Wednesday, March 9, 2011

Hati si Jusoh: episod 3

roti canai tak power

Malam ketiga. Restoren tomyam seafood tempat Rosman kerap jumpa Jusoh tu tutup. Dengar cerita sebab tukang masak ermegency leave, balik Thailand. Jusoh talipon suruh Rosman tunggu di kedai roti canai power dekat simpang Kampung Tengah. Rosman pun pikir, molek gak. Dekat sikit. Dua hari turut-turut dah makan nasi paprik dengan tomyam campur, malam ni kalu bahang roti canai telur bawang cicah kuah kari sedap gak.

Jusoh pulak mintak roti canai kosong kuah banjir je, tapi dua utir! Pak Mat tukang tebar roti tu kenal baik dengan Jusoh. Roti canai dia memang sedap. Lembut dan garing. Sebab tu orang-orang situ panggil kedai tu roti power.

Masuk malam ni, maknanya 3 malam turut-turut dah Jusoh duk lawan balas pantun dengan Rosman. Asalnya tanya dari Kuantan nak gi Pekan je.… bahas punya bahas, Pekan entah ke mana, Kuantan ke mana, nyudahnya lepas entah mana-mana, sampai ke Arab Saudi nun! Tak pasal-pasal!

Rosman memulakan acara sembah bunga tari pecah langkah, “Sejarah ringkasnya, Muhammad bin Abdul Wahab ni… Ayah dia ni seorang Qadi. Dengan ayah dia pun dia lawan. Ayah sendiri pun dok berahi ke dia…….!”

“Jap Mang..! kejap..!” Jusoh memotong. “Yang mu cerita Muhammad bin Abdul Wahab ni… mu tahu dok dia hidup tahun berapa? Tahun tujuh belas Mang, kita hidup lening tahun dua puluh! Mu punya sembang macam lah Muhammad bin Abdul Wahab tu sama satu sekolah dengan tokki mung!” Macam biasa Jusoh terus menyerlahkan kelazeran mulutnya, tetapi dengan muka tenang dan selamba.

“Mu dengar dulu aku cerita! Aku baca apa yang tertulis dalam sejarah. Dok kan yang tulis sejarah tu tulis cerita lebong pulak!” Serupa lah. Rosman pun jenis keras keng jugak. Dua-dua jenis cakap lepas.

“Eleh Mang...! Cer mu pikir, sejarah Jepun baru berlaku di zaman ayah kita, Mang! Tahun sembilan belas! Berlaku di Kota Bharu, di Johor, di Kuantan. Berlaku depan mata tok nenek kita. Itupun.... bukan main banyak cerita bercanggah tentang perang Jepun yang kita baca dan kita dengar. Inikan pulak sejarah Muhammad bin Abdul Wahab yang berlaku tahun tujuh belas, zaman orang menulis atas papan. Jangankan komputer, radio greng pun takdok lagi zaman tu. Mu ingat Muhammad bin Abdul Wahab tu duduk Sungai Lembing ke Bukit Besi, Mang? Dia beranak nun di kampung Uyainah, dalam negeri Nejad, di bahagian utara semenanjung Arab. Mu tahu ke kat mana? Jangankan nak sampai situ, cari dalam peta pun tak jumpa, Mang! Mu duk kata yang huduh macam-macam ke Muhammad Abdul Wahab ni, macam lah mu pernah tengok dalam youtube interview dengan ayah dia...!!”

“Itu aku tahu. Sejarah yang dok sahih, ada lari sikit-sikit tu biasalah. Tapi mana yang betul, betul jugak. Ayah Muhammad Abdul Wahab memang seorang Qadi. Dan mengikut sejarah, memang ayah dia menolak dakwah Muhammad bin Abdul Wahab ni, dan memang dia balah dengan ayah dia sendiri. Satu lagi, kalu dakwah dia ni betul, tak kan orang ramai pakat hambat dia keluar dari kampung? Cer mu bayangkan, seorang Qadi boleh halau anak sendiri, padahal kalau ikutkan, Qadhi ni mesti orang baik dan lembut....”. Rosman dah jadi macam Mami Jarum pulak dah.

“Bukan setakat baik dan lembut, tapi seorang Qadi itu mesti berilmu, bersikap tegas dan adil. Ayah Muhammad bin Abdul Wahab tu seorang Ketua Hakim, bukan setakat jadi tok kadi tukang baca akad nikah orang kahwin tuu! Hahaha..! Mu jangan silap faham pulak, Mang”. Sekali sekala dapat bola tanggung, Jusoh smash selalu.

“Masa dia lahir, ayah dia dah dapat firasat bahawa Muhammad bin Abdul Wahab ni akan menyesatkan umat. Kita pun tahu, Soh, maksud hadis Nabi "Takutlah kamu akan firasat orang-orang mukminin. Sesungguhnya mereka melihat dengan Nur Allah (pandangan mata hati)". Banyak lagi hadis-hadis lain yang bagitahu tentang firasat dan mimpi yang baik merupakan sebahagian daripada kenabian. Peristiwa tu terjadi sungguh bila Muhammad bin Abdul Wahab balah dengan ayah dia, hingga dia terpaksa menyampaikan dakyahnya dengan cara senyap-senyap.....”.

“Kalau ya pun, pasal apa pulak pengikut dia dipanggil wahabi?”

“Sebab sempena dengan nama Muhammad bin Abdul Wahab tu lah!!”

“Ya lah, Wahab tu kan nama bapak dia! Katanya bapak dia pun tak setuju dengan dia, pasal apa disandarkan gelaran untuk dia atas nama bapak pulak? Nama dia Muhammad, kenapa tidak gelar pengikut dia sebagai Muhammadiyah?”

“Apa ada pada nama, Soh! Nama gelaran dok penting sangat. Ikutlah nak gelar mende pun, yang penting, gerakan kepahaman Muhammad bin Abdul Wahab itu menyesatkan umat dan menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar! Dan kalu mu nak tahu, Muhammad Abdul Wahab itulah yang bersekongkol dengan keluarga Sa’ud untuk meruntuhkan kerajaan Islam Usmaniyah....! Itulah yang jadi kerajaan Arab Saudi sekarang ni, asal dari keluarga Sa’ud tu lah....!”

“Amboi... mu hapal betul salasilah keluarga Saudi... aku rasa sejarah tok wan mu sendiri pun mu dok hapal sampai setara ni..! hahaha..! Ok, dari tadi mu duk cerita wahabi sesat wahabi sesat, aku nak tanya mu, sebenarnya.... apa sebab yang mu kata Muhammad bin Abdul Wahab dan pengikut dia tu sesat? Apa amalan dia yang menyimpang dari ajaran Islam?”

“Banyak contoh, Soh...! kat tempat kita ni pun ada....!”

“Ya lah, acu kabo apa salah satu contohnya...!”

“Paling senang sekali, kalu mu jumpa orang sembahyang Subuh dok baca qunut, haa tu wahabi lah tu...!”

“Aku dok tanya baca qunut ke tak qunut, aku tanya apa kesesatan wahabi? Mu yang kata Muhammad bin Abdul Wahab tu sesat, apa kesesatan dia?”

“Ya lah, kita kan mazhab Syafie. Kalu ikut mazhab Syafie, sembahyang subuh kena baca qunut..! Kalau tak baca qunut, itu mazhab lain, wahabi lah tu.”

“Mengikut Imam Syafie, apa hukum baca qunut tu?”

“Sunat ah...! orang wahabi je yang kata bid’ah”.

“Kalau ya pun, dah kalau Imam Syafie pun kata sunat sahaja, dan kalau ada orang tak baca, takkanlah boleh jadi sesat? Sejak bila pulak ada hukum kalau tinggal perkara sunat boleh jadi sesat dan menyimpang dari ajaran Islam?”

“Ya lah... bukan qunut je... banyak lagi sebab lain, yang kata wahabi tu sesat.”

“Apa yang sebab lain tu? Cer bagi contoh...!”

Belum sempat Rosman menjawab, tiba-tiba “Assalamu’alaikuuuum!” Tiga orang jemaah tabligh masuk ke kedai dan duduk di meja sebelah. Semua pakai jubah putih sekerat labuh bawah sikit pada lutut belah kiri kanan sampai ke pinggang, sepasang dengan seluar aladin. Semua pakai serban. Sorang tu nampak macam karkon, ada gaya macam ustaz lah. Pakaian pun bersih, janggut pun kemas rapi. Tapi yang dua orang lagi tu, nampak macam selebek sikit, dengan baju ada bintik sawa, seluar pun nampak berkelarah, janggut berserabai, tapi semua pakai celak mata. Bau minyak atar India jangan cerita lah, sebijik macam bau kat kedai kain Hameed Bros.

“Pak Mat! Bagi roti canai tak ada power, tiga! air tongkat Ali tak ada power, tiga!” Salah seorang tabligh tu melaung dengan kuat, satu kedai boleh dengar.

Yang sorang lagi menyambung “Yang power Allah je Pak Mat! Siapa yang kata tongkat Ali ada power, roti canai ada power, dia telah syirik dengan Allah, Pak Mat!”

Owooooh, Jusoh dokleh tebeng main selalu kalu kena buah gini. Rasa geli geleman. Salah seorang yang nampak macam karkon memandang Jusoh sambil senyum. Jusoh pun senyum jugak ah, tapi senyum hujan panas. Senyum jadi dok jadi. Acara debat Jusoh vs Rosman terhenti seketika. Rancangan tergendala sebentar.

Rosman bertanya Jusoh “Mu pernah ikut tabligh dok, Soh?”

“Dok”.

“Keluar tiga hari pun dok pernah?”

“Jangankan tiga hari, sekerat hari pun dok pernah!”

“Bakpe...?”

“Entah! Takdok sebab pulak aku nak keluar. Keluar nak gi mana?” Tubik lagi buah bengong Jusoh.

“Hahaha...! Sebenarnya, aku pernah keluar dua kali, 3 hari dan 40 hari. Karkun kata, dalam seumur hidup kita, sekurang-kurangnya kena keluar sekali tiga hari... itu paling kurang. Kalau mampu keluar 4 bulan atau pergi ke India dan Pakistan, itu dakwah yang paling besar.”

“Habis kalu dok reti nak keluar macam aku ni guane gamok? Sebenarnya puak-puak ni keluar, dia orang wat mende? Lagi pun, kalu ada kemampuan, buat apa nak gi India dan Pakistan, baik gi Mekah buat haji atau umrah.”

“Sebenarnya, apa pendapat mu tentang tabligh?”

“Entah! Aku takdok pendapat apa-apa pun. Itu semua bukan urusan aku.” Jusoh berkata dengan bersahaja sambil tergelak kecil.

Baru Rosman nak tanya soalan seterusnya, karkun tabligh meja sebelah pulak sibuk nak tumpang borak... cerita pasal fadilat itu khasiat ini amalan begitu wirid begini. Jusoh berasa ringan ringan mulut nak kata sepatah, tapi Rosman bagi isyarat supaya jangan jawab atau tanya apa-apa, dengar je.

Karkon itu berkata kepada Jusoh dan Rosman “Iman kita ni kena jaga. Kadang-kadang kita tak sedar Iman kita tercabut. Mudah sangat. Misalnya, kalau kita percaya api itu panas, maknanya kita dah syirik dengan Allah! Sebab yang menjadikan api itu ialah Allah, yang memberi kepanasan kepada api itu juga Allah. Bukan sifat api itu mesti panas dengan sendirinya.....!”

Tiba-tiba Jusoh bangun, pergi ke kaunter, ambik satu mancis, Jusoh nyalakan mancis tu dekat meja orang tabligh tadi, sambil berkata dengan muka toya habis : “ustaz, acu ustaz pegang api lighter ni, nak tengok syirik ke tidak...!” Rosman punyalah gelak, suka selok sampai bergegar tubuh. Perangai lama Jusoh memang dok habis lagi rupanya.

Karkon tabligh itu tersentak, tapi buat-buat cool... lalu menambah “Tapi betul apa yang ana cakap, kan? Bila kita lapar pun, kalau kita percaya makanan yang boleh mengenyangkan kita, kita telah syirik sebenarnya... sebab yang bagi kita kenyang ialah Allah, bukan makanan tu...!”

“Habis tu, yang ustaz datang makan roti canai kat kedai pasal apa? Duduk je lah kat umah, mana tahu kalau Allah nak bagi kenyang, tak payah makan!”

Malam ketiga berlalu begitu sahaja. Masih banyak persoalan yang belum selesai. Rosman masih tak puas hati. Jusoh pun naik syok jugak melayan. Orang tabligh tu pulak kacau daun. Malam esok malam Jumaat, Rosman nak gi Pekan. Malam lusa Rosman balik Terengganu. Malam tulat baru balik Kuantan semula. Malam tubeng baru boleh jumpa pulak. Orait, janji nak jumpa semula hari senin malam selasa. Banyak lagi isu yang tertangguh... Demikian adanya.

Bersambung...

No comments:

Post a Comment