Friday, March 11, 2011

Hati si Jusoh: episod 5(i)

Ayat Seribu Dinar

Hari kelima. Hari ni cuti umum di Pahang. Harijadi Raja. Rosman tak balik Terengganu. Cuti sehari je, alang-palang nak balik, bini kerja, anak-anak sekolah, balik pun padan jerenggeng tengok tv sorang diri kat umah, wat mende? Dok balik modal, dah lah jalan jeng!

Rosman mikir, ah, baik talipon Jusoh. Kalu free, petang karang nak ajak Jusoh keluar minum. Buleh gak layan sembang-sembang. Rosman dah masak sangat dengan perangai Jusoh. Kalu orang dok kenal, bila dengar Jusoh bercakap, berasa takut jugak sebab mesti orang ingat dia bekeng... tapi Rosman memang tahu, mulut Jusoh memang lazer, kalu dok puas hati dia sound direct depan-depan je tak kira siapa, tak dok main tapis-tapis, penapis rosak! Tengok lah baru ni kat kedai roti power, tok syeikh tabligh pun sempat lagi dia menganjing! Gitulah perangai Jusoh, dok berubah dari dulu. Tapi hati Jusoh baik. Semua orang tahu tu. Tanyalah jiran-jiran, tanyalah semua orang yang pernah kerja satu ofis dengan Jusoh, tanyalah kawan-kawan yang pernah sekolah sama dengan Jusoh... Tak dok orang yang dok berahi saing ngan Jusoh. Takdok sorang pun yang kata Jusoh dok jurus. Dan satu lagi, sebenarnya Jusoh ni kelakar. Sebab tu Jusoh nak cakap gajah rimau pun, Rosman tak ambik hati langsung.

Masa Rosman talipon pagi tadi, Jusoh baru lepas joging di Taman Gelora dengan Mek Dayang. Anak-anak tinggal di rumah. Pergh...! macam keluarga bahagia singer! Jusoh tengah makan nasi minyak di kedai Tanjung Api. Jusoh ajak Rosman mari makan sekali, tapi Rosman kabo dok apa ah, dia pun baru balik makan. Tadi keluar gi kedai Nasi Dagang Zaki di Permatang Badak depan Masjid Hidayah. Makan nasi lemak lauk ikan aye. Buleh tahan gak. Dah habis sepinggan, bilas pulak dengan pulut nyor dua kepal, makan ngan ikan gelama masin goreng kering.

“Petang ni aku free, molek gak kita gi makan ikan goreng celup tepung dengan otok-otok di Tanjung Lumpur...!” Jusoh kalu sebut bab makan, tak tidur sampai cerah pun dok apa.

“Tanjung Lumpur kedai mana?”

“Tengok ah, kedai Pok Su ke, kalu ramai orang kita gi kedai Mok Na!”

“Kedai Mok Na pun penuh sokmo orang. Bolok sekali, nak cari parking pun payah. Kita cari tempat yang tenang-tenang sikit lah, dok gelabut sangat ngan orang. Kalu kita gi Beserah makan mee canglong, guane gamok?”

“Molek gak. Lepas Asar buleh ah...!”

“Mu mari ambik aku ah, Soh! Dok kan nak bawak kereta sebutir sorang, wat nyusah je!”

“Bereh boooh!”

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Petangnya, lepas sembahyang Asar, Jusoh memandu ke rumah sewa Rosman. Masa lalu depan surau Perumahan Bukit Setongkol, nampak ada dekat sepuluh orang puak-puak tabligh tengah lepak kat surau tu, ada yang tengah masak kat tanah, nampak sorang tengah gonyoh periuk, dua orang tengah angkat tungku, ada tiga empat orang tengah duduk jerenggeng atas beranda, ada yang duduk melangut selepek bersandar pada dinding luar surau. Nampak gaya orang jauh belaka tu, bukan orang dekat-dekat sekitar area sini. Agaknya yang orang duk sebut khuruj, khuruj tu... ni lah bendanya kot! Mungkin khuruj tu maksudnya ‘acara camping di surau’. Agaknyalah kot!

Sampai depan rumah Rosman, tengok kereta ada, pintu rumah terbuka, tapi dok nampak pulak kelibat Rosman. Jusoh mati injin lalu tubik dari kereta. Mana pulak Rosman? Takkan tak sudah lagi wirid? Tok imam kat surau pun wirid pendek lepas Asar. Subuh dengan Maghrib je lirik panjang sikit. Eh lirik pulak, wirid! Pintu pagar dok kunci. Bila sampai depan porch, dengarlah suara nyonyeng nyonyeng orang tengah bercakap. Nampak selipar pun ada banyak pasang kat luar. Owh, Rosman ada tamu rupanya!

“Assalaamu’alaikum...!” Jusoh bagi salam.

“Wa’alaikumussalam... Soh, sampai dah? Mari ah masuk dulu. Ni kebetulan ada sahabat kita, jemaah dari Perak... duduk di surau yang dekat ni. Tujuh hari. Yang ni ustaz Syafiq, Karkun ni. Ni anak buah dua orang, Feizal dan yang ni, Ghazali.” Rosman memperkenalkan.

Jusoh menganggukkan kepala tanda hormat lalu berjabat tangan dengan ketiga-tiga peserta khuruj itu, sambil tersenyum. Jusoh kalu sekali sekala dia senyum, jangankan Maya Karim, abang Karim yang pencen JKR duduk rumah lorong depan tu pun cair!

“Semua dari Perak ke? Berapa orang mari sini, nampak macam ramai je masa lalu depan surau tadi..!” Jusoh menyapa dengan ramah.

“Nahnu semua sekali 13 orang. Semua dari Perak, tapi daerah lain-lain. Ada dari Ipoh, Teluk Intan, Bagan Datuk....!”

Owoh, ada jugak buah Arab sepatah! Mujur Jusoh ada jugak ikut kelas Arab di UIA sebelah hospital besar tu, lepas tu ada belajar Harfiah dengan ustaz Muzakir di surau Teluk Mahang. Maknanya reti jugaklah sikit sebanyak. Kalu dulu gak, cuma tahu ana dengan anta je, itu pun kadang-kadang bertukar siapa ana siapa anta!

Ustaz Syafiq terus menyambung cerita yang terputus dengan Rosman tadi, “Kalimah Tayyibah dan Solat merupakan dua prinsip yang asasi dan paling penting. Fadilat Solat adalah terlalu banyak jika hendak dihitung, apalagi jika ianya dikerjakan secara berjamaah. Satu lagi, zikir mengingati Allah. Zikir adalah makanan rohani. Kita perlu berzikir menyebut nama Allah terus-menerus sepanjang masa dan di mana sahaja kita berada. Ramai umat Islam sekarang yang memandang remeh akan fadilat-fadilat zikir. Mereka bersikap takabur dengan Allah. Kalau tidak tahu akan fadilat zikir, bagaimana mahu menghadirkan niat yang ikhlas ketika berzikir, iaitu setiap amalan atau perbuatan hendaklah semata-mata kerana Allah Subhanahua Ta’ala, dan bukannya kerana sebab lain. Sebarang perbuatan kerana keredaan yang lain daripada Allah, itu namanya munafiq, atau jika dengan menunjuk-nunjuk sahaja pun, adalah dikira riak yang mana disifatkan sebagai syirik kecil. Dalam erti kata lain, seseorang itu hendaklah memupuk di dalam dirinya sifat Iman dan ihtisab, iaitu, melaksanakan sesuatu dengan penuh keyakinan kepada Allah Subhanahua Ta’ala, dengan penuh keyakinan akan adanya ganjaran yang besar di akhirat nanti. Jadi, ana dan sahabat-sahabat sanggup mengorbankan masa untuk melaksanakan gerak kerja nabi, iaitu tabligh, atau menyampaikan. Inilah tujuan besar dakwah para nabi dan memang untuk inilah Jamaah Tabligh ditubuhkan. Para Sahabat besar memang menyedari hakikat ini. Justeru itu mereka sanggup mengorbankan masa, harta dan jiwa mereka untuk bertabligh di sana-sini. Kerana itu adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah ini, sama seperti amalan para Nabi dan sahabat....”

Jusoh kuis kaki Rosman, bagi isyarat kalu layan tok syeikh tiga orang ni, alamatnya sampai tok siak bangun hampar sejadah di surau subuh esok pun belum tentu kita buleh makan mee canglong lagi...

Rosman pun mencelah, “maaf ustaz, sebenarnya kita nak keluar ni, nak ke Beserah ada hal sikit....!”

“Oh ye ke...! elok sangatlah, sebab nahnu pun tak lama ni, eer, sebelum beredar, tak ada apa sedekah yang boleh nahnu bagi ke antum, maaf, ana ambik masa 5 minit saja lagi, ana nak berikan satu wasiat yang tidak ternilai harganya. Ramai daripada kita yang tahu Ayat Seribu Dinar, tapi sayang, tidak ramai yang tahu bagaimana nak beramal dengan ayat tersebut. Ayat ini fadilatnya cukup besar, keistimewaannya cukup banyak, tapi tidak semua orang tahu akan kaifiatnya.”

Rosman dan Jusoh jadi betul-betul macam lembu kenyang. Tenang dan cool. Tapi dalam hati Jusoh, macam-macam jampi serapah yang keluar. Nampak gayanya kempunanlah nak makan mee canglong Beserah petang ni....

“Anta tahu Ayat Seribu Dinar, kan...?” Tiba-tiba ustaz Syafiq bertanya sambil memandang Jusoh. Dia tak tahu dalam kepala Jusoh dah penuh keluar tanda soal, tanda seruan, noktah, koma, ada belaka! Simbol tengkorak pun ada!

“Entah, ada pernah dengar orang sebut nama ayat tu, tapi saya tak tahu ayat dia macam mana...!” Jusoh mula menunjukkan kebengongannya.

“wa man(y) yattakillaha yaj’allahu makhroja......” ustaz Syafiq membacakan ayat itu dengan laju hingga akhir ayat.

“Owh, itu kalau tak silap, ayat Qur’an surah.... eh surah apa tu ustaz? Lupa dah...!” Jusoh dah start panas injin dah tu.

“Ini ayat surah... surah... apa nama surah ni?” ustaz Syafiq pandang ke Feizal dan Ghazali. Feizal garu kepala, sigong Ghazali dengan siku, suruh Ghazali jawab.

Ghazali menjawab perlahan dengan loghat utaranya, “kalau tak silap ana, surah attoha ka apa nama...”.

Jusoh memotong dengan suara selamba, “Hish, mana ada surah attoha! surah ‘THOHA ada lah! Tapi ayat tu bukan surah thoha, baru saya ingat, surah At-Talaq, ayat 2 dan 3”.

Ustaz Syafiq terus sambung, “Ya ya! Surah at-Talaq. Betul tu. Alhamdulillah, anta pun tahu juga tentang ayat ini.... Inilah Ayat Seribu Dinar namanya. Ayat ini diamal oleh seorang hamba yang mendapat hikmat ini dari Nabi Allah Khidir ketika belayar di laut dengan berkata, berkat amal ayat ini hamba itu mendapat kemuliaan dan menjadi raja.... Ayat ini mengandungi seribu faedah jika di amalkan tiap-tiap kali lepas sembahyang sebanyak tiga kali, insya’Allah akan beroleh seribu faedah, barang siapa yang beramal ayat ini Allah taala akan mengadakan baginya jalan keluar dari segala kesulitan, Allah ta’ala akan memberi rezeki yang banyak dengan tidak di sangka-sangka dan Allah Ta’ala menyampaikan segala hajatnya, dengan beramal bersungguh-sungguh dan yakin kepada Allah, terlindung segala daripada bala di darat dan di laut.... Jika dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan dijampi pada air sebanyak 3 kali diberi minum, insya’Allah si pesakit akan sembuh. Jikalau mendapat sebarang kesusahan yang amat berat, kesusahan kerana kezaliman orang-orang tamak, oleh peperangan yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Negara, beramallah selalu dengan ayat ini selepas daripada sembahyang lima waktu, mudah-mudahan segala kesusahan mendapat perlindungan dari Allah Ta’ala. Jikalau masuk berperang menentang musuh, tiada binasa oleh terbakar, jika dipukul dengan besi tiada lut dan tiada binasa dari sebarang benda yang bahaya, hendaklah beramal ayat ini dan bertawakkal kepada Allah, baca ayat ini sesudah sembahyang lima waktu, baca ketika hendak tidur tiga kali, baca ayat ini ketika hendak keluar rumah sekurang-kurangnya tiga kali....!”

Jusoh dan Rosman terlopong. Bukan sebab takjub dengan kepetahan ustaz Syafiq bersyarah, tapi sebab boring giler! Jusoh fikir, kalu gentel taik kambing buat majong, suruh ustaz tabligh ni gi jual sambil bersyarah kat tempat orang jual ubat Taman Kerang, sahih laku ni! Lepas tu Jusoh pandang celak mata ustaz Syafiq. Tebal bukan main. Jusoh pun tak faham, pasal apa puak-puak ni pakai celak mata? Jusoh pun bukan tahu banyak sangat pasal Hadis, setakat sikit-sikit Hadis yang popular ustaz selalu baca tu, tahulah. Tapi tak pernah dengar pulak ada hukum sunat orang jantan pakai celak. Ah biarlah! Puak-puak ni kadang-kadang tak buleh pakai jugak, ada ke patut, makan sireh pun dikatanya sunnah nabi! Ish, tak pernah dengar pulak ada riwayat kabo Nabi SAW pernah makan sireh!

“Jadi, macam mana cara nak beramal dengan ayat tu, ustaz?” Jusoh dengan muka toya mula tanya soalan cepumasnya.

“Yang paling afdalnya, bangun tengah malam, selesai solat tahajjud 2 rakaat, ikhlaskan niat, bacakan Ayat Seribu Dinar sebanyak 25 kali, kemudian lakukan solat hajat 2 rakaat, masa sujud rakaat kedua, mohonlah apa-apa doa atau hajat dengan bersungguh-sungguh, insya Allah, doa cepat dimakbulkan...” ustaz Syafiq menerangkan dengan penuh yakin. Feizal dengan Ghazali turut mendengar dengar kusyuk dan tawadhuk, sesekali menganggukkan kepala.

“Yang ustaz bagitahu tu baca, bukan amal! Saya tanya cara nak amal, bukan bila masa nak baca!” Suara Jusoh bersahaja, tapi ianya sangat menghiris ulu hati ustaz Syafiq. Rosman tunduk. Rosman dah agak, kalu Jusoh dah start bagi pukulan pancung, lepas ni jumping smash ah!

“Ya lah.. kita beramal dengan cara membacanya beberapa kali menurut bilangan tertentu...!”

“baca is baca... amal is amal! Itu dua perkara yang berbeza, ustaz! Apa yang saya faham, kalau nak beramal dengan Ayat Qur’an, misalnya ayat “Aqiimussolah..”, dirikanlah solat. Macam mana cara nak beramal dengan ayat ini? Caranya ialah... kita dirikan solat lah! Itu baru beramal namanya. Kalau baca je ayat aqiimussolah tu 100 kali pun, tapi tak sembahyang sembahyang jugak, itu bukan beramal. Itu baca namanya.

Dengan muka bera ustaz Syafiq menjawab, “Ayat Qur’an ni, kita baca saja pun dah kira ibadat. Dah dapat pahala. Dah besar fadilatnya. Walaupun kita tak faham apa makna pun, dengan membacanya kita tetap mendapat ganjaran yang besar”.

“Ya, saya setuju tu. Tapi ustaz, kalau kita tak faham sepatah haram pun ayat yang kita baca, nak beramal macam mana? Nanti Qur’an suruh lain, kita buat benda lain...!”

“Bukan semua orang yang baca Qur’an faham makna yang dibaca!”

“Saya tahu, ustaz...! baca soal lain, faham makna soal lain... tapi tadi ustaz kata nak ajar cara beramal dengan ayat seribu dinar... Ayat tu saya hapal, dan terjemahannya saya tahu. Maksudnya, sesiapa yg bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki dari arah yg tidak disangka-sangkanya. Dan sesiapa yg bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya)’! Bagi saya, kalau nak beramal dengan ayat ini, Allah meletakkan dua syarat sebagai tuntutan iaitu takwa dan tawakkal! Kedua-dua tu bukan senang untuk dipenuhi, walaupun kita baca Ayat tu 200 kali pun, walaupun kita ukir ayat 1000 dinar tu dan letak dalam frame emas pun, tapi Allah tetap mengkehendaki supaya kita taqwa dan tawakkal terlebih dahulu dalam maksud tawakkal dan taqwa yg sahih menurut Islam!”

Kata dah! Kalu Jusoh dah mula jadi peramah gitu, jenuh lah ustaz tabligh tu nak menepis peluru sesat. Rosman tak terkejut pun, dari tadi dia dah agak, kalau ustaz sengaja melambat-lambatkan permainan, pada masa kecederaan pulak tu, kena libas jugak dengan Jusoh ni karang!

“Anta masih tetap tidak mahu mengaku bahawa amalan membaca ayat Qur’an itu satu ibadat yang dituntut dan pembacanya akan mendapat ganjaran pahala yang besar? Anta tidak percaya bahawa Qur’an adalah mukjizat Allah dan ayat-ayatnya mempunyai bermacam-macam fadilat dan keistimewaan yang luarbiasa?” ustaz Syafiq melepaskan peluru lelaki melayu terakhirnya.

“Membaca Qur’an memang satu ibadat. Tapi kalau nak beramal dengan Qur’an, paling kurang pun kenalah faham makna yang kita baca. Macam ni lah ustaz, kalau kereta kita rosak, kita ada buku manual yang menerangkan cara-cara membaiki kereta... cukup ke kalau kita baca saja buku manual tu, tapi tak cuba baiki pun kereta yang rosak tu, boleh ke kereta tu elok sendiri? Kalau ulang baca sampai 18 kali pun, kereta tu tetap rosak! Macam tu juga dengan Ayat 1000 Dinar... kalau kita tak bertaqwa dan tidak bertawakkal kepada Allah, bacalah ayat tu sampai cerah esok pun, kalau masakan restoren tak sedap dan kotor, orang tetap tak datang jugak!”

Ustaz Syafiq, Feizal, Ghazali, terkedu! Tak tahu nak jawab apa.

Jusoh menambah, “setakat yang saya tahu, ustaz, keajaiban ayat 1000 dinar dan bagaimana ayat tu mendapat namanya, itu adalah misteri dan sukar untuk menjejakinya kerana kita tidak tahu dari mana asalnya. Yang pasti ia tidak berasal dari alQur'an, atau asSunnah atau athar sahabat atau qaul fuqaha'. Mungkin datang dari kiyai, lebai atau bomoh dan pawang. Wallahu a'alam.”

Akhirnya dah dekat nak maghrib, tiga orang tabligh mintak diri nak ke surau. Jusoh pun kena balik lah, jenuh pulak nak kena menjawab dengan Mek Dayang kalu dia tanya mana mee canglong yang dia suruh bungkus.

“Soh, malam esok tubik minum air. Nampak mu anti sungguh ke set tabligh. Dok buleh wat gitu Soh.. orang tabligh ni kita kena hormat. Esok aku nak syarah sikit ke mu...!”

“ok, ambe takdok hal, dok apa belaka...”

Gitulah... rosak program Jusoh ngan Rosman petang ni nak makan mee canglong. Sambung malam esok lah pulak.

Demikian adanya.
Bersambung...

No comments:

Post a Comment