Thursday, March 10, 2011

Hati si Jusoh: episod 4

sembang bot penambang

Malam keempat. Rosman datang rumah Jusoh. Dia baru sampai dari Terengganu petang tadi. Nya bawak macam-macam, dengan keropok lekornya, yang goreng yang rebus ada belaka; dengan rojak katehnya, rojak betik, woh ulu, nganang, sagong, bepang, coklat nisang, dodol daun palas... sampai ke butir jambu golok pun bawak jugak! Owoh, macam lah Jusoh duduk di Hong Kong, sepuluh tahun dok balik kampung!

Sudah makan di rumah Jusoh malam tu lepas sembahyang isyak, lepas selesai soliroh apa serba, Mek Dayang, orang puan Jusoh duk lipat baju sambil tengok tv dalam bilik, anak-anak Jusoh tengah wat kerja sekolah, meniarap netang-kalang depan tv... Jusoh ajak Rosman gi duduk atas wakaf depan umah.

“tulong kuca air kupi, goreng keropok keping sket...! ambe ada mesorat dengan Rosman kejap ni, atas wakaf kat luar!” Jusoh dengan nada separuh menjerit royat ke bini dia dalam bilik. Terdengar suara Mek Dayang tergelak sambil berkata sesuatu, tapi dok tahu ke butir apa benda yang dia kata.

“Sebenarnya kalau ikutkan banyak yang aku nak tanya mu ni, Soh...!” Rosman off-side sokmo... belum apa-apa, terus nak sumbat gol selalu...!

“tanya hal mende?” Jusoh tanya balik sambil ketawa kecil.

“bab-bab ugama ni lah....!”

“hahaha...! bab ugama... saspen jugak, ingat mu nak suruh aku tulong cari mak muda sorang... hal ugama nak tanya mende, Mang! Aku bukannya ustaz....”

“Dok lah... maknanya sakning... aku terpikir balik apa yang mu kabo dua tiga malam lepas...! Aku tengok, pemahaman mu ni banyak persamaan dengan wahabi, Soh..! Betul mu dok tahu sungguh pasal wahabi?”

“So.. er.. actually, what’s wrong with wahabi?” Ceh, Jusoh cakap orang putih berabuk...

“kang I dah told you yesterday...! actually... nak senang, gini lah... sebenarnya mu mazhab apa?”

“mazhab...? er.. ahli sunnah wal jamaah... eh.. er.. salafussoleh kot... eh.. entah, aku pun dok tahu..!” Jusoh menjawab sambil lewa, maksudnya nak tunjuk ke Rosman bahawa persoalan itu bukanlah penting sangat dan Jusoh pun dok berapa reti nak cerita lebih-lebih.

“Berat mu ni Jusoh... aku tahu lah ahli sunnah wal jamaah... maksud aku, mazhab Syafie ke, Hambali ke, Maliki ke, Hanafi ke...! kita orang Malaysia wajib ikut mazhab Syafie... itulah aku nak tanya, mu mazhab apa?”

“Hahaha..! ooowh, maksud mu, mazhab feqah! Eh Mang, mu tahu dok... orang Arab, kalu dia tanya mazhab apa, kita jawab mazhab syafie, dia gelak je, Mang! Bagi dia, itu bukan mazhab, itu hanya perbezaan ijtihad di kalangan ulamak atas beberapa perkara furu’, itu saja! Yang dikatakan mazhab itu ialah perbezaan dalam beberapa perkara yang melibatkan pegangan Tauhid, misalnya Ahli Sunnah wal Jamaah ke, Syiah ke, Muktazilah ke, Khawarij ke, Murjiah ke, Asy’ariyah ke... Maksud orang Arab tu tanya nak pastikan kita Sunni atau Syiah, bukan nak tahu kita ikut Syafie ke Maliki.... Imam yang empat itu semuanya Ahli Sunnah wal Jamaah... so, aku ikut je lah semua empat-empat... apa masalah? Nak kena pecah pulak wajib ikut Imam Syafie tak boleh ikut yang tiga lagi pasal apa? Senang-senang nak tolak, mu ingat Imam Malik, Imam Ahmad, Imam Abu Hanifah tu siapa? Lepas tu, dalam mazhab Syafie kena pecah lagi, Asy’ariyah ke, Maturudiyah ke, aliran tareqat itu lah, ajaran tasawuf ini lah... apa cerita semua ni? Sampaikan ajaran Hasan anak Rimau dan ajaran Syeikh Siti Jenar pun mengaku Ahli Sunnah wal Jamaah jugak...! Mu tahu dok sabda Nabi SAW bahawa umat Islam akan berpecah kepada 73 puak...? Satu puak je yang betul, yang lain semua masuk neraka? Apa yang Nabi ucapkan WAJIB berlaku, Mang...! Nabi Muhammad bukan tok bomoh, Mang! apa yang dikata, kalu kebetulan nasib baik, menjadi, kalau tak menjadi pun buang kes gitu je... bukan! Sekarang mu nampak dok betapa benarnya sabda Nabi SAW itu, umat Islam sedang berpecah...!? Kalau setakat berpecah dalam politik, separuh masuk Pas, separuh masuk Umno, separuh masuk PKR, itu baru tiga... mu dok pernah pikir ke yang tujuh puluh lagi tu puak mana? Puak-puak mazhab dan tareqat yang macam-macam peseng ni lah, Mang..!”

Ambik nak! Kalu dang Jusoh main buat-buat brek dok makan gitu, Rosman habis modal ah. Nengung jugak sekejap kena gonyoh ngan Jusoh.

“Maknanya, mu tak ikut mazhab Syafie lah?”

“Gini Mang... Mazhab aku, Ahli Sunnah wal Jamaah.. dan aku ikut Imam Syafie, memang aku tak pernah tolak Imam Syafie pun, dan aku juga tidak menolak para Imam Ahli Sunnah wal Jamaah yang lain... aku bukan bermazhab Syafie, aku bermazhab Ahli Sunnah wal Jamaah...! Ok, aku nak tanya mu, orang macam aku ni ke yang dikatakan wahabi tu? Sila kabo kat mana salahnya pegangan aku? Sebab tu dari kelmarin aku tanya, apa kesesatan wahabi yang sebenarnya? Kalau semata-mata disebabkan mempertahankan sunnah dan menolak bid’ah dalam ibadat, maka itu yang dikatakan wahabi, kalu gitulah, mu tahu dok, aku pun nak masuk wahabi!”

“Mana boleh main campur-campur mazhab, Soh? Kita kena pilih satu... kalau nak ikut Hanbali kena ikut semua sekali, kalu nak ikut Syafie, wajib ikut sepenuhnya, mana buleh campur dengan mazhab lain separuh-separuh gitu?”

“Siapa yang kata tak buleh? Siapa yang tetapkan orang Malaysia kena ikut mazhab ni, orang Jerman kena ikut mazhab nun?”

“Ulamak lah...!”

“Ya lah, ulamak mana..? siapa nama dia? Duduk di negeri mana? Apa otoriti dia untuk tetapkan orang ni wajib ikut mazhab ni orang nun wajib ikut mazhab nun? Dalam masalah furuk pulak tu...! Feqah ni luas, Mang... kalu dalam soal feqah kita tak boleh berlapang dada, wajib ikut ni, wajib kena buat gitu, wajib ikut ulamak ni, ulamak sana tak boleh pakai, hah, kacau kita Mang!”

Rosman tambah air kopi o dalam cawan... air pun dah suam-suam kuku... Jusoh capai keropok keping dalam bekas, tambah sos dalam piring... sedap jugak malam-malam gini duduk sembang atas wakaf taman depan rumah, sambil mulut prap prap prap mamah keropok goreng dan srruuuup hirup kopi o. Lepas tu, mulut pok pek pok pek pok pek, sambung lagi cerita hal masalah negara dan masalah umat Islam seantero dunia.

“Aku masih dok buleh terima campur mazhab ni Soh...! Kita wajib bertaqlid kepada Imam Syafie. Mana boleh main tukar-tukar mazhab ikut suka hati je, pilih yang senang-senang je, macam main-main pulak, mu ingat agama Islam ni rojak buah ke, boleh campur-campur mazhab...?”

“Itulah pasal...! tadi aku tanya, siapa yang tetapkan kita wajib bertaqlid kepada Imam Syafie sorang je? Orang negeri lain guane gamok pulak? Islam ni ada berapa versi, Mang? Islam Melayu lain, Islam Arab lain ke? Mu paham ke dok apa makna taqlid? Taqlid ni, dalam bahasa yang mudah, maknanya ikut buta, Mang! Aku nak tanya mu, kitab mana yang mewajibkan kita taqlid buta pada seseorang Imam? Dalam ugama, kita dok buleh taqlid, Mang, tapi kita kena ittiba’... ittiba’ ni maknanya, kita ikut pendapat seseorang, dalam keadaan kita tahu dari mana sumber hukum itu diambil. Itu yang membezakan taqlid dengan ittiba’...!”

“Habis tu, cer mu bayang orang yang campur mazhab bila nak sembahyang, ambik wuduk ikut mazhab Maliki, baca niat ikut mazhab Syafie, lepas bagi salam ikut mazhab Hanbali pulak... mu dok rasa kelakar ke? Malaikat nak tulis pun pening, Soh..! Sembahyang lagu tu tak sah, Jusoh weh..!”

“Kalu aku kata aku ambik wuduk dan sembahyang semua ikut tunjuk ajar Nabi Muhammad, tu maknanya aku ikut mazhab apa?”

“Mana buleh...? Orang wahabi yang campur mazhab bagi alasan gitu sokmo... pusing ikut mana pun, kita orang Melayu wajib ikut mazhab Syafie..!”

“Macam mana pulak orang Mekah yang ikut mazhab Hanbali?”

“Itu orang Arab dia punya pasal! Tapi orang kita, kalau ibadat ikut mazhab lain selain dari Syafie, ibadat itu tidak sah!”

“Aku nak tanya, mu bayar zakat fitrah dengan apa?”

“Bayar ngan pitis lah...! mu ingat buleh bayar zakat dengan daun nangka ke?”

“Mu tahu dok kalu ikut Imam Syafie, bayar zakat dengan pitis hukumnya tak sah? Imam Syafie kata wajib bayar dengan beras atau gandum sahaja. Imam Abu Hanifah yang membolehkan bayar fitrah dengan pitis senilai dengan makanan ruji.... bakpe mu dok ikut pendapat Imam Syafie?”

“Mu biar betul, Soh..! Kalu betul Imam Syafie kata tak sah, takkan orang pejabat agama dok tahu selama ni...?”

“Orang pejabat agama semua tahu...! Mu dengan puak-puak mu je yang dok tahu...! Ni lah bahana taqlid buta ni...! Tadi mu kata sembahyang ikut mazhab lain tak sah... aku nak tanya, bakpe tak sah? Mu ingat siapa yang tukang tentukan sembahyang seseorang itu sah atau batal? Kalu ikut mazhab Maliki, kononnya solat tak sah. Kalu ikut mazhab Hanbali pun gitu jugak. Bakpe dok sah, mu ingat Imam Malik dengan Imam Ahmad tu kapir ke? Mu tahu dok Imam Syafie anak murid kepada Imam Malik? Hor dah, kalau sembahyang ikut Imam Malik pun tak sah, Imam Syafie nak berguru wat mende? Mu tahu dok, Imam Ahmad tu anak murid kepada Imam Syafie... Hor dah, kalu sembahyang ikut Imam Ahmad pun tak sah, pasal apa wajib kena ikut tok guru dia Imam Syafie pulak? Ni semua sebab taqlid buta lah ni, Mang! Kaedah mu ni cukup bahaya, tahu dok? Mu bertaqlid kepada seseorang ulamak, dan mu fanatik sungguh dengan mazhab itu... setakat tu tak apa lagi. Tetapi disebabkan taksub sangat, maka mu menganggap mana-mana ulamak lain dan pengikutnya yang berbeza pendapat dengan ulamak pujaan mu, semuanya kafir atau sesat! Sembahyang tak sah! Itulah masalahnya...! Mu tahu Muhammad bin Abdul Wahab tu siapa? Mu tahu Ibnu Taimiyah siapa? Ibnu Qayyim al-Jauziyah siapa? Siapa Syeikh Usaimin? Siapa Nasaruddin Albani? Siapa Abdul Aziz bin Baz? Semua tu ulamak, Mang! Bukan tok peraih ikan! Mu sedap mulut je letak hukum orang tu sesat orang ni menyimpang dari Islam, padahal mu sendiri pun tak sempat jumpa semua ulamak yang mu kata sesat tu... Macam mana kalau semua tuduhan mu terhadap ulamak tu semua fitnah dan dusta? Macam mana kalau semua nama-nama tu memang manusia yang dikasihi Allah, mu nak mintak maaf dengan siapa? Kaedah aku lain, Mang..! Aku tak akan kutuk ulamak, walau aku setuju walau aku tak setuju. Aku tak ikut 100% ijtihad Imam Syafie, tapi aku tak kutuk Imam Syafie. Aku tak setuju banyak pendapat dan amalan Imam Ghazali, aku tak ikut, tapi aku tak pernah kutuk Imam Ghazali, jauh sekali nak kata dia sesat dan sebagainya. Tapi mu lain, pantang beza sikit je, owh wahabi, owh sesat, owh sembahyang tak sah, owh kena buat gini, owh haram ikut orang tu...! Apa benda ni, Semang?”

Nampak gayanya buleh kuah sungguh Rosman malam ni. Baru dia tahu, dok buleh wat lebih kurang dengan Jusoh ni, padan kena smash dia je...! Malam pun dah lewat. Anak-anak Jusoh tidur senyap dah. Ada dengar bunyi Mek Dayang bersin dalam bilik, dok tidur lagi, tunggu Jusoh habis mesorat, ada siaran langsung kot! Rosman mintak diri dulu. Malam esok sambung lagi... Debat Perdana Rosman vs Jusoh.

Demikian adanya....
BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment