul-betul punya wahabi, baru antum tahu langit tinggi ke rendah! Nak sangat berbahas!
Sekarang aku declare tak akan campur apa-apa urusan puak-puak tareqat, tasawuf, sufi, golongan Asy’ariyah Sifat 20, puak-puak ilmu kalam lagi. Samada betul atau salah, itu semua tak perlu bagi aku untuk menjadi seorang Islam yang baik, yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan beriman dengan perkara-perkara yang Ghaib. Cukuplah aku berpegang dengan akidah salaf dan beramal ibadat dengan cara amalan golongan salaf...!”
Jack terpaku. Jusoh rasa macam nak menangis tapi dia tahan. Ya Tuhan ku, kegembiraan jenis apakah ini, Ya Allah? Untuk seketika, Jusoh tak tahu nak cakap apa-apa. Kelu. Dalam hati Jusoh mengucapkan syukur yang tidak terkira kepada Allah. Dia rasa terharu sungguh-sungguh. Rosman meneruskan : “Mungkin aku kena transfer ke KL bulan depan. Tapi tak confirm lagi. Ada kemungkinan lah! Tak apalah, takdir aku sempat duduk di Kuantan beberapa bulan, mungkin Tuhan nak tolong aku untuk mengenali pengajian salaf. Kalau tidaklah kerana aku kena tukar ke sini, mungkin aku masih lagi terus-menerus berada dalam kebatilan...! Cuma aku tak sempat nak ikut mu pergi kuliah sunnah, Soh! Tapi, lepas ni, kalau ada peluang, aku akan ikut....!”
Jusoh kehilangan kata-kata. Sebak. Betul lah, Jusoh dah cakap dulu, Rosman orang cerdik. Jusoh percaya lambat-laun Rosman akan nampak yang mana kebenaran yang mana kebatilan. Akan dapat bezakan. Akan faham duduk perkara yang sebenarnya.
Jack ajak Jusoh dan Rosman keluar makan satay di kedai Zul Jalan Teluk Sisek. Sebab terlalu suka hati sangat, Jack nak belanja. Dalam duk tengah sebak tu, Jusoh terbayang jugak, huh, memang dah lama tak makan satay perut! Peeergh! Yang perut babat macam tuala tu, Jusoh kurang suka. Jusoh minat perut usus, yang ada rasa taik lembu sikit-sikit!
Dengar je nak gi makan satay, Jusoh pun berasa segar tubuh selalu! Sebelum keluar, dia sempat bercakap sepatah dua menyambut berita dari Rosman itu.
“Semua tuduhan terhadap orang sunnah adalah fitnah dan bohong. Mu tahu dok, orang sunnah ni lah yang memulakan pembaharuan dalam pemikira Islam di Malaysia. Merekalah yang meniupkan kesedaran umat di negara kita, supaya orang Islam menanggalkan baju, selimut, dan pembalut jiwa yang dinamakan TAQLID. Golongan tareqat tasawuf sufi macam geng kelmarin itu lah yang menggelarkan golongan sunnah sebagai wahabi, kaum muda, khawarij, mujasimah, dan sebagainya. Gelaran atau jolokan itu bukan apa pun, tetapi semata-mata tujuan untuk menghina dan merendah-rendahkan golongan yang mempertahankan al-Qur’an dan as-Sunnah! Itu saja!
Marilah kita kembali kepada al-Qur’an dan as-Sunnah! Dan istilah kembali kepada Qur’an dan Sunnah itu hendaklah menggunakan istilah Qur’an-Sunnah sendiri, bukan ciptaan segala boneka dan alat zionis. Sepatutnya orang Islam di negara kita, terutamanya ustaz-ustaz dan para ulama’, wajiblah memahami hakikat bahawa golongan yang diungkapkan dengan momokan wahabi atau kaum muda yang ada di seluruh negara, dari Perlis hingga ke Lahad Datu, dan di seluruh dunia Islam, bukanlah golongan yang menyebarkan ajaran sesat dan mereka bukan golongan yang menyesatkan. Tetapi mereka adalah satu angkatan Islam yang benar-benar ingin menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai dasar bagi kehidupan dunia dan akhirat!”
Sekian. Wabillahi Taufiq wal Hidaayah, wassalaamu’alaikum.
Demikian adanya.
TAMAT
Sunday, July 1, 2012
Teka teki susah
mari kita bermain teka teki... soalan susah jugak ni
premis 1: Kerajaan negeri Kelantan menerima bantuan berjumlah RM5.3 bilion daripada kerajaan persekutuan dalam tempoh dua tahun sejak Rancangan Malaysia ke-10 dilancarkan pada tahun 2010.
premis 2: Ahmad Zahid berkata bantuan tersebut disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri dan agensi-agensi kerajaan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan bantuan kepada rakyat miskin di Kelantan.
soalan: Siapakah Kerajaan Negeri Kelantan? :)
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_11.htm
premis 1: Kerajaan negeri Kelantan menerima bantuan berjumlah RM5.3 bilion daripada kerajaan persekutuan dalam tempoh dua tahun sejak Rancangan Malaysia ke-10 dilancarkan pada tahun 2010.
premis 2: Ahmad Zahid berkata bantuan tersebut disalurkan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri dan agensi-agensi kerajaan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan bantuan kepada rakyat miskin di Kelantan.
soalan: Siapakah Kerajaan Negeri Kelantan? :)
sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_11.htm
Subscribe to:
Comments (Atom)