Thursday, March 31, 2011

Hati si Jusoh: episod 8

Anak Melayu Penganut Ahbash

Lepas Asar. Jusoh dan Rosman on de way nak balik Kuantan. Singgah Kuala Kemaman jap, beli otok-otok dan satar di kedai Aziz Satar nak bawak balik ke Mek Dayang dan anak-anak.

Rosman pasang CD, berkumandang lagu Mat Jais... seelamat tiinggal bunga kuu... aku bermoohon pergi dahuluuu.... terima kasih seruan kuu... jasaa mu untuk diiri kuu..... ke timur aatau utaraaa.... tak tentu di maana nak tujukaan... setitik aair mataaa.... dititiskan dibuang jaaangan...

Tiba-tiba Rosman tutup radio. Kalu drive sorang-sorang sedap gak dengar lagu lama gini, tapi sekarang masa tak sesuai.

“Aku malas sungguh nak cerita bab wahabi ni Mang. Kang aku kabo dah ke mu, bagi aku, wahabi sebenarnya takdok di Malaysia ni, kalu di negeri lain aku tak tahu lah!” Jusoh memulakan persidangan, menyambung perbualan yang terputus sebelum isi minyak kereta di stesen dekat INTAN tadi. Bau otak-otak + satar + pulut lepa semerbak masuk dalam hidung.

“Mana buleh takdok, Soh... kalu takdok takkan orang cerita...! Memang ada di tempat kita ni puak yang suka membid’ahkan orang....! Puak mana lagi, wahabi lah tu...!” Rosman tetap tak bagi Jusoh mengelak alih tajuk lain. Inilah satu-satunya tajuk yang dia rasa boleh makan Jusoh. Rosman perasan, kalu sebut perkataan wahabi je, muka Jusoh terus akan jadi sweet sour, masam-masam manis.

“Memang orang cerita... tapi mu kan orang cerdik Mang. Belajar luar negeri. Takkan mu tak buleh pikir sendiri, takkan main percaya macam tu je apa benda yang orang cerita! Pikir lah sikit, Mang! Aku sendiri memang tak pernah jumpa orang yang membid’ahkan orang, tapi yang kerap aku jumpa, memang ada satu puak orang Melayu yang suka mewahabikan orang lain!” Nampaknya Jusoh bersedia untuk membeli secara runcit.

“Mu sokong wahabi, memang mu kabo gitu! Mu tak sensitif langsung dengan perpecahan yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia ni, Soh! Bagi aku, puak mana yang salah puak mana yang mana, itu soal nombor dua... yang aku nampak, wahabi memang menjadi punca umat Islam berpecah-belah. Sebab tu aku percaya wahabi ni memang satu fahaman yang sesat!” Rosman cuba mengasak Jusoh dengan persoalan yang subjektif dan umum begitu, taktik yang biasa digunapakai oleh puak yang suka mewahabikan orang.

“Sebenarnya Mang, kalu mu nak tahu, di Malaysia ni ada satu puak yang memang menyorotkan identiti mereka selama ini. Kalau di Arab, puak ni digelar Ahbash, sebab pengasas dan pengikut asal mereka ialah keturunan Habsyi Afrika. Tok Syeikh besar mereka nama Abdullah Harari. Syeikh ni terkenal sebab suka sangat mengkafirkan orang lain yang tidak sependapat dengan dia, dan mengaku kononnya dia ahli sunnah wal jamaah bermazhab Syafie. Siapa-siapa yang berbeza pendapat dengan dia, semua dia tuduh wahabi dan sesat. Mu tahu siapa yang mula-mula mengkafirkan ulamak besar yang dulu seperti Ibnu Taimiyah, Ibnu Qayyim, Al-Zahabi, Ibnu Kasir, Muhammad Abdul Wahab? Si Dolah Ahbash ni lah!”

Alamak... setenang-tenang Jusoh, rupanya tahu jugak kes wahabi dari akar perdu. Diam-diam ubi, rupa-rupanya berisi. Rosman pun tenang gak, tapi tenang sebab tak tahu apa-apa. Muka blank. Diam-diam besi, rupa-rupanya berkarat!

Jusoh menambah, “mu tahu Mang, itu di luar negeri. Di Malaysia sekarang ni, ada anak Melayu yang menganut fahaman Ahbash, yang cakap Arab pun tunggang langgang lagi, tapi tergamak mengkafirkan Dr Yusof Qardawi.., Sayyid Sabiq.., Sayyid Qutb.., Nasirudin Albani....Syeikh Usaimin... Itu semua ulamak besar, Mang! Kalau setakat tak setuju dengan pendapat mereka, itu perkara biasa dalam dunia Islam, tapi kalau dah sampai menghukum sesat dan kafir, itu dah melampau! Mu bayanglah Mang, Mufti Mekah Abdul Aziz Ben Baz pun dikatanya kafir! Ada masuk akal ke? Fikirlah sikit! Kalau ulamak besar dunia pun selamba je puak-puak Ahbash Melayu ni tuduh sesat dan kafir, nasib ustaz-ustaz sunnah di Malaysia ni jangan ceritalah, Mang! Kalau setakat Dr Asri, ustaz Abdullah Yasin, ustaz Rasul Dahari, ustaz Sofwan Badli, Dr Razi, Husin Yee, dan lain-lain tu, ish, bukan sesat lagi dah, puak-puak Ahbash Melayu awal-awal dah masukkan nama ustaz-ustaz ni dalam senarai calon ahli neraka..! Sampai setara tu dia orang punya kartun, Mang....!”

“Mu tak boleh tuduh kalau takdok bukti, Soh....!” Ada nada putus asa terdengar dari suara Rosman.

“Mu nak bukti? Balik karang mu bukak internet, mu cari laman Bank Wahabi atau BankAhbash blogspot.... mu baca sendirilah, segala macam fitnah, segala macam pembohongan, segala macam tuduhan, segala macam fatwa yang karut-karut semua ada dalam tu. Mu buleh tengok sendiri macam mana ekstrimnya puak-puak Ahbash Melayu ni. Lepas tu mu fikirlah sendiri... mu kan sekolah tinggi, Mang.” Jusoh menjawab dengan fasih dan dengan lidah yang lancar.

“Kalau betul wujud puak Ahbash di Malaysia, pasal apa kerajaan tak ambik tindakan?” Rosman bertanya macam lah Jusoh tu anak saudara senator Jamil Khir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Nak ambik tindakan amende... kerajaan duk sibuk nak lawan PAS dengan PKR je, itu pun tak terlarat dah! Tak dok masa kerajaan nak pikir pasal Ahbash ni. Tapi aku tak salahkan UMNO. Kalau PR perintah pun sama gak. Orang politik tak ada masa nak ambik cara hal yang tidak memberi keuntungan politik kepada parti. Hal ugama diserahkan kepada Jakim dan pejabat agama negeri. Mu tahu, puak-puak Ahbash ni menyelinap masuk dalam agensi dan jabatan agama pun kerajaan tak ambil kisah. Lepas tu dianjurkan program atas nama ahli sunnah wal jamaah kononnya, dan isi kandungannya tidak lain tidak bukan ialah menuduh pihak yang tidak sebulu dengan mereka sebagai wahabi, sesat, kafir! Ini yang berlaku! Tengoklah macam mana telatah Zamihan, itulah contoh salah seorang penganut Ahbash tegar yang menyerap masuk dalam ILIM!” Jusoh melepaskan kritikan tajam tanpa selindung-selindung.

“Soh, pada pendapat mu, puak Ahbash ni ada dalam PAS atau dalam UMNO?” Rosman masih mencari-cari ruang dan peluang, kalau tak berjaya lipat Jusoh pun, sekurang-sekurangnya janganlah sampai dia sendiri yang kena bungkus.

“Mereka mengaku sebagai orang PAS. Bukan apa, itu saja cara untuk menarik perhatian orang Islam, senang nak sebarkan dakyah mereka. Kalau mengaku UMNO, nak cerita hal agama pulak, belum masuk waktu zohort pun lagi, orang ramai dah reject dah! Balik awal lah puak-puak Ahbash ni jawabnya!”

“Tapi hakikatnya, perpecahan yang berlaku dalam masyarakat Islam adalah disebabkan puak wahabi... mereka yang tak pergi kenduri arwah, tak baca qunut subuh, tak wirid lepas solat, tak nak baca Yasin malam Jumaat, kondem orang belajar tasawuf....!” Belum sempat Rosman habis baca sifir kampung puak Ahbash, Jusoh memotong, “Tak kacau bubur sura bulan Muharram!” Jusoh tolong bagi nasi tambah.

“Haa, tahu pun....! Amalan baik yang dah jadi tradisi dalam masyarakat, memang orang wahabi tak nak buat! Itulah punca masyarakat berpecah. Tak sesat ke gitu?” Rosman bertanya soalan seperti budak tak cerdik.

“Cakap je mang, orang yang ikut sunnah nabi dan menolak amalan bid’ah dalam agama, itulah golongan wahabi!” Jusoh melepaskan sindiran dengan sengaja buat-buat tak cerdik.

“Mu tak rasa sedih ke tengok orang Islam berpecah disebabkan hal remeh-temeh macam tu?” Lagak Rosman seperti seorang tokoh yang sangat menitik-beratkan perpaduan ummah pulak dah.

“Mang, perpecahan yang sebenar dalam masyarakat melayu sekarang ialah dalam isu politik, bukan isu tahlil orang mati atau wirid tasawuf atau joget tarekat atau kacau bubur sura...! Itu hanya hasutan jahat puak Ahbash. Kalu mu perati, pendekatan puak ahbash ni ada ala-ala Amerika sikit-sikit. Kalau Amerika mengganas di negara orang, mereka pula yang beri alasan kononnya sebab negara tu pengganas. Macam tu lah jugak dengan style puak Ahbash, mereka yang tuduh orang lain sebagai wahabi dan kafir, bila ditanya, mereka kata sebab ulamak wahabi suka mengkafirkan orang lain... pulak! Sebab tu, memang tak pelik jika tok syeikh Ahbash itu digelar ‘al-Fattan’ atau pencetus fitnah!” Jusoh mengungkapkan dengan tenang, tetapi terang dan lancar.

“Tapi ada orang wahabi yang mengaku salafi, mereka keras sangat bila berinteraksi dengan amalan tradisi dalam masyarakat, dan sengaja timbulkan pendapat dalam hal remeh-temeh yang tidak patut diperbesarkan... itu yang aku tak setuju!” Rosman masih cuba menyerlahkan sikapnya yang keras keng.

“Ya lah, aku pun kurang setuju jika sesetengah mereka bersikap tegas dalam perkara yang diizinkan oleh syarak untuk kita berbeza pendapat. Tapi, kesilapan mereka hanya dalam soal pendekatan. Tidak sepatutnya mereka dihukum sesat atau kafir! Kalu mu dengar ada orang kata wahabi, sesat, kafir, acu mu tanya dia, wahabi tu apa benda? Dia pun tak tahu, Mang!” Nada suara Jusoh seperti seorang romeo sedang memujuk gadis untuk menerima cinta palsunya.

“Aku pernah tanya ustaz di surau kat umah aku, dia kata wahabi ialah sesiapa yang tidak qunut subuh...” Rosman berfikir, asalkan jawab, jangan tak jawab. Kalau kalah pun, biarlah dengan TKO kiraan mata, jangan sampai tumbang kena KO.

“Mazhab-mazhab lain juga tidak qunut subuh. Apakah Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Abu Hanifah juga wahabi? Sesat? Kafir? Kalu gitu, orang yang solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi semua wahabi, Mang!” bagi Jusoh, setakat soalan macam tu, nak kencing lagi susah....!

“Aku dengar, orang wahabi mengharamkan baca tahlil....!” Pulak!

“Mang, tahlil maksudnya La ilaha illa Allah, tahmid bermaksud Alhamdulillah, tasbih bermaksud subhanallah. Mu pernah dengar sendiri ke ada seorang manusia yang mengaku Islam tetapi mengharamkan sebut kalimat itu? Jangankan ustaz, orang tiga suku pun tak ada yang kata baca tahlil tu haram! Itu semua fitnah jahat puak Ahbash, Mang! Mu tahu dok, imam-imam di Mekah dan Madinah yang dituduh wahabi tu, mereka hafal Qur’an, bacaan al-Qur’an mereka diperdengar di seluruh dunia, logik ke kalau kita nak tuduh mereka kafir atau sesat? Fikirlah sikit, Mang! Kalau sesat, apakah sekarang Masjidil Haram dan Masjidil Nabi dilantik orang sesat untuk jadi imam?”

“Orang wahabi ni tak ikut mazhab Syafie, mereka tak ada mazhab, sebab tu kita tak boleh ikut mereka....”

“Hahaha..! Rosman.. Rosman! Mu tahu orang Arab Saudi ikut mazhab apa? Mereka ikut mazhab Hanbali, Mang! Tapi.. kena tuduh wahabi jugak! Kononnya orang Malaysia yang belajar di Arab Saudi tu lah wahabi, tapi aku yang belajar di Sura Hujung Dungun pun kena tuduh wahabi jugak!”

“Orang wahabi Malaysia, mereka ni pengikut Muhammad bin Abdul Wahab!”

“Aku yang tak pernah baca kitab Muhammad Abdul Wahab pun, dituduh wahabi jugak, apa cerita?”

“Tapi mu memang menyanjung dia, kan?”

“Mang! Bagi aku, aku cuma menganggap Muhammad bin Abdul Wahab hanyalah salah seorang tokoh umat Islam yang ada jasa dan sumbangannya. Dalam masa yang sama ada kekurangan dan kelemahannya. Dia bukan tokoh mazhab fekah yang ulung. Dia sendiri bermazhab Hanbali. Dia juga bukan seorang yang terlalu pakar dalam hadis, sehingga al-Albani pernah mengkritiknya dengan agak keras. Tapi sebagai tokoh Islam, tentu ada sumbangannya yang tersendiri. Berapa ramai ulamak besar memuji Muhammad bin Abdul Wahab, termasuk Yusof Qardawi dan Wahhab Zuhaili, adakah mereka semua tu wahabi?”

Mereka dah sampai di Kuantan. Rosman bungkam. Taktik tak menjadi. Sebenarnya dia memang ada peluru lain untuk kondem wahabi habis-habisan, tetapi tidak ada peluang untuk dilepaskan kepada Jusoh. Akhirnya dia terjebak untuk membicarakan perkara yang dia sendiri kurang arif, bahkan nampaknya Jusoh yang lebih tahu dari dia. Dari awal Rosman berkira-kira untuk membangkitkan persoalan bahawa gerakan wahabi disokong oleh kuasa barat terutama Inggeris, wahabi yang menjatuhkan kerajaan Usmaniyah di Turki, wahabi melakukan peperangan dan pembunuhan beramai-ramai di semenanjung Arab untuk mengembangkan ajaran mereka, kepercayaan wahabi bahawa Tuhan memiliki anggota jasmani seperti makhluk, wahabi terkeluar dari mazhab feqah yang empat, dan wahabi begitu sinonim dengan kekerasan. Itulah soalan cepumas yang akan dikemukakan kepada Jusoh malam esok, biar Jusoh terkial-kial untuk menangkisnya.

Demikian adanya.
Bersambung...

No comments:

Post a Comment