Thursday, September 8, 2011

Hati si Jusoh: episod 22

Awok-awok Dondang

Semua sekali 12 orang. Ramai! Kalu nak lawan bola pun cukup dah, lengkap sekali dengan pemain rezab. Kalu nak gi kelaut pukat kilat pun takdok masalah. Cukup lengkap dengan jeragang, juruselang, tuan pukat, tuan unjang, dan awak-awak dondang sekali.

Takdok arah lah. Kalu ikut hati, Jusoh dah malas sangat nak layan kerenah puak-puak ni. Berasa serabut perut, menyampah, buang masa, takdok pekdah sikit habuk pun! Betul lah yang macam Jack kabo, kalu layan ke puak-puak ni berbahas bab agama, sampai siput jadi babi pun tak selesai lagi. Macam itik bertekak dengan ayam. Yang ni kuek kuek kuek, yang nun kiok kiok kiok, dah bila nak habis? Ye lah, jangankan orang biasa, kalu tanya pendapat orang bisu pun, buleh tengok kelam-kabut tangan dia tergawang-gawang nak kabo jangan layan puak-puak ni! Bunyi suara o ooh oh, maknanya dia nak kabo, tu puak-puak bodoh! Orang bisu yang kata, bukan Jusoh!

Tapi dia dah mari ke rumah, nak wat guane? Takkan nak perhambat suruh balik pulak! Mereka mari pun mengejut, dok kabo sepatah haram pun, memang takdok tamakninah langsung! Tapi comei hudoh pun, mereka dah jadi tetamu. Jusoh kena memuliakan tetamu. Kena hormat tetamu. Kena raikan. Kena!

Macam-macam gaya. Selain Rosman, Suhaimi dan Pian, ada sembilan orang lagi pemain baru. Jusoh tak ingat nama sorang-sorang. Ada yang gemuk mmettong macam tong drum, ada yang kurus khekek macam cicak kubing, ada yang pakai jubah dengan kain pelikat, ada yang pakai seluar slack. Ada sorang tu, kulit hitam beletung, jalan pun berhenjut, pakai pulak jubah putih dengan kopiah merah, dari jauh nampak sebijik macam orang Sudan hilang bini! Yang sorang tu pulak, pakai kemeja putih lengan panjang masuk dalam, siap dengan spek rayban hitam! Fuh, sekali tengok ada gaya macam tok bomoh baru keluar dari panggung wayang!

Dua set kusyen depan digabungkan jadi satu. Sedang molek muat-muat untuk tetamu 12 orang. Ambik dua kerusi lagi dalam bilik baca, untuk Jusoh dan Jack. Jusoh suruh bini buat air sunquick 3 jag besar, dalam pada tu Jusoh talipon Pizza Hut, suruh hantar pizza supreme enam butir. Dok apalah, sekali sekala makan makanan orang putih. Emergency. Tak tahu lah kot-kot ada yang beristighfar dulu sebelum makan. Kalu kabo awal-awal nak mari, kan senang! Bulehlah Jusoh suruh bini buat lempeng nyor ke, jemput pisang ke, barulah rasa macam bertareqat sikit. Ini makan pizza, wahabi terus!!

Jusoh sebagai tuan rumah memulakan acara : “Mari ni mesti ada hajat, ada tujuan dok? Nak kata mari minang pun, saya takdok anak besar lagi!”

Yang jadi tekong nama Zabidi. Dengar puak-puak dia panggil ustaz Zabidi. Nampak pun macam cerdik sikit pada yang lain. Suhaimi dengan Pian kena turun pangkat. Jadi nasi tambah. Ada lagi yang lebih power. Pian kata, ustaz Zabidi ni seorang pakar bedah. Mulanya Jusoh agak, kalau bukan doktor hospital pakar pun, mesti dia ni kerja dengan pejabat haiwan. Rupa-rupanya dia maksudkan bedah batin! Uh, Jusoh pun malas nak tanya bedah batin tu menatang apa. Tak minat langsung nak tahu! Perkara yang takdok dalam Rukun Iman dan Rukun Islam, bagi Jusoh, biar dulu ah. Bukannya Jusoh kata salah, tapi untuk nak menjadi seorang Muslim yang baik, yang mempunyai keimanan yang mantap, tidak semestinya kena bedah batin!

“Macam ni lah syeikh! Ad-diinu nasiihah, agama adalah nasihat. Jadi dalam rangka dakwah, kami menyampaikan peringatan dan memberi penjelasan kepada orang-orang Islam supaya memelihara Iman, jangan tergelincir dalam kesesatan yang boleh membatalkan akidah mereka, yang boleh menyebabkan mereka menjadi kafir.” Ustaz Zabidi memulakan mukadimah pembukaan.

“Ya syeikh, teruskan...!” Jusoh bagi peluang untuk Zabidi bersyarah puas-puas. Dah tahu wajib dia nak kenen ke wahabi tu. Jack buat-buat baca suratkhabar Metro. Gara-gara cemburu, laki putus urat keting kena tetak dengan bini! Ambik nak! Main-main dengan orang sekarang. Ganas-ganas. Takdok dah jenis mmeccok rudung-radang rembas pinggan besi. Sekarang dah maju. Simbah asid muka laki! Tetak urat keting!

“Ada satu golongan yang mengaku Islam, telah mengajar fahaman yang katanya berpandukan Qur’an dan Hadis, tetapi jika dilihat dengan teliti, sebenarnya ia menyalahi, bahkan banyak amalan mereka bercanggah dengan ajaran Islam yang kita amalkan selama ini!” Zabidi masih berkias-kias.

“Golongan mana pulak tu, syeikh?” Jusoh buat-buat bengong. Yang lain tu jangan cerita lah. Semua mata kusyuk memandang ke arah ustaz Zabidi. Sampai ada yang melopong, ada yang mengangguk-ngangguk kepala, kononnya faham sangat lah tu. Entah apa yang dia orang faham, Jusoh pun tak tahu!

“Golongan wahabi! Ana rasa ente pernah dengar, kan?” Zabidi macam nak buat kejutan, tapi Jusoh dan Jack tak terkejut langsung. Jusoh cuma senyum. Angguk tidak, geleng pun tidak. Jack letak suratkhabar.

“Wahabi tu sesat ke? Ish, bahaya tu! Tak sangka pulak... er.. kenapa dia orang sesat, syeikh? Ana tengok, ok je!” Jack pulak yang buat-buat bangang.

Zabidi mula rasa panas, dan meneruskan syarahannya : “Asal usul golongan wahabi adalah dari dua tanduk syaitan. Inilah syaitan yang telah menggoda manusia untuk membinasakan keimanan, iktiqad, dan kepercayaan kepada Allah. Mereka kata pegang kepada Qur’an Hadis, tetapi hakikatnya adalah menyeleweng dari ajaran Islam! Hingga timbul perpecahan dalam masyarakat! Padahal Rasulullah SAW telah mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar, tetapi wahabi yang memecah-belahkan! Inilah gejala syaitan laknatullah meresap melalui nama yang baik, tetapi sebenarnya menyeleweng dari jalan yang lurus! Sebab itu kita mesti kenal siapa wahabi, supaya kita tidak terpedaya....”

Jusoh tengah baca tajuk kecik dalam Metro, cerita seorang lelaki, bekas penyanyi tahun 80an. Mulanya dia ada tanya sorang pakcik yang dikenalinya, mahu melamar anak perempuan pakcik itu untuk dijodohkan dengan anak lelaki penyanyi berkenaan. Tapi pakcik tu tak setuju, kerana anak daranya masih belum habis belajar. Dengan tak disangka-sangka, anak daranya kahwin lari di Siam! Tapi... bukan nikah dengan anak lelaki penyanyi tu, tetapi dengan bapak dia! Bekas penyanyi tu lah! Pulak! Mulanya tanya pakcik tu ajak berbisan, bila pakcik tak setuju, dia pulak yang jadi menantu orang tu! Macam-macam!

Jusoh meletakkan suratkhabar atas meja. Dia pun berkata dengan lembut dan tenang : “Macam ni lah syeikh! Kalu nak cerita keburukan wahabi, kononnya wahabi bahaya, orang wahabi sesat akidah, orang wahabi kafir.... ana nak bagitahu, ana memang dah wahabi dah, syeikh!!! Lama dah ana jadi wahabi! Ni kawan ana Jack ni pun bapak wahabi ni!! Kalu antum mari ni untuk nak dakwah supaya jangan jadi wahabi, kalu ibaratnya wahabi tu satu lubuk yang bahaya, ana nak bagitahu, ana sekarang ni dah ada dalam lubuk! Kalu antum rasa perlu sangat selamatkan akidah ana, mari lah terjun masuk lubuk sekali!”

Ustaz Zabidi tersentak. Rosman yang sepatutnya dah tahu sangat perangai Jusoh, pun buat-buat terkejut. Yang lain tu jangan cerita lah, ada yang muka terpinga-pinga, saling tak ubah macam lembu baru naik lori.

“Sebab tu kami datang nak bersemuka dengan ente. Sebab ana dengar banyak sangat cerita dari sahabat-sahabat ana ni, yang ente terlalu kuat mempertahankan wahabi!” Barulah Zabidi berterus-terang akan maksud kedatangannya. Dengar gaya bercakap tu, buleh tahan jugak lagak syeikh sorang ni. Jenis cakap angin. Macam bagus. Jenis meninggi diri kononnya dialah paling alim, orang lain semua jahil-tukey!

Belum sempat Jusoh kata apa, Jack dulu yang jawab, “Nak bersemuka? Boleh, dipersilakan tuan! Kata kuncinya, anta kata wahabi golongan sesat dan rosak akidah. Senang ceritanya, wahabi tu kafir, betul? Jadi ana tak nak dengar cerita lain, ana cuma nak tahu, apa alasan anta, apa hujah, apa dalil, sampai anta berani menghukum kafir kepada orang sunnah yang antum gelar wahabi! Ana bukan marah, tapi ana cuma nak tahu, apa sebabnya? Silakan!”

Jack berkata dengan tegas dan jelas. Ustaz Zabidi terdiam. Nampak macam terkejut, tapi dia tetap tunjukkan muka tak puas hati.

Suhaimi pulak yang jawab : “Banyak pegangan wahabi yang bercanggah dengan ajaran Qur’an dan Hadis, bercanggah dengan apa yang diamalkan oleh orang kita sejak turun-temurun. Kalau dibiarkan, umat Islam akan jadi berpuak-puak, masyarakat akan berpecah. Sebab itu ana kata wahabi adalah golongan yang sesat. Ini yang kita kena benteras.”

Jack makin panas : “Apa pegangan yang bercanggah, yang bahaya sangat tu, yang sesat hingga memecah-belah orang Islam tu? Tolong cerita sikit, syeikh!”

Jusoh tak jadi nak ambik Metro atas meja. Cuma sempat baca tajuk. Ibu pengsan anak telefon dari Lombok – gadis 19 tahun beritahu sudah berkahwin dengan lelaki bernama Suparlan. Aduuh, budak tu pun satu hal jugak. Kalu ye pun nak lari ikut mat Indon, kahwinlah dengan Joko Suprianto ke, Bambang Pamungkas ke, glemer sikit. Ini kahwin lari dengan Suparlan! Mau maknya tak pengsan!

“Ok, pertama, orang wahabi kata, bersentuhan antara lelaki dan perempuan tanpa lapik, tak batal wuduk! Padahal dalam Qur’an sebut ‘aulaa mastumunnisaa’. Maka antara yang membatalkan wuduk ialah bersentuh lelaki dan perempuan dengan tidak berlapik, termasuklah isteri yang halal melalui akad nikah! Ayat itu Allah terangkan secara umum, tidak disebutkan isteri, sebab itu orang wahabi kata tak batal wuduk. Inilah akibat hendak ijtihad sendiri. Ayat Qur’an pun dia tak nak ikut. Dah terang sesatnya!” Zabidi berkata dengan yakin, dan dengan nada suara menyindir.

Jusoh angkat kepala bagi isyarat suruh Jack jawab. Semua awok-awok dondang memandang ke arah Jack. Jack senyum, lalu berkata : “Ok, dengar semua ye! Saya berpegang, sentuh lelaki perempuan tak batal wuduk! Antum semua berpegang batal! So, ok lah, apa masalah yang besar sangatnya? Takkan semata-mata kes sentuh isteri pun boleh jadi sesat? Boleh jadi rosak akidah?” Jack sengaja meninggikan suara. Jusoh buat-buat muka serius. Semua awok dondang nampak terkejut. Tekong sendiri pun kena libas, macam mana ni? Takkan balik awal, baru makan piza sejuring. Kalau ye pun, biar sempat makan dua juring sorang.

“Itu yang bercanggah dengan ayat Qur’an!! Dalam Qur’an dah terang sebut batal wuduk, tapi wahabi kata tak batal! Orang wahabi memang golongan jahil, tetapi berpura-pura alim. Kalau tanya, mesti bagi Hadis kononnya Nabi pernah cium Aisyah lepas berwuduk, lepas tu pergi ke masjid dan solat tanpa memperbaharui wuduk. Tapi orang wahabi bukan faham pun Hadis ni, Bukhari kata Hadis ini dha’if! Hadis dha’if tak boleh dijadikan pegangan, cuma boleh untuk jadi panduan dalam ibadat mencari keredhaan Allah.”

Suhaimi pula yang bersyarah dengan penuh eksyen. Muka awok dondang semua nampak lega bukan main. Memang Zabidi dan Suhaimi adalah ayam tambatan mereka. Kedua-duanya pakar debat. Memang selama ini orang wahabi tak berani nak angkat muka dengan dua orang ni. Hujah mereka sangat berbisa. Kaki pancung!

Jack suruh Jusoh jawab, dan dengan muka macam kambing, Jusoh berkata dengan jelas : “Ok, tuan-tuan sekelian, izinkan saya pulak yang bercakap. Dengar baik-baik. Bersentuh kulit lelaki dan perempuan itu adalah masalah yang menjadi perbincangan para fuqaha’ Islam sejak dulu sampai sekarang! Itu soal furu’. Soal perbezaan ijtihad di kalangan ulamak. Tidak ada yang sesat kerana itu. Dan bukanlah masalah itu dijadikan isu untuk menfitnah golongan sunnah! Orang sunnah tidak akan sesat semata-mata disebabkan kes sentuh bini!”

Zabidi terus sanggah : “Kalau dah terang-terang menolak ayat Qur’an, itu tak sesat ke?”

“Tolak ayat Qur’an mana pulak!”

“Aulaa mastumunnisaa.. kalau anta terer, cuba anta bacakan terjemahan makna ayat tu!” Zabidi mencabar Jusoh seperti budak-budak ajak lawan bergocoh.

Jusoh pandang Zabidi. Lepas tu pandang Rosman lama-lama. Pandangan Jusoh seolah-olah bertanya Rosman, spesis macam ni pun mu nak bawak mari rumah aku? Rosman serba-salah buat-buat tengok kipas atas syiling.

Jusoh berkata : Surah an-Nisa’ Ayat 43! Aulaa mastumunnisaa’! Maksudnya ‘atau telah kamu sentuh perempuan’! Kalu ikut kitab Fiqih Sunnah! Sayid Sabiq tulis! Lafaz laa mastumu itu adalah musytarak! Iaitu lafaz yang punya makna lebih dari satu! Termasuklah sentuh dengan tangan! Cium! Bermesraan! Bersetubuh atau jimak! Para mufassir memang berselisih dalam memberikan makna laamasa ini! Ada yang memberi erti sentuh dengan tangan! Ada yang kata bersetubuh! Dan begitu juga cara membacanya! Ada laa mastamu! Ada laa mastumu! Lafaz laa mastumu itu adalah kinayah daripada jimak! Menurut Ibnu Katsir, Ibnu Abbas mengatakan maksudnya ialah bersetubuh (jimak)! Eh, Ibnu Abas tu wahabi ke? Antum semua ingat Ibnu Katsir tu siapa?

Nak cerita Hadis? Ok, ada sebuah Hadis, maksudnya, dari Aisyah, bahawasanya Nabi SAW telah mencium sebahagian para isterinya, kemudian baginda keluar untuk solat, sedangkan baginda tidak memperbaharui wuduk! Ibnu Jarir berpegang kepada Hadis ini dalam menentukan maksud jimak untuk lafaz laa mastumu itu. Kata Ibnu Jarir lagi bahawa kerana sahnya khabar dari Rasulullah SAW yang diriwayatkan dari Aisyah bahawa adalah Rasulullah SAW pernah berwuduk kemudian baginda cium sebahagian isterinya, kemudian baginda solat tetapi tidak dibaharui wuduknya.

Hadis macam ni dan yang sama maksud dengannya diriwayatkan oleh para Imam Hadis seperti Abu Dawud, at-Tirmizi, Ibnu Majah, dan Ahmad! Kecuali at-Tirmizi mengatakan bahawa dia mendengar Bukhari mendha’ifkan Hadis itu. Itu ceritanya! Apa yang anta tahu? Baru baca sikit Bukhari melemahkan Hadis, anta pergi melolong satu dunia kata wahabi sesat sebab berpegang Hadis dha’if, pasal apa?

Dengar sini wahai temenggong-temenggong sekelian! Imam Bukhari bukan mendha’ifkan Matan Hadis itu! Tetapi tentang Sanad nya saja disebabkan ada sedikit kekeliruan! Ana nak bagitahu kaedah orang sunnah, mereka tidak semudah itu membuang atau menolak Hadis! Kerana walaupun dikatakan Imam Bukhari melemahkan Hadis tadi, tetapi masih boleh digunakan untuk memperkuatkan beberapa Hadis lain yang sahih, seperti :

Dari Aisyah ra, katanya, Pada suatu malam aku kehilangan Rasulullah SAW dari tempat tidur, lalu aku meraba-rabanya, maka tangan ku menyentuh kedua-dua kaki baginda, sedang baginda bersujud, dan kedua kakinya itu tegak lurus.

Dari Aisyah ra, aku sedang tidur di depan Nabi SAW, dan kedua-dua kaki ku berada ke arah kiblatnya, maka manakala baginda sujud, dipegangnya kaki ku itu, aku pun mengalihkan kaki ku – pada satu lafaz ‘apabila dia hendak sujud, diramasnya kaki ku.

Oleh itu bolehlah Hadis yang anta kata dha’if tadi menyokong dua Hadis yang sahih itu untuk menjadi dalil bahawa menyentuh perempuan tak batalkan wuduk!!

Sayid Sabiq dalam Fiqih Sunnah menjelaskan : Kami dengan gembiranya menyatakan bahawa apa yang disangka selama ini (bersentuh lelaki dengan perempuan) membatalkan wuduk, sebenarnya tidaklah membatalkan, kerana tidak adanya dalil yang sah yang mampu memutuskan begitu. Apabila Ibnu Abbas, Ibnu Jarir, Sayid Sabiq, dan sekian ramai para sahabat, tabi’in dan Imam mazhab yang menerima Hadis dan memutuskan tidak batal wuduk itu, adakah mereka semua wahabi yang sesat?”

Ambik nak! Baru Zabidi tahu dia dah silap masuk lubuk. Baru Suhaimi tahu. Baru Awok-awok dondang tahu. Semua terkedu. Zabidi cuba bertahan dengan cara lari dari persoalan itu, untuk mengelakkan daripada nampak sangat dia tak boleh jawab.

“Tapi orang wahabi juga kata menyentuh Qur’an tidak perlu ambil air sembahyang, kononnya....!”

“Laa, jangan konar ke lain dulu, syeikh! Biar selesai satu-satu, yang tadi tak selesai lagi ni...!” Jusoh memintas.

“Apa yang tak selesai lagi?!” Zabidi meninggikan suara.

“Kes sentuh bini!” Suara Jusoh lebih tinggi.

“Nak selesai macam mana lagi?”

“Ye lah, anta kata wahabi sesat. Ana tanya apa sebab, anta bagi alasan sebab sentuh bini tak batal wuduk! Ana pun dah bagi hujah bahawa wahabi tak sesat kerana kes sentuh bini! Sekarang apa pula hujah anta? Tiba-tiba konar ke tajuk lain pulak, biarlah selesai yang ni dulu..!”

“Bukan sebab itu je. Banyak lagi sebab lain yang ana kata wahabi memang sesat!”

“Kalau antum bagi sepuluh sebab pun, kalau ana jawab kesemua sepuluh sebab itu, dan ana dapat buktikan bahawa kesemua tuduhan antum itu salah, antum semua tetap akan mengatakan wahabi sesat, betul tak? Kalau macam tu, apa guna antum berdebat? Untuk nak cari kebenaran? Pigi daah! Antum semua ni tak akan terima kebenaran! Debat untuk apa? Nak tunjuk terer, kononnya aku lah alim? Ok, kalu nak sangat berbahas, sekarang sila kemukakan hujah antum, saya akan jawab semuanya!! Mu semua awok-awok jangan gi ke mana. Duduk sini. Mu dengar sikit aku nak sekolahkan tuan guru mu ni!!!”

Suasana senyap sekejap. Awok dondang masing-masing termangu-mangu. Nak menyampok tak reti. Bos sendiri pun dah kena ligan depan mata. Zabidi diam. Muka merah. Suhaimi yang tubuh gedebab menyambung hujah Zabidi yang terputus tadi.

“Orang wahabi kata Qur’an itu bukanlah kalam yang sebenar. Sebab itu orang wahabi kata tak perlu ambik wuduk untuk nak sentuh Qur’an. Ini pegangan yang merosakkan akidah! Padahal Qur’an menerangkan laa yamassahu illa al-muthohharuun. Tetapi mereka berpegang kononnya yang dimaksudkan dengan al-muthohharuun itu ialah Malaikat, oleh itu orang wahabi kata tak perlu ambik wuduk.”

Jack menjawab : “Berwuduk untuk membaca Qur’an memang amat digalakkan, tetapi haram menyentuh Qur’an tanpa wuduk, itu soal lain! Persoalan itu masih diperbincangkan oleh cendekiawan Islam! Bukan dijadikan bahan untuk menuduh orang wahabi sesat! Masalah yang antum bangkitkan itu tidak mempunyai alasan, sebab itu antum semua terdedah untuk diserang. Sepatutnya antum kena bagi penjelasan dengan terang supaya ia tidak menjadi fitnah!”

“Tidak mempunyai alasan? Ana dah bagikan dalil dari ayat Qur’an, anta nak dalil yang macam mana lagi?” Suhaimi mula bercakap kasar semula sambil memandang Jack lama-lama. Stare macam nak ajak gaduh woo!

Jusoh segera menyampuk : “Syeikh, anta pandang sini! Anta dengar ana cakap. Ana tak faham pasal apa anta kaitkan Ayat 79 surah al-Waqiah itu dengan soal wuduk! Anta ni tahu sebut je, padahal tak mengaji pun! Antum sebenarnya yang sesat sebab cuma hafal sepotong Ayat 79 Surah al-Waqiah itu, lalu gunakan fikiran sendiri, tanpa membaca ayat-ayat sebelum dan sesudahnya, dan tidak juga ditilik qarinahnya, nampaknya antum semua ni lah yang berijtihad sendiri, bukan orang sunnah!

Ana nasihatkan antum semua, kalau nak sangat ceburkan diri dalam masalah ini, mesti kena baca dan mengaji paling kurang pun empat ayat ini, iaitu surah al-Waqiah ayat 77 hingga 80. Sesungguhnya iaitu (adalah) Qur’an yang mulia! Di dalam Kitab yang terpelihara (di Loh Mahfuz)! Tidak menyentuh akan kecuali (hanya) oleh orang-orang yang dibersihkan! Penurunan daripada Tuhan Pengurus sekelian alam!

Lepas baca dan faham maksud empat ayat itu, barulah mudah faham bahawa wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, yang disampaikan ke dalam hati manusia, sebenarnya adalah Qur’an yang mulia! Yang asalnya dari tempat yang terpelihara, iaitu di Loh Mahfuz! Yang dijamin oleh Allah bahawa Qur’an itu tidak pernah disentuh oleh sesiapa samada jin atau manusia! Kecuali hanya oleh satu makhluk yang sudah dipastikan kebersihannya, iaitu malaikat! Itu cerita ayat tu, syeikh! Jadi, ayat yang anta baca tadi tu tak ada kaitan langsung dengan mewajibkan wuduk untuk menyentuh Qur’an! Faham, syeikh?

Anta kata wahabi sesat sebab lafaz al-muthohharuun itu diertikan terus kepada malaikat? Tapi sapa yang lebih sesat memberikan tafsiran al-muthohharuun itu sebagai ‘orang-orang yang ada air sembahyang’?! Berani anta ubah dengan terang lafaz dari isim maf’ul kepada isim faa’il? Terjemahan lafaz asal ialah ‘orang-orang yang kena bersih’, jadi anta dah tukarkan jadi ‘orang yang membersihkan diri dengan mengambil wuduk’!? Antum faham tak ni?

Setakat yang ana tahu, menurut kamus bahasa arab dan juga pendapat para fuqaha’, kata dasar thoharo itu pun lafaz musytarak, iaitu ertinya bersih dari hadas kecil, tidak berjanabah, bersih dari najis, bersih akidah dari dosa syirik! Maka untuk mengkhususkan pengertiannya kepada berwuduk sahaja, mesti ada dalil yang terang dari Qur’an atau Hadis! Jika tak ada, hendaklah dirujuk kepada maksud asal. Maksud asal lafaz al-muthohharuun itu ialah orang-orang yang dibersihkan, iaitu para malaikat! Dengan itu, maka tidaklah boleh diputuskan bahawa haram memegang Qur’an tanpa wuduk! Janganlah pulak fitnah kata orang sunnah mempermainkan Qur’an! Tapi kena faham bahawa berwuduk untuk membaca Qur’an adalah digalakkan! Faham maksud ana, syeikh? Kalu tak faham, jangan malu-malu, boleh tanya!

Nak tanya, zaman Nabi dan sahabat dulu, banyak ke mushaf al-Qur’an, syeikh? Sila terangkan satu dalil masa Nabi atau sahabat nak sentuh Qur’an kena ambik air sembahyang dulu! Pada zaman itu, al-Qur’an terletak dalam dada sahabat, syeikh! Al-Qur’an yang berjalan itu apakah mereka pegang dan sentuh dengan berwuduk dulu? Sila jawab, syeikh!”

Jusoh mencabar Suhaimi. Tetapi Suhaimi diam. Zabidi pun diam. Tiba-tiba salah seorang awok dondang bersuara : “Orang wahabi tidak wirid lepas solat, mereka kata haram. Mereka buat fitnah katanya wirid lepas solat tidak dikerjakan oleh Nabi. Padahal Hadis Nabi ada menyebut man sabbahallah! Orang wahabi mengaku berpegang dengan Qur’an dan Hadis, tetapi mereka tidak tahu baca dan tidak faham apa yang ada dalam Qur’an Hadis. Nabi bersabda sesiapa bertasbih memuji Allah 33 kali, bertahmid 33 kali, bertakbir 33 kali, dan diakhiri dengan laa ilaaha illallah.... akan diampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di laut. Ini tidak mereka kerjakan. Orang wahabi kata bid’ah!”

Jack membentak garang : “Anta kata orang sunnah tak wirid lepas solat? Anta bohong!! Itu fitnah jahat! Ahli sunnah tetap wirid lepas solat. Satu Hadis Nabi SAW, maksudnya : dari Busairah, wanita Muhajirin, katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda : kamu hendaklah bertahlil, bertasbih, bertaqdis. Janganlah kamu lalai, nanti kamu dilupakan dari rahmat. Hendaklah kamu gunakan jari-jari, kerana sesungguhnya jari-jari itu kelak ditanya dan akan disuruh berkata-kata!!

Dari Abu Hurairah ra, sabda Rasulullah SAW : Barangsiapa mengucapkan subhanallah selepas tiap-tiap solat 33 kali, mengucapkan alhamdulillah 33 kali, dan allahuakbar 33 kali, semuanya itu 99 kali, dan diucapkan untuk menyempurnakan seratus, laa ilaaha illallahu wahdahu.... (tidak ada Tuhan yang disembah sebenarnya melainkan Allah, tidak ada sekutu bagiNya, dan kepunyaanNyalah kerajaan, dan kepunyaanNyalah segala pujian, dan Dia berkuasa atas tia-tiap sesuatu), nescaya akan diampunkan dosanya walaupun sebanyak buih di laut!

Orang sunnah pegang kepada Hadis ini. Mereka berwirid. Tetapi kami wirid bukan secara berjemaah dengan berentak berirama dan bernasyid macam yang antum semua buat! Kami berwirid masing-masing, kerana cara itu yang kami jumpa dari petunjuk Nabi. Wirid yang macam mana yang anta maksudkan? Kalau wirid beramai-ramai dengan berlagu hingga tak sedar diri, itu memang orang sunnah tak buat, kerana wirid begitu bukan ajaran Nabi SAW!! Faham?

Orang sunnah tak wirid berjemaah lepas solat pun anta tuduh sesat? Sila beri keterangan dari Hadis bahawa berwirid cara berjemaah seperti itu diajar oleh Nabi!! Wirid lepas solat itu hukumnya apa? Wajib? Sunat? Kalau seseorang meninggalkan perkara sunat, apa dah boleh tuduh sesat? Siapa yang ajar?”

Jack memang dah panas. Rosman yang dari tadi diam, mula bersuara : “Orang wahabi tak baca amin lepas baca fatihah, sebab mereka kata tak ada satu pun nas yang terang. Mereka kata amin itu tidak disebut oleh Allah dalam fatihah pun, kenapa pula kita baca? Itu kata wahabi! Padahal dalam hadis terang dan jelas. Nabi bersabda apabila Imam mengucapkan amin, maka aminkanlah oleh mu, kerana jika setuju amin kamu dengan amin Malaikat, diampuni dosa kamu yang lalu... orang wahabi mengaku berpegang kepada Qur’an Hadis, tapi tak nak ikut Hadis. Inilah golongan pendusta! Nampak benar kesalahan mereka. Padahal ulama’ kita telah menyusun cara dan teknik ibadat yang terbaik. Kita mazhab Syafie, ulama’ mazhab Syafie pakar dalam Qur’an Hadis!”

Jusoh pulak yang jawab : “Mu tuduh orang sunnah tak baca amin lepas Fatihah? Mu sebenarnya pendusta! Buleh kata semua Imam Hadis termasuk an-Nasa’i, Ahmad, at-Tirmizi, Abu Dawud, Ibnu Majah, al-Hakim, Ibnu Hibban, Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi, ad-Daruquthni, Ibnu Siraaj, Bukhari... semuanya meriwayatkan hal mengucapkan amin itu. Sebuah Hadis, maksudnya, dari Abu Hurairah, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : ‘Apabila Imam mengucapkan ghairil maghdhuubi ‘alaihim wa ladh-dhaalliin, hendaklah kamu ucapkan amin. Kerana siapa yang secocok ucapannya dengan ucapan malaikat, akan diampunkan dosanya yang telah lalu.’

Mu jangan main-main tuduh ikut sedap mulut je kata orang sunnah tak baca amin. Cuma antara orang sunnah itu mungkin ada yang baca perlahan (sir) dan ada yang baca kuat (jahar). Itu je! Masalah Sirr dan Jahar amin itu tidaklah sampai boleh dituduh sesat akidah!!! Takkan itu pun aku nak kena ajar?

Ok, aku nak tanya, lafaz amin tu termasuk dalam surah Fatihah dok? Kalu dok, baca amin itu wajib ke dalam solat? Mu tahu ke, para fuqaha’ meletakkan bab amin di bawah perkara sunat, bukan fardhu! Eh, kalu tak baca terus amin, batal ke solat? Apakah orang mazhab Hanafi yang tak baca amin di belakang Imam semua sesat ke?”

Zabidi kembali bersuara : “Untuk memahami al-Qur’an, itu bukanlah sesuatu yang mudah. Inilah kesalahan utama orang wahabi, mempermudah-mudahkan Qur’an. Baru baca terjermah sikit, nak memandai-mandai untuk ijtihad sendiri! Al-Qur’an itu sangat susah. Maknanya dalam. Nak mengaji mesti cukup alat-alatnya. Kalau tak ada ilmu alat, baiklah kita ikut saja apa kata ulamak yang benar-benar pakar tentang Qur’an dan Hadis! Sebab Ayat Qur’an kebanyakannya umum. Kita ni sapa, syeikh? Takkan kita lebih pandai dari ulama’, hingga boleh tafsir Qur’an sendiri-sendiri?”

Jusoh Jawab : “Sebagai seorang yang mengaku Islam, anta tak patut berfatwa macam tu!! Sebab di manakah logiknya jika menyeru umat Islam suruh kembali berpegang kepada Qur’an, tetapi dilarang mempelajarinya!! Tahukah antum bahawa sejak al-Qur’an diwahyukan, pihak zionis telah bermati-matian berusaha menutup mata umat Islam dari Hidayah al-Qur’an, dan sampai ke satu peringkat mereka dah jumpa satu bahan, iaitu dengan meniupkan ke dalam jiwa umat Islam bahawa al-Qur’an itu adalah kitab langit yang terlalu sulit untuk memahaminya. Tujuan zionis buat begitu supaya umat Islam jauh dari Qur’an! Bahan ini sudah berjaya melumpuhkan umat Islam selama berkurun-kurun, kerana mereka menjauhi Qur’an!

Sepatutnya umat Islam mencampakkan, membenteras dan menyerang semua dakwah songsang yang telah berjaya meracuni fikiran umat Islam selama ini! Para pendakyah yang menyamar sebagai pendakwah ini berbaju Islam, berjubah, berserban, bertasbih, tetapi ingatlah mereka ini adalah penyambung lidah iblis zionis yang berusaha menjauhkan umat Islam dari al-Qur’an!!

Ana nak bagitahu, orang sunnah yang antum panggil wahabi tu, mereka belajar Qur’an mudah je. Lengkap dengan ilmu alat, Nahu, Saraf, Ma’ani, Bayan, Balaghahnya; tak perlu mahir bahasa Arab pun, cukup dengan kemampuan membaca Qur’an je. Allah menurunkan Qur’an kepada manusia melalui Rasulullah SAW adalah untuk dipelajari dan dijadikan panduan sepanjang hidup! Bukan untuk dibuat perhiasan atau azimat!

Al-Qur’an adalah kalam Allah, diturunkan untuk manusia, mana mungkin ianya terlalu sulit sehingga manusia sendiri susah nak faham? Al-Qur’an disampaikan oleh Nabi SAW untuk setiap manusia, khususnya kepada orang beriman, bukan untuk tok guru dan ulamak sahaja! Atau antum fikir al-Qur’an diturunkan untuk makhluk Allah yang lain, tidak sesuai untuk manusia? Ada kah munasabah, antum sendiri tak mampu belajar Qur’an, antum pergi dakwah bagitahu orang ramai jangan belajar Qur’an sebab susah nak faham dan tak cukup alat? Apa antum semua selama ni tak habis menuntut ilmu alat lagi? Tak jumpa lagi alat untuk belajar Qur’an? Bukankah semua alat itu sudah sedia dengan lengkap?

Pasal apa antum kata susah sangat belajar Qur’an? Kan Allah ulang sebanyak empat kali, menjelaskan mudahnya al-Qur’an itu dipelajari dan diambil ingatan. Surah al-Qamar Ayat 17, 22, 32, dan 40!”

Rosman terdiam. Semua diam. Nampak dua orang awok dondang duk bok-bek bok-bek bisik sama sendiri. Jusoh terus sound : “Ye syeikh, nak cakap biar terang. Jangan duk main wat bolok suara dalam tekak gitu!”

Salah seorang awok dondang berkata : “Ustaz wahabi kata sesiapa yang menghafal sifat 20, dia sesat! Padahal ilmu Tauhid kita (Sifat 20) sudah lengkap disusun oleh ulama’ yang pakar. Orang yang faham tentu tahu Sifat 20 itu terbahagi dua, Istighna’ dan Iftiqor ilaihi! Sifat Nafsiah, Salbiyah, Ma’ani dan Ma’nawiyah.... tapi wahabi kata sesat! Macam mana tu?”

Jack jawab : “Bertauhid adalah tuntutan yang paling utama yang diperintahkan oleh Allah. Sebab itu orang sunnah menjadikan Tauhid sebagai pelajaran utama. Tetapi tauhid yang kami pelajari ialah tauhid ulama’ salaf yang dipelopori oleh Imam Ahmad bin Hanbal. Kalau kami wahabi, Imam Ahmad pun wahabi. Kalau wahabi tu sesat, Imam Ahmad pun sesat!!! Imam Ahmad tak belajar dan tak mengajar Sifat 20! Imam Syafie pun tak sempat! Semua Imam mazhab tak ajar Sifat 20! Anta mazhab apa, syeikh?”

“Orang wahabi kata.....!” Pian pulak cuba ambik bahagian.

Jusoh memotong : “Ops tunggu dulu, syeikh! Jangan hanyut jauh sangat! Balik kepada persoalan asal kita, kata kuncinya, antum kata wahabi sesat, betul? Bila ana tanya apa yang sesat, antum kata sebab percaya sentuh lelaki perempuan tak batal wuduk! Right? Ana dah terangkan kedudukannya, anta kata pulak sebab wahabi tak ambik wuduk kalu nak sentuh Qur’an. Ana terangkan lagi alasannya, anta kata pulak orang wahabi tak baca amin. Ana jawab lagi dengan panjang lebar, anta kata wahabi tak wirid lepas solat pulak dah. Ana dah jelaskan semuanya, antum kata pulak tak boleh belajar Qur’an! Ana jawab, antum ungkit bab sifat 20 pulak. Ana dah cakap tauhid orang sunnah macam mana, sekarang anta nak cakap apa lagi?

Ana nak tanya, sebenarnya tujuan antum semua berbahas ni untuk apa? Untuk nak cari kebenaran, atau sekadar nak tunjuk terer? Sebab kalau berbincang untuk bertukar fikiran dan sebagai wacana ilmu, bukan macam ni caranya. Nak berdakwah? Dakwah tengkorak kering apa lagu ni? Telatah antum ni, itu sesat, ini wahabi, rosak akidah, itulah yang nampak antum ni macam penganut ajaran sesat!”

Demikian adanya.
Bersambung..