Thursday, August 11, 2011

Hati si Jusoh: episod 21

Ikhlas Tapi Bahlul!!

Sebelum masuk kereta, Jusoh talipon Rosman. Kabo dia kat bandar. Jusoh suruh Rosman tunggu di rumah, kejap lagi dia balik. Dalam pada tu, dang jugak Jusoh kata sikit ke Rosman. Kena kabo gak sepatah dua. Biar ah umur sama tua pun, biar ah kawan lama kenal sejak zaman sekolah pun, kalu rasa ada benda dok kena, Jusoh dok tunggu lama, basuh terus!

“Mu jangan berasa hati ah, aku nak kena kabo sikit ni. Cara mu ni dok kena, Mang! Orang dok buat kerja gini, tau dok? Mu nak mari umah aku bila-bila masa pun aku dok kisah. Mu nak bawak geng berapa orang pun tak dok hal. Tapi bakpe yang dok buleh talipon dulu? Susah sangat ke? Apa benda masalah? Guane mu koho lama jadi koho dok cerdik gini?

Yang jenis mari mengejut rumah orang ni, ada dua martabat je, Mang! Samada salesman nak jual penapis air, atau tukang tarik kereta! Kurang-kurang tanya lah dulu, aku ada di rumah ke dok, aku free ke dok! Entah-entah aku tengah tidur ke, tengah siaran langsung dalam bilik ke, tengah sambung projek tertangguh dengan bini aku ke... mu main redah takdok signal pakai masuk ikut dang je! Mu jangan wat kerja gini lain kali! Inipun mujur kebetulan aku ada di Kuantan, buatnya aku ada di Colombia ke, di England ke, mu nak tunggu aku balik?

Mu dok buleh pikir ke... mu mari rumah aku ramai-ramai, aku takdok di rumah, bini aku anak-anak aku dalam rumah, mu melonggok atas wakaf luar rumah, mu ingat molek sangat ke orang tengok? Mu tak fikir ke apa kata jiran-jiran aku? Mu tak fikir ke pandangan orang? Paling koman pun mesti orang ingat aku buat kenduri tahlil tak jemput dia orang! Biar reti gak sikit, Mang! Mu tunggu ah, kejap lagi aku sampai.”

Ambik nak! Boleh bayang Rosman tersengih-sengih macam muka kerbau termakan sabun lepas kena sound dengan Jusoh.

Masuk kereta je, mula-mula sekali Jack kabo lain kali dia nak mari lagi taman kerang. Yang kedua, dia suruh singgah mana-mana kedai, nak beli berus gigi! Sikat pun nak kena beli satu lagi. Yang satu tu selalu tertinggal dalam dash-board kereta je, susah jugak.

“Huh, sahih pagi tadi tenyeh gigi dengan jari je!”

“Haha! Tak ada lah... aku tengah gosok gigi, entah macam mana, entah sapa-sapa yang sebut nama aku, berus gigi boleh terpelanting masuk dalam lubang tandas. Aku buang je lah...!”

“Hahaha! Itulah, mu degil, tak dengar nasihat doktor. Doktor kabo sokmo, cara-cara menggosok gigi yang betul, hendaklah memberus atas bawah atas bawah! Mu bantai gonyoh kiri kanan kiri kanan sampai bergegar kepala macam nak tercabut gusi sapa suruh?”

Jack gelak berdekah-dekah bila Jusoh bagitahu, kalu tengok video yutube puak-puak sufi zikir sambil berjoget head-bang, ada sorang tu, bila dah naik syeh, dalam duk uh ah uh ah! hik hah hik hah! tu, dia bangun berdiri, pergi dekat tiang, dia hangguk kepala tepi tiang tu sebijik gaya orang tengah gosok gigi dalam jamban!

“Ok, aku cerita secara ringkas setakat yang aku tahu, bai! Tahun 1981, ada satu ceramah Maulid Nabi di Teluk Intan. Masa tu namanya Telok Anson. Di Perak. Nama tempat tu Cenderong Balai. Tapi aku tak sure Cenderong Balai ni nama kampung atau nama balai raya! Penceramahnya Haji Abdullah bin Marzuki.

Ceramah tu satu jam. Abdullah Marzuki gunakan kesempatan itu untuk menabur fitnah dengan menerangkan kepada masyarakat Islam di sekitar kawasan Teluk Intan, kononnya ada satu golongan di Kuala Pilah yang mengaku dirinya sebagai Ittiba’ is-Sunnah, tetapi mereka telah menyeleweng dari ajaran Qur’an dan Hadis! Abdullah Marzuki buat fitnah macam-macam, lepas tu dia hentam habis-habisan. Dia gunakan peluang ceramah sambut Maulid Nabi dengan mengeronyok Ahlissunah di Kuala Pilah dengan nada dan gambaran yang cukup jijik!

Kalau pendengar tu orang biasa, maksud aku yang tak ambik tahu sangat pasal pertentangan antara ahli sunnah dan ahli bid’ah, sure dia orang ingat itu cerita tentang ajaran sesat! Memang itu lah niat penceramah tu pun. Dia gambarkan seolah-olah madrasah ittiba’ is-sunnah itu seperti pusat menyebarkan ajaran sesat. Dia tak fikir di kawasan Cenderong Balai tu sendiri pun ada orang sunnah! Macam kau cakaplah, bai! Di mana ada khurafat dan bid’ah, di situ tetap ada orang wahabi yang akan lawan! Jadi, teks ceramah Haji Abdullah Marzuki sudah sampai ke tangan ustaz Hashim Ghani! Sebab dia mudir di Madrasah Ittiba’ is-Sunnah tu. Dia yang bertanggungjawab atas segala urusan yang berkait dengan Ittiba’ as-Sunnah di Kuala Pilah. Dah tentu orang tua tu tersinggung dengan fitnah palsu dan melampau macam tu.”

Jusoh mendengar penuh minat. Padahal dia ada penyakit tu. Penyakit sebak! Dok berapa buleh dengar cerita-cerita gini, mudah sebak. Kalu dah naik sebak, lebih baik diam. Bukan tak buleh bercakap, buleh! Tapi tubik suara macam Nordin Ahmad ah!

Teringat cerita Seri Mersing. Sedih bukan main. Kesian sungguh ke Damak. Masa Deli tengah tolak perahu jalur, Damak pegi rungkai tali perahu yang ditambat pada pokok, masa tu lah Pak Malau mari pujuk. Janganlah balik ke Pahang. Duduk lah di bumi Mersing ni. Orang-orang Mersing semua suka kalu Damak duduk sini. Last sekali, Pak Malau kata, sungguh keras hati mu, Damak! Sekeras-keras batu dapat juga dilenturkan dengan air, tetapi keras hati mu, tak dapat dilenturkan dengan kata-kata...! Masa tengah pegang tali perahu jalur itu lah, sempat lagi Damak berpantun :

Apa diharap kepada paya. Dalam tidak tohor pun bukan. Apa diharap kepada saya. Terbilang tidak masyhur pun bukan!

Lepas tu Seri pun mari sambil menangis, abang Damak..! Sampai hati abang Damak meninggalkan Seri.... Ceh! Jusoh berangan kalau dia berlakon jadi Damak, sapa lah agaknya yang jadi Bentayan!

“Owh itu sebabnya yang ustaz Hashim Ghani jawab dalam buku Gayung Bersambut tu....!” Jusoh memberi cadangan sambil mengangguk-ngangguk kepala.

“Ya. Semata-mata untuk menangkis fitnah jahat itu dan juga untuk mempertahankan diri, sambil membersihkan noda yang disebarkan oleh Haji Abdullah Marzuki. Lepas keluar buku Gayung Bersambut, ada lagi satu buku, ‘Gayung Bersambut 2 – Ittiba’ Is-Sunnah Membela Diri’. Kedua-dua buku tu diharamkan oleh KDN. Buku Gayung Bersambut 2 ni lah yang Nahmar Jamil nak kondem, itu yang dia keluarkan buku Bermazhab Haram dan Sesat tu! Lepas tu, ustaz Hashim keluarkan lagi satu buku untuk jawab buku Nahmar Jamil, tajuknya Kata Berjawab!”

“Ooooh gitu kesahnya! Ok itu secara kasar. Kalau secara rincinya, sebenarnya apa lagi tuduhan yang dibuat oleh Haji Abdullah Marzuki masa ceramah Maulid Nabi di Cenderong Balai tu?”

“Sampai satu tahap, dia bagitahu pendengar, apa yang berlaku di Kuala Pilah itu adalah dari gejala syaitan laknatullah, yang meresap ke dalam orang-orang Islam dengan menggunakan nama-nama yang baik, tetapi hakikatnya adalah sesat dan menyeleweng dari jalan yang lurus”.

Pinnggg!!!! Ceh, Jusoh tertumbuk hon pada stering. Mujur bunyi tak kuat sangat. Suasana senyap sekejap. Pause. Jusoh kehilangan kata-kata. Sebak. Jack meneruskan cerita : “Dia mengejek, buat-buat cakap dalam loghat Pilah, ada seorang guru sunnah, konon mengajar Qur’an, mengutuk ajaran Sifat 20, tapi guru mengajar duduk atas kerusi, anak murid duduk kat bawah pegang Qur’an..! Kitab al-Qur’an diletakkan lebih rendah dari guru..!”

Jusoh mendengus. Hidung dah rasa tersumbat. Nafas pun dah soh seh soh seh bunyi macam itik serati. Jusoh ambik tisu, tekup hidung, tutup lubang hidung sebelah, dan dengan penuh perasaan Jusoh pun push, sssnnnggnngsh!!! Bunyi macam mercun lalat.

Lalu depan medan pelancong tepi benteng sungai Kuantan, depan stesen bas lama yang mengadap Hotel Tong Nam Ah. Jusoh berhenti depan 7-Eleven yang mengadap KFC. Di sebelahnya ada supermarket. Bukan setakat minyak rambut, kalau Jack nak beli mesin basuh pun boleh!

Masa tunggu Jack dalam kereta, Jusoh sempat toleh belah kanan ke arah lorong kecik tepi kedai gambar. Lorong tu buleh tembus ke Jalan Haji Abdul Aziz, tubik ikut tepi kedai kain. Nampak suasana di taman kerang makin meriah. Makin hidup. Makin berbolok dengan orang-orang. Dan seperti biasa, 97 peratus daripadanya adalah orang laki-laki macam Jusoh.

Dikatakan begitu kerana di situ pun ada jugak orang perempuan yang jual ubat! Dia jual ubat kuat lelaki pulak tu! Jusoh pernah singgah buat-buat tengok ubat atas meja, dengar dia cakap :

“Orang kata mana boleh perempuan jual ubat lelaki? Apa sangat yang orang perempuan tahu tentang lelaki? Saya jawab, perempuan lah yang lebih tahu kehendak orang laki. Suis ada pada orang perempuan. Kalau orang lelaki cerita sama lelaki, apa sangat yang mereka tahu? Sebab tu ada orang lelaki, dia kuat, dia gagah, tapi isteri dia tak puas. Kenapa? Sebab dia tak tahu teknik. Dia tak tahu apa kehendak isteri dia. Yang dia tahu, kepuasan untuk dia sorang je, sedangkan isteri merana, tersiksa batin, tidak ada rasa nikmat bersetubuh! Orang laki, yang dia tahu nak yang muda, nak cari yang bergetah je... eh, kalau kita naik kereta kancil baru dengan kereta volvo second hand, mana yang lebih sedap? Kereta kancil kecik, tak ada pick-up, nak naik bukit tinggi pun tak lepas. Kereta volvo, walaupun second hand, tapi prestasi bagus, banyak pengalaman, besar, kuat, gagah! Inilah yang orang laki nak kena tahu...!”

Jusoh mula jadi macam Bangla hilang sikat. Genaleng! Jadi salah-habah dok juruh-arah sekali! Walaupun perempuan jual ubat itu tidaklah muda mana, Jusoh agak umurnya paling koman pun sebaya dengan umur stadium merdeka, tapi bila dengar dia cakap gitu, ish, dada Jusoh berdebar dup dap dup dap jugak. Tergamak perempuan yang berusia peringkat kakak-kakak tu berbicara hal macam tu depan Jusoh? Sampai hati dia! Tidakkah dia tahu, bahawasanya Jusoh adalah seorang jejaka yang pemalu, yang mudah lemah semangat? Masa Jusoh nak beredar dari situ, kakak itu senyum-senyum pandang muka Jusoh. Sebab walaupun Jusoh buat-buat tenang muka toya ikan sardin, tapi sebenarnya Jusoh tertelan air liur! Kakak tu tahu sebab dia nampak biji halkum kat tekak Jusoh bergerak. Itu yang buat dia senyum. Cih!

Selain kakak mulut takdok penapis tu, ada sorang lagi perempuan melayu yang berniaga di situ. Meja dia hujung sekali dekat batang pokok sena MPK. Tapi yang ni bukan pangkat kakak lagi dah. Dah peringkat nenek-nenek. Dah tua. Tengok pipi pun dah nampak macam roti canai tak cukup tepung! Berkedut. Tapi dia bukanlah jual ubat tenaga batin macam kakak volvo tadi tu. Ye lah, nak jual ubat kuat apa, dia sendiri nak angkat senduk nasi pun tak larat!

Tengok atas meja dia ada macam-macam. Seterika arang. Gobek sireh. Pisau cukur lama. Mata cukur cap buaya. Stapler terpakai. Pisau mesin. Ketip kuku besar made in Korea. Pitis kertas zaman Jepun gambar pokok pisang. Duit syiling empat segi gambar Kuin Elizibeh. Wang kertas gambar kerbau tenggala. Pelita corong yang ada gambar pelakon wayang cina pegang kipas angin. Ball pen Reynolds yang zaman dulu harga 45 sen satu. Bedak cuticura. Bedak pipi amami. Mercun bawang. Rokok daun pucuk nipah. Dua ringgit satu berkas besar betis. Tembakau Terengganu. Enam belas rial setahil, isi dalam bekas kodak. Pil KK pun jual jugak! Dia rembat kat mana, tak tahu lah! Pendek kata, macam-macam ada! Barang antik dan barang plastik! Sampai kan pelampung pukat kaca warna hijau yang orang kelaut zaman dulu pun ada jual jugak! Nasib baik meja nenek tu tak besar mana, kalau tidak, barangkali kipas helikopter nuri pun dia angkut jual kat situ!

Lepas tu, belah hujung mengadap padang, ada sorang nyonya tua jual ubat. Lagi sempoi. Dia duduk atas kerusi kecik sekolah tadika, ubat-ubat atur atas tikar. Mentang-mentang tempat tu orang panggil tempat orang jual ubat, dia jual ubat betul. Ubat dia skema habis. Semua jenis yang ada jual kat kedai runcit. Panadol, cortal, koyok, ubat sakit gigi cap kaki tiga, plaster handy-plast, dequadin, ubat kurap, panau salap cap gajah, minyak angin yuyi cap limau, vicks, air cap badak, gula-gula fishermen, buah goji pun ada! Pernah sekali Jusoh melintas depan nyonya tu, Jusoh tak kata apa, cuma tunjuk buah goji dengan tangan, lepas tu Jusoh angkat ibu jari, tunjuk tanda bagus! Amboi ah soo tu punyalah senyum, jelingan manjanya tu mengalahkan ah moi jual syampoo kat supermarket! Jusoh rasa pun nyonya ni kelepek ubat-ubat tu kat kedai mini market pak sedara dia, lepas tu dia bawak mari jual bawah pokok!

Itulah saja tiga orang wanita yang menjadi warganegara taman kerang. Yang lain semua jantan. Jusoh perasan orang ramai masih berkerumun pada halaqah yang janji nak bagi minyak sex-top percuma sorang satu sorang satu. Jusoh tergelak bila Jack tanya, dia bagi free betul ke? Betul lah, memang dia bagi percuma!

Tapi, ye lah! Nama pun penjual ubat! Buah kilas mesti ada! Kalu setakat nak bagi ubat percuma saja-saja gitu je, buat apa susah-susah dia mari taman kerang! Pergi je kat stesen bas, lagi senang! Penuh orang tengah tunggu bas atas kerusi panjang. Setakat nak bagi sedekah, kalu free tak payah bayar, jangankan ubat sex-top, kalu bagi ubat gegat pun dia orang ambik!

Rupa-rupanya dia ada jual ubat lain. Ma’jon. Pil campuran herba tongkat ali, misai ali, janggut ali, rempah gunung, tunjang bumi, ubi jaga, haji samad, halia bara, sepang kederang, dan lain-lain. Satu botol harga 20 ringgit, 3 botol 50 ringgit. Sapa yang beli 3 botol ma’jon dapat hadiah percuma satu botol sex-top! Kononnya, kalau sapu minyak sex-top saja saja, tak ada kesan kalau tak makan ma’jon. Wajib makan ma’jon, baru menjadi. Tapi kalau makan ma’jon saja saja, tak sapu sex-top, pun menjadi jugak! Ceh, maknanya, minyak sex-top tu bukan ada khasiat apa-apa pun, entah air livita ke, red bull ke, dia campur minyak kelapa, lepas tu isi dalam botol kecil!

Sama juga yang jual minyak lintah. Dia bawak buluh tumpat. Buluh tumpat betul! Buluh padu tak ada ruas. Keras bukan main. Lepas bersyarah panjang lebar tentang khasiat buluh tumpat, dia janji nak bagi percuma sikit sorang seketul besar ibu jari setiap orang, sebelum balik karang. Dia pun tukar tajuk bab minyak lintah pulak. Harga 10 ringgit satu botol 20 ringgit tiga botol! Sayang duit 20 ringgit punya pasal, isteri tak puas, curi makan kat luar. Katanya! Depan dia penuh keratan suratkhabar, dia letak dalam album gambar. Tajuk jangan cerita ah : layu sebelum kembang, isteri tidak puas seks, kahwin 5 tahun masih dara, lelaki 88 tahun kahwin gadis 18 tahun, 95 peratus lelaki mati pucuk, isteri curang, isteri dahaga, isteri haus, suami lembik, suami ku bukan jantan, suami ku boyok, macam-macam!

Bila minyak lintah dah habis jual, dia pun kata, tadi saya sudah janji, nak bagi buluh tumpat percuma sikit sorang. Jadi tuan-tuan pun tahu, buluh tumpat ni keras. Tak boleh kerat dengan pisau, tak lut! Kalau takik dengan golok pun tak boleh, pantang! Nanti buluh ni akan jadi lemah, tak mustajab. Syaratnya mesti kena potong dengan gergaji besi. Jadi sapa-sapa yang ada bawak gergaji besi, bagi kat saya, bolehlah kerat sikit bagi bawak balik.

Hah, mamfush! Orang kampung mana lah yang pergi ke bandar bawak gergaji besi dalam poket? Nak buat apa, bukan glemer pun! Tak rock langsung! Nyudahnya, sorang pun tak dapat buluh tumpat. Habis semua kena tipu. Yang sedihnya, ada juga hamba Allah yang dah ada minyak lintah kat rumah, tak pernah pakai pun, tapi beli jugak sekali lagi semata-mata nak ambik hati orang tu dan berharap untuk dapat percuma buluh tumpat besar jari kelingking! Adoh rugik akuk!

Amboi, Jack tak sampai-sampai lagi ni? Pergi beli berus gigi ke pergi tampal gigi? Nak kata cuci rambut pun, mana ada unisex salon dalam 7-eleven! Takkan beli sikat pun macam nak beli money order kat pejabat pos pulak! Nak beli postal order 32 ringgit, tunggu sampai sejam lebih. Tapi nak wat guane, nak salahkan kerani pejabat pos pun tak boleh jugak. Bukan sebab dia orang lembab. Mereka kerja pun bukan main semangat. Malah kesungguhannya tu patut jadi contoh kepada kakitangan pejabat lain. Tengok lah, sekali dia tekan cop, gung gang gung gang! commitment sungguh! Kita dengar pun naik risau, takut tercabut lengan! Mana ada kerani kat pejabat lain yang cop surat sampai bergegar cermin kaunter? Tapi, ye lah! dalam cop degung degang rudung radang tu lah, Jusoh nak bayar air 16 ringgit, kena tunggu sampai 54 minit!

Tak habis. Memang tak habis. Kalu nak cerita hal taman kerang saja, kena buka kitab lain. Bukan semuanya jual ubat. Ada yang jual entah apa-apa! Pernah sekali, ada sorang tu, pakai baju hitam seluar hitam, ikat kain merah kat pinggang, muka macam Latif Borgiba. Katanya dari Sarawak. Tapi cakap macam orang Indon. Dia bawak sekor binatang, tapi tak boleh tengok sebab dia bungkus dalam kain hitam. Pada kain tu ada satu lubang besar ibu jari. Nampaklah bulu binatang tu terkeluar, macam bulu monyet. Tak tahu binatang apa, tubuh besar sikit pada tupai. Katanya binatang tu nama bahlul. Tak ada di semenanjung, hanya boleh jumpa di hutan Sarawak. Bukan semua orang boleh dapat, sebab bahlul ni binatang yang ada tuah. Dia pun bersyarah.

“Kalo di Sarawak pak, jalannya berlobang-lobang! Tetapi di Kuantan pak, lobangnya pula yang berjalan-jalan! Orang bilang, penjual ubat jual temberang. Penjual ubat jual air liur! Jual kelentong! Saya bukan mao jual ubat. Kalo bapak-bapak sakit, tidak kuat, lemah, mao gagah, mao besar, mao panjang segala, tolong jangan tanya sama saya! Minta maaf minta ampun saya nggak bisa nolong! Kalo ditanya, saya coma mampu bilang pergi klinik pergi hospital.

Saya coma mao buat pertunjukan. Pertunjukan apa? Pertunjukan bahlul!”

Dia pun bagi comand, “Bahlul! Goyang!” Nampak ekor bahlul bergoyang gedik gedik gedik gedik. “Ok, stop!!” Bahlul pun duduk diam. Tuan bahlul mengulang sebut goyang stop goyang stop sampai tiga empat kali.

“Bahlul binatang yang punya tuah. Tapi kapan saatnya tuah itu mau datang, kita nggak tahu! Baiklah, ini telur ayam! Biasa kita ketemu dalam telur ayam ada anak ayam. Tapi hari ini, berkat tuah si bahlul, kita akan bisa sama-sama saksikan keajaiban ciptaan Allah subhanahuwata’ala, bahawa dalam telur ayam ada anak ikan! Siapa-siapa di kalangan bapak-bapak, yang mau menompang bahlul punya tuah, harus memenuhi tiga syarat! Syarat yang pertama, harus mao ikhlas! Yang keduanya, harus yakin. Dan yang ketiga, jikalau dikaruniakan wang yang banyak, jadi kaya, maka harus disedekahkan sebahagian wang itu kepada orang-orang melarat, orang miskin, golongan fakir!

Baik! Saya akan pecahkan telur ayam. Sesiapa yang mau menyaksikan anak ikan dalam telur ayam, makanya harus ikhlaskan hati, harus yakin dengan rezeki Allah, dan jangan tamak.”

Tangannya tepuk bahlul, dan menatang tu ada bunyi suara krok krok. Dia pun buat-buat serius, dan meneruskan bicara.

“Bahlul kasi tau, katanya coma sepuluh orang diizinkan untuk menumpang tuah hari ini! Syaratnya harus yang benar-benar ikhlas. Sebelum saya pecahkan telur ayam, ayuh! sila ke depan, duduk, saya mau sepuluh orang saja, nggak bisa lebih!”

Tak sampai setengah minit, cukup sepuluh orang yang sukarela nak jadi bahlul. Itupun ada lima enam orang lagi yang kena reject sebab lebih kuota. Kesemua sepuluh orang itu diarahkan duduk mencangkung depan orang Sarawak yang muka macam Latif Borgiba tadi. Nampak muka sorang-sorang pun memang ikhlas sungguh. Ikhlas nak jadi bahlul! Yang lain berdiri jauh sikit ke belakang. Termasuk Jusoh. Berdiri paling belakang di antara yang belakang. Jusoh saja nak tengok kebahlulan orang melayu. Manusia yang membahlulkan diri sendiri.

Dia pun pecahkan telur dalam piring. Semua muka suspen nak tengok anak ikan keluar dari telur ayam. Berkat tuah bahlul. Yang keluar bukan anak ikan! Bukan! Tetapi nombor! Ya, nombor empat angka tertera pada piring di bawah lapisan lendir putih telur! Wow! Empat angka! Tuhan nak bagi rezeki. Berkat tuah si bahlul!

“Apa betul, kamu benar-benar ikhlas?”

“Ya, ikhlas..!”

“Kalo saya minta sama kamu sapuluh ringgit, apa kamu ikhlas mao kasi sama saya?”

“Boleh! Ya, ikhlas saya bagi!”

“Betul?”

“Betul!”

“Kamu janji bila dapat wang banyak, kamu bisa sedekahkan sama orang miskin?”

“Ya, saya janji!”

“Kalo saya minta semua wang yang ada dalam poket kamu, apa kamu bisa kasi?”

“Er.. boleh.”

“Betul? Kamu ikhlas?”

“Ya, ikhlas!”

“Kamu yakin sebenar-benar yakin bahawa Tuhan akan menolong membuka pintu rezeki kamu berkat tuah bahlul?”

“Ya, insya Allah, yakin!”

“Ya, coba kamu keluarkan semua wang yang ada pada kamu, saya mao pegang sekejap, boleh?”

Kesemua sepuluh orang kena macam tu. Serahkan semua duit yang ada kepada tuan bahlul. Ada yang dua ratus lebih, ada yang seratus lebih, paling banyak empat ratus lima puluh, paling sikit dua puluh tujuh ringgit. Jusoh perhati dari belakang. Ingatkan dia bergurau je, kot-kot lah lepas tu dia pulang balik duit kepada 10 orang bahlul melayu tu, rupa-rupanya tidak! Dia perhambat kawan ni suruh pergi beli nombor ekor cepat-cepat, pesanan terakhir dia, IKHLAS! Kejap lagi dia pun hilang!

Kesemua sepuluh bahlul tu orang melayu. Agama Islam. Ikhlas punya pasal, semua jadi bahlul. Hidup bergelumang dengan syirik, khurafat, tahyul! Sewenang-wenangnya tanpa rasa bersalah. Mereka jahil tentang iman. Orang Agama tak ada masa nak ambik tahu masalah itu. Itu hal remeh-temeh. Orang Agama sibuk nak mewahabikan orang. Orang agama sibuk nak siasat siapa tak baca Qunut, siapa tak pergi Tahlil, siapa tak baca Yasin, siapa tak sambut Maulid. Orang agama sibuk nak dakwah supaya orang ramai jangan ikut golongan yang ikut sunnah Nabi. Itu golongan sesat. Wahabi! Perjuangan melawan puak-puak sunnah adalah jihad! Orang Islam nak jadi bahlul ke, orang Islam tak tahu mana syirik, mana khurafat, mana tahyul... itu soal kecik! Masalah khilafiyah je tu! Perkara tu dah lama selesai. Jangan nak samakan kita dengan orang Arab. Kita orang melayu. Wajib ikut mazhab Syafie. Pulak!

Jack masuk kereta dengan muka senyum jadi tak jadi. Dah agak dah. Memang tak ada sebab lain. Jusoh bukan baru seminggu dua kenal Jack. Kalu depan perempuan, lembik tengkok selalu! Perangai romeo brazil dia tu tak habis-habis lagi.

“Ish, lawa awek seven-e tu, siol! Baik pulak tu. Pakai tudung, aduuh! Muka syahduuu, aku cakap kau! Aku tanya duduk mana, dia cakap taman sepakat. Dah aku tak tahu nak borak apa lagi, aku tanya lah, mak sihat? Amboi dia senyum punyalah ikhlas... eh taman sepakat kat mana, bai?”

“Budak tu nama Anis, kan? Haha! Mu jangan buat pasal Jack. Nanti bini mu mengamuk mari Kuantan cari aku, sapa nak jawab! Apa-apa hal, aku tidak terlibat dalam ini pilem!”

“Kau kenal ke budak tu, bai? Tapi memang lawa, kan?”

Memang lawa. Muka macam Lisa Surihani. Tapi Anis pakai tudung. Dan dia memang baik. Dan Anis pun kenal Jusoh. Tapi tak payahlah tanya kenal kat mana. Yang penting, Anis pun tahu Jusoh memang baik. Auw! Titik.

“Eh, cerita gayung kita tak habis lagi tadi....! ok, apa tuduhan spesifik sampai Abdullah Marzuki kata ittiba’ as-sunnah itu dirasuk syaitan?”

“Mula-mula tu, biasalah, mukadimah. Lepas tu dia baca Hadis, telah aku tinggalkan kepada mu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi berpegang kepada Qur’an dan Sunnah Rasul. Lepas tu, dia menyeru pendengar supaya memahami isi Qur’an dan isi Hadis Rasulullah SAW.

Lepas tu, dia mula huraikan bahawa untuk nak memahami Qur’an tu bukanlah mudah, tetapi sesuatu yang sangat susah. Kalau tak ada alat-alatnya, eloklah kita ikut je apa kata ulama’ yang benar-benar pakar tentang Qur’an Hadis, sebab ayat Qur’an tu kebanyakannya umum. Susah nak faham!”

Jusoh cuba berkata sesuatu, tapi suaranya tersekat di kerongkong. Jack meneruskan cerita. Dan sambungan itu akan diceritakan dalam siri akan datang.

Demikian adanya.
Bersambung....