Monday, March 7, 2011

Hati si Jusoh: episod 2

“Kastemo tak wapo rama male ni...”

Malam kedua. Rosman dan Jusoh janji bertemu di restoren yang sama. Kedai tu tutup pukul 2 pagi. Meja pun banyak kat luar. Bolehlah duduk meja yang jauh sikit dari orang, selesa sikit nak borak.

“Memang ada yang kata baca tahlil tu haram, tapi itu pendapat puak-puak wahabi... dokleh pakai, Soh!... Jangan-jangan mu ni pun kena lebong dengan puak wahabi, Jusoh!”

Aceh ceh ceh ceh! Baru minit pertama, Rosman rembat terus, bagi tepat atas butir...! Owoooh, Jusoh berasa serabut perut selalu. Bukan apa, tahu dah, kalu nak cerita pasal wahabi, mesti jadi panjang dan berasap-asap, sahih tak selesai malam ni, ada harapan cerah nak kena sambung lagi malam esok. Dok apa! Layan je lah. Lagipun Rosman tu bini dia takdok sini, mesti boring, mungkin dia terhibur dengan cara bahas hal-hal agama macam ni. Rosman orang cerdik, belajar sampai habis dunia, lepas Amerika, England pulak. Lepas tu Amerika semula.

Jusoh pun apa kurangnya. Lebih kurang je dengan Rosman. Lepas Dungun, Shah Alam pulak. Lepas tu Bukit Sekilau Kuantan. Ah! Ijazah sama standard je. UiTM pun bahasa orang putih gak.

“Ada ke orang yang kata baca tahlil tu haram, Mang?” Jusoh bertanya dengan tenang, dan matanya dihalakan ke arah TV besar, buat-buat tengok wrestling. WWE Raw. Triple H tengah berlawan dengan Randy Orton.

“Mestilah ada, sebab tu aku kata. Itulah puak wahabi punya dajal...! Ok, kalu dok haram, pasal apa mu dok gi tahlil?”

“Hahaha..! Mu ni macam-macam lah, Semang! (panggilan kampung untuk Rosman)... Aku cuma kabo aku dok gi majlis tahlil orang mati dan kenduri arwah.... aku dok pernah kata pun baca tahlil tu halal ke haram.” Jusoh masih dengan sikap tenang bersahaja dan bercakap acuh tak acuh.

“Sama lah tu!”

“Sama ikut celah mana pulak...? Baca tahlil, lain... tapi baca tahlil ramai-ramai siap dengan kenduri arwah, dengan kepercayaan kononnya untuk sedekahkan pahala ke orang mati, itu lain...! Aku dok kata baca tahlil tu haram... cuma aku tak pergi acara tahlil kenduri arwah tu... Itu saja.”

“Bakpe mu dok gi? Itu yang aku nak tahu tu!” Rosman mula mengajukan soalan ‘macam bagus’...

“Sebab... aku takut amalan itu termasuk dalam perkara bid’ah! Sebab takdok dalil yang kabo Nabi SAW atau sahabat buat kenduri tahlil untuk ahli keluarga yang dah mati.”

“Habis tu, orang yang pergi kenduri tahlil macam aku ni semua buat bid’ah lah? Semua sesat, semua masuk neraka lah?”

“Laaa... Rilek ah Mang..! Jangan wat bekeng dok tentu pasal gitu... hahaha! Mu makan rimau ke..? Ok gini... Aku kata, aku dok pernah gi kenduri tahlil orang mati, mu tanya pasal apa, aku kata sebab aku takut amalan itu adalah bid’ah dalam agama.... Yang mu laju sangat sampai tanya adakah semua orang lain bid’ah, semua masuk neraka, pasal apa? Tak ada kena-mengena pun!”

“Ya lah, bila mu kabo bid’ah, seolah-olah mu keluarkan fatwa untuk orang yang pergi tahlil, seolah-olah semuanya sesat...”

“Bila masa pulak aku keluar fatwa? Fatwa korok kering apa, aku bukannya mufti! Mu jangan wat nakal gitu, Mang! Mu tahu dok fatwa tu apa benda?” Suara Jusoh agak tegas. Rosman terkanjal sampai terangkat punggung. Baru Rosman teringat dia sedang berhadapan dengan siapa sekarang. Jusoh the big brader! Mantan kepala gangster hostel yang disegani oleh semua orang, senior dan junior, termasuk pelajar perempuan. Jusoh macam Don Juan, berebut budak hostel girl pakat kirim salam nak jadi adik angkat.

“Okey, pasal apa mu kata kenduri tahlil tu bid’ah?” Rosman cuba mengalih tajuk. Suaranya agak kendur.

“Sebelum tu aku nak tanya, mu faham dok apa makna bid’ah?” Jusoh mula berlagak seperti kucing di hadapan seekor tikus.

“Of course lah aku faham....!” Rosman rasa tercabar dipertikus-tikuskan begitu rupa.

“Kalu mu betul-betul faham apa makna bid’ah yang sebenarnya, mu dok akan tanya kenduri tahlil orang mati tu bid’ah atau sunnah, Mang...! Dalam bahasa yang mudah, senang nak kabo gini lah... perkara agama, apa-apa saja amalan atau cara ibadat yang bukan Nabi Muhammad SAW, hanya direka oleh orang kemudian, itulah bid’ah namanya, pada pegangan aku! Sebab aku berpegang dengan Hadis Nabi SAW, maksudnya, semua perkara baru dalam urusan agama, semuanya bid’ah, dan semua bid’ah itu sesat, dan semua kesesatan tempatnya dalam neraka. Masalahnya, kenduri tahlil yang diamalkan oleh orang sekarang, dilakukan di rumah keluarga si mati, pada hari pertama, kedua , ketiga, ketujuh, ke 40, ke 100... atau pun setiap malam Jumaat tumpang buat kat surau masjid, tapi dengan syarat kena hantar makanan, takut tok imam dan makmum lapar, dan wakil keluarga kena bagitahu tok imam ini tahlil untuk arwah siapa... dengan kepercayaan pulak, kononnya pahala yang gerenti dapat pada malam tu, pahala baca tahlil ramai-ramai dan pahala makan-makan tu, akan diniatkan untuk disedekahkan kepada keluarga tuan rumah yang dah mati.... aku nak tanya mu satu je, Mang! Nabi Muhammad atau sahabat pernah buat ke amalan ibadat kenduri arwah dan baca tahlil ramai-ramai macam koir lagu tu?”

“Memang lah Nabi tak buat, tapi.....!”

“Tapi tapi naik keretapi ah, Semang! Keluarga Nabi tak ada yang meninggal ke? Keluarga Abu Bakar, Umar, Usman, Ali, tak ada yang mati ke? Kalau itu amalan baik, confirm boleh dapat pahala, siap boleh sedekahkan pahala tu untuk orang mati pulak, kenapa sahabat Nabi tak buat?

“Mu dengar dulu aku terangkan hujah aku pulak!”

“Kalu mu sendiri mengaku memang Nabi tak buat, sahabat tak buat, tapi mu tetap percaya amalan kenduri tahlil arwah itu adalah ibadat, mu nak tegakkan hujah apa benda lagi? Hujah akal? Ini soal ibadat, Mang... ibadat ni urusan agama. Ibadat ialah cara-cara kita mengabdikan diri kepada Allah. Mu rasa patut ke urusan ibadat ni aci pikir dengan akal je? Apa guna Nabi Muhammad SAW diutuskan sebagai Rasul Allah, untuk menyampaikan Islam kepada manusia, apa guna Nabi SAW mendakwahkan Islam selama 23 tahun, kalau urusan ibadat pun manusia aci reka sendiri je?”

Ambik nak! Ibaratnya kalau tadi Semang seperti gaya Mike Tyson lawan boxing... bunyi loceng je terus meluru macam babi tunggal, dia ingat Jusoh terus rebah gitu je, rupanya Jusoh bingkas bangun, terus jemba balik dan dijengkalnya muka Semang...! Ibaratnya gitulah.

“Kalu mu nak tahu, bid’ah ni ada dua, Soh... bid’ah Hasanah dan bid’ah Dholalah... bid’ah terpuji dan bid’ah yang tercela. Bukan semua bid’ah tu sesat. Yang dikatakan sesat tu hanya bid’ah dholalah. Inilah yang orang wahabi dok tahu!” Rosman mula bersikap seperti ustaz sifat 20...

“Boleh mu bagi contoh, bid’ah hasanah tu macam mana?”

“Bid’ah yang baik, seperti kenduri tahlil, baca talqin di kubur, merayakan Maulud Nabi, menyambut Nisfu Sya’ban.... itu semua bid’ah hasanah lah tu!”

“Kalau dah semua bid’ah hasanah, yang lagu mana pulak yang dikatakan bid’ah dholalah? Buleh mu beri contoh?”

“eer... contoh bid’ah dholalah tu aku tak pasti lah... tapi yang aku sebut tadi semua bid’ah hasanah... semua benda baik.”

“Mu yang kata baik... sebenarnya baik pada siapa? Baik pada perkiraan akal kita atau baik pada perkiraan syarak? Baik atau tidak pada agama, ukurannya ialah Qur’an dan Sunnah. Baik pada fikiran kita, tidak semestinya baik pada agama. Kalu perkara tu baik pada syarak, pasal apa Nabi tak buat? Kalau semua bid’ah itu hasanah, yang Nabi kabo semua bid’ah adalah sesat tu, bid’ah yang macam mana? Mu dok perasan ke pegangan mu tentang bid’ah hasanah tu bercanggah dengan Hadis Nabi?”

Rosman terkedu. Niat asalnya nak bilas Jusoh malam ni, rupanya dia yang kena jirus mandi. Ish, dok puas hati sungguh.

“Jangan-jangan mu ni wahabi, Soh!” Rosman tukar umpan pulak.

“Wahabi tu nnattang mende?” Jusoh saja buat-buat bengong.

“Wahabi ni, satu mazhab yang sesat. Kalu nak tahu ciri-ciri orang wahabi, dia dok baca qunut sembahyang subuh, dia dok gi kenduri tahlil orang mati, dia dok baca Yasin malam Jumaat, dia sembahyang dok baca niat usolli, lepas sembahyang dok wirid sama-sama dengan tok imam,.....!”

“op op stop! Aku tanya wahabi tu apa, bukannya ciri-ciri orang wahabi...”

“Wahabi ni pengikut Muhammad bin Abdul Wahab lah!”

“Setakat yang mu tahu, Muhammad bin Abdul Wahab tu siapa?”

Aduuh, awek siam pelayan restoren tu asyik pandang-pandang je, bagi isyarat nak tutup kedai lah tu. Kastemo dok wapo rama male ni! (customer tak berapa ramai malam ni). Janji nak jumpa lagi malam esok.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment