Sunday, March 6, 2011

Hati si Jusoh: episod 1

Tak pasal-pasal!

Rosman dan Jusoh. Dua kawan lama. Dulu pernah sama-sama satu sekolah, satu tingkatan, satu asrama, satu dorm, satu dewan makan. Sama-sama membesar dengan nasi kawah asrama.

Tapi belajar kelas lain-lain. Rosman kelas A, kelas cerdik. Jusoh kelas C, bukan bodo, cuma tak berapa cerdik. Ya lah, kelas C pun sekolah asrama penuh jugak. Sekolah untuk pelajar terpilih, kononnya.

Kedua-duanya pun bukanlah akrab sangat. Perwatakannya saling berbeza. Jusoh ada geng lain, Rosman pun ada member kamceng yang lain. Tapi kalau ikut sejarah, tak pernahlah mereka berdua tu berbalah. Mereka saling respet-mengrespeti antara satu sama lain. Jusoh jenis babil sikit, kena rotan sokmo dengan cikgu disiplin. Tapi Jusoh tetap hormatkan Rosman. Rosman budak sivik. Baik. Jadi pengawas. Tapi kalu nampak Jusoh hisap rokok, Rosman tak pernah pun repot ke warden. Semangat kesukanan tetap dijaga. Sporting.

Rosman pernah cuba mengorat makwe Jusoh budak form 4. Pernah kirim salam, siap hantar surat lagi. Jusoh tahu semua tu, tapi Jusoh rilek je. Depan Rosman dia buat-buat macam dok tahu apa-apa. Nak kalut wat mende, awek tu bukan syok kat Rosman pun. Itulah sebabnya kenapa Rosman malu mata sangat dengan Jusoh.

Itu situasi 25 tahun yang lalu. Zaman budak-budak sekolah. Mereka saling terpisah selepas periksa SPM. Sekarang masing-masing dah dewasa. Di zaman kecanggihan tekonologi komunikasi multi-media ni, mudah sangat untuk Jusoh dan Rosman saling berhubung semula dan bertanya khabar walaupun dah lebih 20 tahun tak jumpa.

Jusoh dah lama menetap di Kuantan. Kebetulan Rosman baru 2 minggu ditukarkan secara mengejut dari Kuala Terengganu ke Kuantan. Tak tahulah pasal apa. Nak kata kes songlap duit, tak munasabah, sebab Rosman ni masa sekolah dulu kira set lebai jugak lah. Kalu dok silap, ayah dia tu ustaz kat kampung. Mungkin naik pangkat kot. Jusoh pun malas nak tanya pasal tu. Rosman menyewa rumah di Kuantan, bini dengan anak-anak tinggal di Terengganu. Ya lah, anak-anak tengah sekolah, bini kerja, urusan nak mintak tukar bukannya senang. Leceh. Ya tak ya, biarlah Rosman yang ulang-alik seminggu sekali. Rumah di Terengganu pun dekat dengan umah mak mertua. Maknanya, anak-anak balik sekolah, duduk umah tok dia. Dok lah susah sangat.

Rosman call Jusoh. Nak jumpa. Jusoh ajak datang rumah, tapi Rosman kata minum-minum kat luar sedap sikit nak sembang-sembang. Janji lepas sembahyang Isyak, tunggu di restoren seafood dekat dengan area kawasan rumah Jusoh.

“Assalaamu’alaikum Soh!... lama dah mung sampai?”

“Wa’alaikumussalam... dok eh, baru jugak lagi... owoh Mang... lama sungguh dok jumpa mung!”

Keduanya berjabat tangan dan saling berpelukan dengan erat.

“Dok lama bakpe, dekat 30 tahun dah... sejak tinggal sekolah sains, mana kita pernah jumpa? Hahaha...!”

Lepas mintak air dan makanan, bermulalah acara sembang... Jusoh bla bla bla, Rosman pun bla bla bla... lepas tu hahahaha...! pakat gelak... lepas tu blablabla lagi...

“Soh, dari sini nak gi Pekan jauh dok?”

“Dok jauh mana... dok sampai pun 50 km. Bakpe?”

“Pak sedara aku ada sorang duduk Pekan. Tapi aku dok rajin gi pun sana. Kelmarin dia telepon, suruh jugak mari umah dia malam Jumaat ni lepas ggarib, sebab dia ada buat kenduri tahlil...! Owoh, terpaksa ah... kalu ikutkan memang malas, tapi sebab dia buat tahlil dan kenduri arwah tu, nak tak nak pun kena gi jugak lah... Dia kabo, makan nasi minyak, tempah dengan catering!”

Jusoh buat-buat acuh tak acuh, dia dengar, tapi buat macam tak penting sangat lah... “kalu bawak kereta, tak sampai sejam pun”.

“Eh Soh, aku nak tanya mu... orang sini buat tahlil lepas maghrib ke lepas isyak? Aku pelik gak sebab orang tranung kita, tahlil wat lepas isyak... tapi pak sedara aku jemput suruh gi lepas ggarib!?!”

“Dok tahu gok...!” Jusoh menjawab dengan bersahaja dan cuba menunjukkan reaksi bahawa persoalan tu bukanlah persoalan yang penting dan menarik untuk diketahui.

“Bakpe dok tahu? Mu dok pernah gi tahlil orang mati ke?” Rosman bertanya dengan nada hairan.

“Dok!” Jusoh jawab sambil senyum selamba dan menggeleng-gelengkan kepala.

“Berat mu ni Jusoh, dari dulu dok berubah-ubah lagi perangai... kita koho tua ni, perkara-perkara asas dalam agama, kenalah ambik tahu...”

“Hahaha... aku dok gi tahlil je Mang...! Aku dok kata aku dok sembahyang-bang!”

“Mu dok gi tahlil, aku nak tanya, bakpe mu dok gi, atas alasan apa?”

“Sepatutnya aku yang tanya mu, mu gi tahlil orang mati dan kenduri arwah, bakpe mu gi? Untuk apa? Atas alasan apa?”

“Untuk orang mati ah..! Pok sedara aku tu, bini dia mati dah. Yang sekarang ni bini baru. Jadi dia nak buat lah tahlil dan kenduri untuk arwah bini pertama dia tu... sekurang-kurangnya, dapat jugak sedekahkan pahala kepada arwah...!”

“Siapa yang bagitahu kata dapat pahala?”

“aiiik? Buat benda baik, mesti lah dapat pahala!”

“Mu ingat cara nak dapat pahala ni boleh reka sendiri dengan akal ke?”

Haaaah, dah mula dah! Tak pasal-pasal jadi panas. Rosman dok puas hati sungguh. Rasa tercabar sebab banyak persoalan yang ditanya oleh Jusoh tentang agama, dia tak tahu nak jawab. Jusoh pun satu hal jugak, dia tanya dengan selamba dan bersahaja je, itu yang buat temperature Rosman naik tu..Tapi malam dah lewat. Janji malam esok nak jumpa lagi di tempat yang sama. Dalam perjalanan pulang, Rosman masih berfikir-fikir, kenapa Jusoh jadi gini, dia ikut mazhab apa sebenarnya? Jangan-jangan mazhab lain selain dari Syafie, hah, kacau dibuatnya..!

Tak apa. Malam esok sambung lagi. Tahulah Rosman macam mana nak menyedarkan Jusoh yang mungkin telah tersesat memilih jalan dalam beragama.

BERSAMBUNG.

No comments:

Post a Comment