Sunday, March 27, 2011

Hati si Jusoh: episod 7

Mandi Air Limau Nipis

Ku sangka panas sampai ke petang, rupa-rupanya.... tengahari mendung pulak macam hari nak hujan. Kalau hari kelmarin angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, tapi hari ni angin kuat bukan main, tak tahu lah angin bertiup dalam bahasa apa....!

Jusoh memandu dengan tenang. Rosman duduk seat sebelah. Kedua-duanya dalam perjalanan ke Kemaman. Rosman ajak Jusoh temankan dia pergi ke rumah kakak Rosman di Kampung Gong Limau, nak ambik barang. Pergi dengan kereta Rosman, tapi dia mintak Jusoh yang pandu. Bukan apa, Rosman tak berapa biasa jalan Kuantan-Kemaman. Lagi pun Rosman masih ada rasa phobia, sebab tiga empat tahun yang lepas, dia pernah mengalami eksiden dalam perjalanan dari Terengganu ke Kuala Lumpur. Langgar lembu kat Sungai Ular. Mujur Rosman tak cedera apa, anak bini pun Alhamdulillah semua selamat. Cuma kereta habis robek depan, lampu pecah, bumper kepek, cermin side mirror pun pecah.

Tapi Rosman mengaku itu semua silap dia sendiri. Masa baru beli dulu, dia lupa nak mandi berlimau kereta tu. Sepatutnya kena perahkan limau nipis tiga biji ke dalam sebaldi air lalu dibacakan Ayat Kursi dan surah empat Qul, kemudian jiruskan air itu pada kereta, sebagai ikhtiar tolak bala dan buang segala sial. Tak apalah, itu semua dah lepas, moga-moga jadi pengajaran dan peringatan. Kereta tu pun dah jual. Sekarang kereta baru, sebelum apa-apa hal, plastik balut kusyen pun belum bukak, Rosman dah jirus bodi kereta tu dengan air limau nipis. Siap mintak tolong Pak Ngah Itang suruh bacakan doa ayat Qursi dan surah empat Qul.

Jusoh memandu ikut jalan by-pass Kuantan-Kemaman, melewati Semambu, Taman Dato’ Rashid, Damansara Kuantan, dan sekarang dah sampai Gebeng.

“Dulu masa baru beli, mu basuh kereta, mu suruh siapa, Soh?” Ceh, Rosman mula bagi umpan.

“Aku basuh sendiri, pakai car syampoo je! Nak pakai sabun biasa, takut rosak cat. Sayang gak, kereta baru!” Jusoh menjawab dengan suara bersahaja, buat-buat lurus bendul. Orang Tranung kata, cak ngo ngo!

“Bukan cuci kereta! Maksud aku, mandi berlimau untuk tolak sial! Mu tak tahu ke?” Rosman mula meninggikan suara.

“Mandi berlimau? Entah, memang aku tak tahu pun...” Jusoh masih bersikap macam lembu kenyang, suara pun slow semacam je.

“Berat mu ni, Jusoh!” Rosman masih tak puas hati.

Rosman terus memandu melewati Sungai Baging. Kejap lagi sampai Cherating.

“Alaah, kalau nak mintak jauhkan apa-apa bala pun, aku berdoa je dengan Tuhan...” Macam biasa, suara Jusoh acuh tak acuh.

“Aku tahu lah mintak doa kepada Allah, takkan nak mintak dengan tok pekong pulak!! Doa tu doa lah, tapi kita kenalah ikhtiar! Mu ingat padan ke dengan doa semata-mata tanpa melakukan sesuatu sebagai ikhtiar? Di samping berdoa, kita kena berusaha, Soh....! Kalau harapkan doa je tak buat apa-apa, takdok pasal pulak Tuhan nak makbul.....!” Fuh, ikan dah masuk bubu, Jusoh dah terperangkap betul, tak boleh nak elak. Masak lunyai lah kena pangkah ngan Rosman kali ni.

“Ya lah, ikhtiar! Kalau ya pun, pasal apa kena pakai limau nipis pulak? Kalau ikhtiar guna limau madu ke, limau kasturi ke, buah anggur ke, boleh dok? Bukan apa, air limau nipis tu masam kuat sangat lah, sayang jugak kereta baru, takut rosak cat.” Suara Jusoh innocent habis.

“Soh, mari nak kabo...! ada perkara yang kita boleh bergurau, tapi dalam bab ugama, mu rasa patut ke kita wat main-main menganjing gitu?” Huyoo, Rosman terus menyerang tanpa belas kasihan.

“Aiiik, basuh kereta pun termasuk bab ugama jugak ke? Apa kena-mengena air limau nipis dengan bala, dengan eksiden? Aku bukan menganjing, aku cuma tanya je.. takkan tanya pun tak boleh!”

Setenang air di tasik, begitulah sikap Jusoh. Patutlah gadis-gadis panggil Jusoh Mr Gentleman. Jusoh tergelak besar masa baru tahu orang panggil dia gitu. Gentelmeng mende gok? Mr Geli-geleman ada lah!

“Orang tua-tua dah buat macam tu, ikut sajalah. Ustaz pun buat gitu! Kita ni siapa nak persoalkan semua tu? Ilmu agama dah cukup ke nak kata ini tak betul itu tak betul? Sebab tu aku kata, nak belajar ugama kena cari guru, mana boleh belajar dengan buku, itu berguru dengan setan namanya!” aduuuuuh, buah bisa Rosman dah mari. Ayat antarabangsa yang paling dibenci oleh Jusoh selama ini dah keluar, menuntut ilmu melalui kitab adalah berguru dengan syaitan! Tak tahu dari lubuk mana timbulnya petua mengarut itu.

“Laaa... mu ni satu hal jugak Seman. Aku tak kata salah pun. Aku cuma tanya pasal apa guna limau nipis, itu saja”. Rilek Soh, rilek! Kegentlemanan kena maintain.

“Mu tahu dok, Haji Pa yang duduk dekat dengan umah aku tu, dia pergi Mekah tiga kali dah. Dia pun guna limau nipis kalau nak berubat orang. Apa yang mu pelik sangat Jusoh? Mu kalu setakat kenal ugama dari ustaz wahabi, jangan cakap banyaklah, Soh!” Huh, buleh sakit sungguh dah Jusoh hari ni.

“Acu mu kabo, dalam kitab mana ada tulis air limau nipis ada khasiat boleh tolak bala? Dan satu lagi, bakpe kena baca surah empat Qul pulak? Kalu baca surah lain tak boleh ke?” Kalau siapa-siapa jadi Rosman pun, memang panas hati sungguh dengar soalan Jusoh, tambah pulak dengan sikap Jusoh yang selamba dan muka innocent macam tu.

“Memang kita dah diajar macam tu. Selama ni tak ada orang yang pertikai pun. Sejak timbul ustaz-ustaz wahabi ni lah semua jadi kacau...! Orang wahabi memang tak buleh pakai punya! Kalau ikut wahabi, itu bid’ah, ini bid’ah, semua benda bid’ah...! bakar kemenyan bid’ah, baca Yasin bid’ah, berarak Maulud Nabi bid’ah, sambut Nisfu Sya’ban bid’ah, Wirid lepas sembahyang pun bid’ah!”

Ibarat kalau main sepaktakraw, Rosman memang bagi buah lipat gulung Adnan Saidin punya! Lipat maut. Jusoh hanya bertahan buat blocking, cuma jarang-jarang sekali ada jugak bagi buah lipat Maniam!

Kereta melewati pantai Cendur.

“Habis dah Mang? Itu je ke? Sekarang giliran mu dengar buah aku pulak... Sebenarnya, sekarang ni mu nak cerita hal agama atau hal adat istiadat Melayu? Mu nak cerita hal agama Islam atau agama nenek moyang? Nabi Muhammad ambik masa berpuluh tahun untuk menyampaikan Islam, Mang! Para sahabat berapa ramai yang mati syahid semata-mata nak mempertahankan Islam. Ketika Nabi SAW diwafatkan, Islam telah sempurna. Ayat Qur’an yang terakhir turun ialah ‘Alyauma akmaltulakum diinakum, wa’atmamtu ‘alaikum nikmati, waradiitu lakumul Islaamadiina’.... Pada hari ini telah Aku sempurnakan Agama kamu, dan telah Aku cukupkan nikmat Ku, dan telah Aku redha Islam menjadi Agama kamu.... Mu faham dok apa makna Ayat tu? Mu faham dok apa makna Islam? Mu tahu dok bagaimana sahabat mempertahankan kemurnian Akidah umat dengan memusuhi sebarang bentuk syirik, khurafat, tahyul, dan bid’ah dalam Agama? Mu nak cerita bab ugama Islam, tapi masih duk sibuk melalut dengan limau nipis limau purut, berarak Maulud, bakar kemenyan, pasal apa? Apa kena-mengena limau nipis dengan Agama? Buah limau nipis pun belum tentu ada di Mekah dan Madinah, Mang! Lembu tu binatang. Kalau dia rasa nak melintas jalan, dia melintas je. Kalau dia rasa nak tidur atas jalan, dia tidur je. Dia peduli apa? Lembu mana tahu kereta mu mandi limau nipis ke tidak! Nama pun lembu! Yang mandi limau ialah kereta, bukan tuan dia. Habis kalau tuan kereta mengantuk masa drive, kalau kereta nak terbabas, terbabas jugak! Jangankan mandi dengan air limau, kalu mu tanam pokok limau nipis dalam kereta pun, kalau tak cekap drive, kalau nak eksiden, eksiden jugak! Tadi mu kabo kereta ni dah mandi limau, dah tu bakpe mu takut nak drive? Mu belajar tak tafsir surah al-Baqarah, surah an-Nas, surah al-Falaq, surah al-Ikhlas, surah al-Kafirun? Mu tahu tak asbabul nuzul, sebab musabab ayat itu diturunkan? Takdok kena-mengena dengan limau nipis pun! Surah al-Baqarah memang ada cerita pasal lembu, tapi bukan lembu yang tidur tengah jalan kat Sungai Ular tu! Sebenarnya mu faham ke tidak terjemahan Ayat Qursi? Aku tak tanya tafsiran, cuma tanya terjemahan je dulu.....”

Hor hor hor Horlick..! (iklan dulu)... Jusoh dah jadi macam ibu ayam mengeram anak. Siapa yang berani usik anak ayam memang kena pangkah.

“Apa kaitan surah al-Baqarah pulak? Aku tak sebut pun....!” Rosman masih bernafas dalam lumpur.

“Laaaa... yang mu sebut Ayat Qursi tu, dalam surah al-Baqarah lah, ngok!”

Tadi ada anjing melintas, nasib baik Jusoh sempat tekan brek. Bercerik bunyi tayar. Bau hangit macam getah terbakar. Tapi kalau injin Jusoh dah panas, kalu dah membakar dengan isu khurafat dan bid’ah, kalu Jusoh dah start membebel, memang tak ada brek brek dah. Memang hangus rentung Rosman kena bakar.

Owoh, dah sampai kat Geliga dah. Rasa cepat betul sampai Kemaman. Rosman rasa tak puas hati sungguh. Dia ingat nak bakar Jusoh bab wahabi. Nak bagi kaw-kaw punya. Sebab tu dia bukak cerita bab mandi berlimau sebagai jerangkap samar. Rupa-rupanya dia yang kena mandi ngan Jusoh, lemas dalam air limau nipis!

Tapi baru separuh masa pertama... ada lagi second half masa hala balik ke Kuantan karang. Siap lah mu, Jusoh! Orang buta naik bas, ada masa Rosman balas.

Demikian adanya.
Bersambung.

No comments:

Post a Comment