Ada Dalil Nabi SAW Larang Sambut Maulid?
Parlimen Kuantan. Ada 3 DUN. Teruntum, Tanjung Lumpur, Inderapura. Dalam PRU 2008, kerusi parlimen PKR menang, tapi semua tiga-tiga DUN, BN yang menang. Pelik ke? Bagi Jusoh, tak pelik langsung! Ada kawasan yang PAS menang semua dun, tapi parlimen kalah. Adakah itu menandakan pengundi dah bersikap terbuka dan tidak lagi jumud? Tak juga!! Tak semestinya juga pengundi sekarang dah cerdik. Tidak! Bukan itu alasannya. Sebab tu Jusoh tak minat sangat nak menyibukkan diri dalam politik. Bagi Jusoh, politik tak politik pun, sekadar pergi mengundi empat tahun sekali. Itu je. Selebihnya, setakat berkawan dengan orang politik, tapi tak campur langsung urusan hal ehwal parti mereka.
Pengundi hantu? Jusoh orang Terengganu, tapi mengundi di DUN Inderapura, adakah Jusoh juga pengundi hantu? Kalau ada orang asal dari Selangor, tapi saja gatal-gatal nak ngundi di Teruntum, daftar dengan SPR, adakah itu pengundi hantu? Semata-mata sebab dia orang luar? Kalu nak kira gitu, semua kawasan pun ada pengundi hantu! Bila beribu-ribu orang dari Kedah tak pasal-pasal dapat tanah berapa ekar sorang di jalan Pekan-Rompin selepas PRU 1999, mereka pindahlah ke Pahang. Wujudlah satu kampung di daerah Pekan yang mana seratus peratus penduduknya lelaki perempuan kecik besar tua muda, sorang-harang pun tak reti nak sebut air liur. Lidah mereka pandai sebut ayaq liuq je. Hasilnya? Memang BN menang besar di Parlimen Pekan selepas munculnya penduduk Pahang yang bertutur dalam bahasa Kedah itu. Adakah mereka pengundi hantu? Padahal mereka berdaftar dengan SPR!
Kalau itulah yang dikatakan pengundi hantu, apa yang Jusoh nampak, BN Kedah juga telah menanggung akibat yang buruk! Beribu-ribu penduduk Kedah telah pindah ke Pahang, sebab tu BN kalah di Kedah, agaknyalah! Mungkin itu lah juga akibat yang ditanggung oleh BN Selangor. Sebab rakyat Selangor telah diangkut dengan beberapa puluh buah bas untuk mengundi di Terengganu! Akhirnya, BN pun kalah di Selangor, tapi masih menang di Terengganu. Agaknyalah!
Bukan pengundi hantu. Bukan hal itu yang meralatkan kepercayaan Jusoh terhadap politik. Isu pengundi hantu terlalu subjektif. Isu politik wang pun bukan faktor yang mengikis kepercayaan Jusoh. Bagi Jusoh, itu taktik masing-masing. Biar lah, parti dia banyak duit, dia rasa duit mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan pilhanraya, beli lah setakat yang boleh! Akan sampai ke satu peringkat di mana duit habis banyak tapi bila keluar keputusan, tengok tengok kalah! Mesti akan tiba keadaan itu. Kepalsuan tidak mungkin akan kekal bertahan untuk selama-lamanya.
Jusoh tak minat nak fikir perkara yang subjektif berkaitan politik. Pengundi hantu, politik wang, penyalahgunaan jentera kerajaan, media yang berat sebelah, itu semua subjektif. Jusoh ambik kira yang objektif je. Jusoh tetap tidak percaya bahawa ‘jumlah undi’ dalam keputusan pilihanraya yang diadakan di Malaysia selama ini adalah tepat sama bilangannya dengan pengundi sebenar yang benar-benar pergi mengundi. Itu saja! Tak sama! Akal Jusoh tak dapat terima keadaan itu. Cuba check keputusan mana-mana kawasan. Campurkan jumlah undi yang BN dapat + jumlah undi yang PR dapat + undi rosak. Kononnya itulah jumlah orang yang mengundi. Setiap pengundi diberi dua kertas undi, satu parlimen dan satu dun. Kecuali Wilayah Persekutuan, tak ada dun.
Tetapi kenapa hampir di semua kawasan parlimen, jumlah yang mengundi parlimen tak sama dengan bilangan yang mengundi untuk kesemua dun??? Kenapa? Padahal, tidak ada pun pengundi yang mengundi parlimen sahaja, kertas undi dun tak masuk dalam peti undi, sorok dalam poket seludup bawak keluar, nak buat apa? Kalau nak jual murah sepuluh sen tiga keping pun tak laku! Dan tak ada pun pengundi yang masukkan hanya kertas undi dun dalam peti undi, kertas undi parlimen nak simpan bawak balik buat kenangan. Kenangan kepala bapak apa?
Ada kawasan yang perbezaannya lebih besar dari majoriti calon yang menang. Pasal apa? Macam mana boleh tak sama? Macam mana boleh lebih, macam mana boleh tak cukup? Walau kecik walau besar perbezaan itu, tetapi ketidaksamaan itu mengundang seribu satu kemungkinan! Yang pastinya, kecuaian dan ketidaktelusan atau penipuan telah berlaku! Bukan sekali, bukan dua kali, tetapi dalam setiap pilihanraya. Jumlah yang mengundi parlimen dan dun tetap tak sama bilangannya! Why?
Dan keputusan itu digazetkan. Dalam keadaan angka matematiknya tidak sah. Mana boleh bilangan undi tak sama? Ini persoalan objektif, bukan subjektif. Angka tak boleh tipu. Nombor 6 tetap nombor 6. Walau dibahaskan empat hari empat malam pun, pusing ikut mana pun, walau dibawak kes ke mahkamah antarabangsa pun, nombor 6 tetap tak boleh bertukar jadi nombor 13! Mahkamah Malaysia yang terbiasa membuat penghakiman yang ajaib itu pun, tak mampu nak ubah angka 6 jadi 13!
Ini soal ketelusan dan keadilan, bukan sebab pro kepada mana-mana parti. Janganlah sampai parti yang memerintah kerajaan Malaysia ditentukan oleh faktor-faktor bodoh seperti ini. Janganlah sampai Perdana Menteri dipilih dari parti yang menang hasil dari penipuan angka! Janganlah sampai gitu, koman ah Malaysia....!
Ceh! Sekali sekala membebel hal politik, boleh tahan juga, mengalahkan Profesor Agus Yusuf! Tapi Jusoh membebel dalam hati je lah.
Jack baru sampai. Jusoh tarik satu lagi meja, sambung. Rosman beralih tempat duduk, pindah duduk sebelah Suhaimi. Jack duduk sebelah Jusoh. Berhadap molek, tiga lawan dua. Suhaimi yang bertubuh sihat walafiat duduk tengah, Pian belah kiri, Rosman kanan. Sekali tengok, sebijik macam tok pawang Melayu masa zaman Yap Ah Loy dulu. Yang tengah pakai serban besar, pengapit kiri kanan pakai kopiah muncung. Kalu bukak serban dan kopiah, harus bertukar dengan regu pasukan sepaktakraw orang asli Pos Iskandar.
“Ada dalil ke yang melarang sambut maulid? Kalau tak ada hadis yang mengatakan haram, anta tak boleh pandai-pandai menghukum sambut maulid tu bid’ah! Anta mengharamkan benda yang dihalalkan oleh agama! Inilah perangai wahabi....!”
Suhaimi menyambung hujah. Sambil tangannya menyuap mee goreng ke dalam mulut. Ini dah second round. Tadi dah gigit nasi goreng sepinggan. Habis licin. Jusoh dah agak, memang taukeh restoren cukup minat dengan customer macam ni. Tukang basuh pinggan pun suka, senang kerja dia. Jack senyum, angkat kepala bagi isyarat suruh Jusoh jawab.
“Ok macam ni, syeikh! Yang dikatakan Sunnah tu, kalau nak mudah faham, Sunnah tu maknanya Hadis Nabi SAW. Setuju? Hadis ni bukan perkataan Nabi je. Perbuatan Nabi pun Hadis jugak. Kalu Nabi diam tak kata apa-apa tak buat apa-apa pun... itu pun Sunnah! dan kita wajib ittiba’ kepadanya. Ana berpegang begitu. Tang mana yang wahabinya, Syeikh? Anta faham apa makna ittiba’, syeikh?
Sesungguhnya ucapan yang paling benar ialah Kitabullah, dan sebaik-baik jalan hidup ialah jalan Muhammad, dan seburuk-buruk urusan agama ialah yang diada-adakan. Tiap-tiap yang diada-adakan adalah bid’ah, dan tiap bid’ah adalah sesat, dan tiap kesesatan menjurus ke neraka. Itu Hadis, Nabi yang sebut, syeikh! Soalnya, adakah sambutan maulid Nabi tu termasuk dalam perkara ‘yang diada-adakan’ atau pun memang perkara itu dah ada sejak zaman Nabi? Kalau itu diada-adakan, dah tentulah bid’ah! Itu bukan orang wahabi kata, Nabi yang kata!”
Hiish, kalu Jusoh dah start bercakap, susah pulak nak brek.
“Inna muharrimal halali kamuhallilil harom”! Sesungguhnya mengharamkan sesuatu yang halal itu hukumnya sama seperti menghalalkan sesuatu yang haram. Termasuk membid’ahkan sesuatu yang tidak bid’ah sama hukumnya dengan menghalalkan sesuatu yang bid’ah!”
Aduh, Suhaimi dah mula tunjuk perangai budak-budak pondok dah. Dia tak hirau dah kita nak kabo gajah rimau pun, bacalah Hadis sahih macam mana pun, dia pusing tukar hujah lain pulak. Namun kalu nak harapkan dia terima hadis, dan dia nak mengaku kesilapan, tidak sekali-kali!
“Memang Nabi tak pernah lakukan ceremony sambut hari maulid! Itulah dalil yang orang wahabi macam ana pegang. Nabi tak buat! itu lah dalil ana! Pusing ikut mana pun, antum nak reka apa alasan pun, ana tetap pegang bahawa merayakan hari maulid bukan dari ajaran Nabi Muhammad SAW. Nabi tak pernah buat, Nabi tak ajar, Nabi tak suruh, dan Nabi tak pernah sebut pun! Itu betul-betul amalan baru yang direka oleh orang kemudian! Itu bukan sunnah namanya, itu bid’ah, syeikh! Anta baca balik ayat ‘Inna muharrimal halali kamuhallilil harom’, macam mana orang yang menganggap sunat sesuatu amalan yang bid’ah?
Takdok satu hadis atau nas yang menerangkan bahawa pada 12 Rabiul Awwal Nabi mengadakan upacara peringatan hari kelahiran baginda. Bahkan lepas Nabi wafat, tak pernah para sahabat melakukannya. Para tabi`in dan tabi`it tabi`in dan para salafussoleh pun tak pernah buat!
Kalau anta tanya ada dalil tak Nabi melarang sambut maulid... sebenarnya antum faham ke tidak apa yang kita bincang ni? Ok, antum bayangkan, kehidupan seharian Nabi sentiasa di kelilingi oleh para sahabat. Takdok sorang pun sahabat yang sambut hari maulid, dah Nabi nak larang apa? Amalan sambut maulid memang takdok zaman tu! Memanglah takdok larangan dari Nabi! Itu yang membuktikan amalan tu tak pernah dibuat oleh sahabat..!!! Susah sangat ke nak faham, syeikh?
Antum tahu Umar al-Khattab? Amirul Mukminin! Kalaulah ada pembahagian martabat dan tahap kemuliaan para sahabat Nabi SAW, Umar al-Khattab duduk ranking nombor dua selepas Abu Bakar as-Siddiq! Masa jadi khalifah, Umar yang mula-mula memperkenalkan kalendar Islam. Umar mengambil Peristiwa Hijrah sebagai tahun pertama kalendar Islam, bukan tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW. Tak pernah lah ada riwayat orang Madinah pergi tanya “Ya Amirul Mukminin, tarikh lahir sebenar Rasulullah berapa haribulan? Bukan apa, kita orang ingat hari maulid tahun ni, nak buat sambutan sikit, berarak, berzanji, marhaban, belah malamnya kita orang ingat nak baca selawat syifa’ ramai-ramai, lepas tu buatlah makan-makan sikit, kalu sapa-sapa yang ada hajat nak buat akikah ke, kenduri tahlil ke, bolehlah tumpang sekali...! bagus tak idea ana wahai Amirul Mukminin?” Ada ke orang Islam yang berani tanya gitu? Sila lah tanya, kalau rasa nak kena libas dengan Umar! Eh syeikh, Umar al-Khattab sendiri, dia yang buat kalendar, dia sendiri pun tak pernah sambut maulid Nabi, tau tak? Kita ni sapa, nak memandai-mandai?!! Nak tunjuk kita lebih alim dari Umar? Nak tunjuk kononnya kita yang lebih sayang nabi?
Kalau ana berpegang bahawa sambutan maulid itu bid’ah, itu pun antum tanya mana dalil, ana boleh kata ilmu antum semua ni masih lemah! Takkan antum tak tahu kaedah bahawa hukum asal ibadat adalah HARAM, kecuali diperintahkan atau disyari’atkan oleh Qur’an atau Sunnah! Jadi kita kena cari apakah ada dalil yang mensyariatkan kepada muslim untuk merayakan maulid nabi! Antum ni terbalik, pergi tanya dalil yang melarang sambut maulid nabi, pasal apa?
Telatah antum ni macam kisah budak curi ayam, tahu tak? Dah tahu itu ayam curi, haram dimakan, nak tukar suruh jadi halal, sibuk nak sembelih dulu. Kalau tak sembelih, tak nak makan, haram katanya! Ceh! Antum pun sama! Dah tahu sambut maulid tu bid’ah, tapi nak tukar suruh jadi sunnah jugak, maka dicari dalil ada tak Nabi larang sambut maulid! Kalau tak ada hadis yang melarang, maknanya boleh! Ceh!
Sama jugak dalam masalah lain. Kalau orang bagitahu kata Nabi dan sahabat tak pernah buat kenduri arwah, terus tanya ada dalil tak Nabi larang baca tahlil! Kalau kata Nabi tak pernah sambut tahun baru Hijrah, terus tanya ada dalil tak Nabi larang berarak Maal Hijrah! Kalau kata malam nisfu tak ada apa-apa kelebihan, dia tanya balik ada dalil tak nabi larang baca doa bulan sya’ban! Kalau kata Nabi tak pernah kacau bubur sura bulan Muharram, terus tanya ada dalil tak Nabi larang makan bubur sura! Lepas tu tanya soalan merapu, naik kereta bid’ah tak? bukak fesbuk bid’ah tak? makan nasi bid’ah tak? Ana tak tahu mana antum belajar kaedah macam tu, syeikh! Ana tak ambik agama dengan cara gitu....!”
Ha ha ha! Jenuh tiga orang pendekar pondok tareqat kena sekolah dengan Jusoh. Jack senyum je dari tadi. Mungkin dalam hati Jack, ini semua makanan Jusoh je! Soalan SRP je ni!
“Kalau ya pun bid’ah, takkan bid’ah semua sesat? Ini bid’ah yang baik. Memang Nabi tak buat, memang sahabat tak buat, tapi boleh anta tunjukkan di mana sesatnya bacaan berzanji dan selawat syifa’!”
Pulak dah! Pian pulak yang mendedahkan kepekak-badakannya! Merangkap sengaja cari sakit.
“Memang itulah sifat bid’ah, syeikh! Nampak macam baik, macam ibadat! Yang nampak buruk tu, itu maksiat! Yang dikatakan bid’ah, semua nampak baik, tapi baik pada perkiraan akal kita je, sedangkan agama tidak memandangnya sebagai ibadat. Faham syeikh? Sebab tu bid’ah lebih bahaya dari maksiat. Orang yang buat maksiat sentiasa sedar itu perbuatan salah, bila-bila masa dia orang boleh taubat. Tetapi orang yang buat bid’ah, dia tak sedar pun dia buat benda salah, dia duk sangka itu benda baik, dia duk ingat itu ibadat... nak taubat apa?
Ana tak pertikaikan selawat syifa’ ke, berzanji ke, marhaban ke, ana cuma persoalkan kenapa nak kena tunggu 12 rabi’ul awwal? Pasal apa yang antum percaya kalau baca selawat syifa’ pada hari jadi nabi, ganjarannya berlipat kali ganda dari hari lain? Pasal apa antum percaya kalau nak tunjukkan sayang ke nabi, kena sambut hari maulid? Itu yang orang wahabi kata bid’ah tu! Bukannya isi kandungan berzanji marhaban tu! Rasulullah bersabda Kullu bid’atin dolalah, ‘Setiap bid’ah itu sesat’! Itulah dalil yang ana pegang, sebab tu ana tak sambut hari jadi Nabi!
Kalau antum kata maulid nabi itu bukan bid’ah, ana berani cakap, sebenarnya antum masih belum mengaji habis tentang bab bid’ah, tentang definisi dan pengertian serta seluk beluk bid’ah berdasarkan ilmu syar’i! Antum cuma pakai logik je! Mengajilah dulu. Banyak kitab-kitab yang ditulis oleh ulamak yang bahas bab bid’ah. Penting tu! Perkataan ‘bid’ah’ disebut oleh Nabi sendiri dalam hadis yang sahih, sebab itu ana kata pemahaman tentang bid’ah ni penting. Selagi antum tak faham apa makna bid’ah, masih tak reti nak beza pengertian bid’ah dari segi lughoh dan makna bid’ah menurut istilah syar’i, bahas sampai tahun depan pun tak selesai, syeikh! Sumber hukum kita Qur’an dan Sunnah, syeikh! Bukan akal! Bukan petua tok guru! Bukan falsafah tok syeikh tak keramat!”
Jack mendengar penuh minat, sambil tersenyum dan angguk-angguk kepala. Dia tak hairan pun. Jack dah kenal Jusoh sejak zaman jahiliyah lagi. Masa tu belum kenal pengajian sunnah pun lagi. Tapi Jusoh dengan fitrahnya sentiasa mempersoalkan sekeliannya itu. Jusoh tidak puas bertanya-tanya pasal apa orang melayu solat berbeza dengan orang Arab? Pasal apa orang melayu baca qunut orang Arab tak baca? Pasal apa bila mati, ada acara baca tahlil ramai-ramai rumah orang mati, lepas tu ada makan-makan, padahal orang Arab takdok pun benda-benda gitu. Pasal apa orang Melayu bila nak solat kena baca usolli, sapa yang suruh? Pasal apa lepas solat orang melayu sapu muka, padahal dalam buku pengetahuan agama Islam, takdok pun tulis suruh sapu muka! Pasal apa orang melayu sambut maulid? Pasal apa orang melayu pakat hantar makanan ke surau pada malam nisfu sya’ban? Pasal apa orang melayu berarak sambut tahun baru Hijrah? Pasal apa orang melayu kacau bubur sura bulan Muharram? Eh, banyaklah! Ada 93 persoalan yang membuatkan Jusoh seolah-olah keliru dengan agama sendiri. Kalau kata sebab kita orang Melayu wajib ikut mazhab Syafie, lagi lah pening kepala Jusoh! Pasal apa pulak? Siapa yang mewajibkan? Dan kenapa tak boleh ikut mazhab Maliki atau Hanbali? Apa yang salahnya dengan Imam Malik dan Imam Ahmad? Semua jawapan kepada persoalan itu sangat tidak memuaskan hati Jusoh. Rupa-rupanya, dah besar ni barulah faham... Imam Syafie, Imam Malik, Imam Ahmad, semua tak salah! Yang salahnya orang Melayu!
Jusoh pernah bagitahu Rosman, bila Rosman kata Jusoh wahabi sebab taksub ke Dr Asri, Jusoh kata, kalau aku percaya Allah di langit, dan kalau itu yang menyebabkan aku jadi wahabi, aku boleh kabo satu je, Mang... mungkin aku wahabi lebih dulu dari Dr Asri, tau dok? Sejak zaman tv hitam putih dulu aku dah wahabi dah! Tak payahlah nak tuduh aku taksub ke Dr Asri ke, ustaz Rasul ke... kalau tak ada Dr Asri pun aku tetap wahabi jugak!
“Cuba mu fikir dalam kontek realiti moral bangsa melayu dan umat Islam zaman sekarang, Soh! Jadi pasal apa orang wahabi masih sibuk membicarakan masalah remeh-temeh, tak habis-habis dengan bid’ah! Kang banyak lagi perkara lain yang orang Islam kena fikir, bukannya asyik mengungkit masalah lapuk tu. Masalah bid’ah ni sejak tahun 70an lagi dah ada, masalah semua dah selesai, kenapa sekarang nak dibangkitkan semula? Inilah yang menyebabkan umat Islam berpecah...!”
Rosman yang lebih banyak diam dari tadi, mula mengambil bahagian.
“Mu ni Mang, tak habis-habis dengan perpecahan! Macam Menteri Perpaduan Masyarakat dan Luar Bandar pulak! Umat Islam tak akan berpecah semata-mata separuh sambut maulid separuh lagi kata bid’ah. Mu faham perpaduan yang dikehendaki dalam Islam macam mana? Mu ingat umat Islam yang berpecah, kalu pakat berarak maulid ramai-ramai, boleh bersatu balik ke?
Janganlah kamu mengatakan sesuatu yang kamu tidak memiliki ilmu tentangnya! Sapa kata masalah bid’ah dah ada sejak tahun 70an? Bukan 70an, zaman sahabat dah timbul! Pada masa Abdullah bin Mas’ud masih hidup pun dah ada orang buat bid’ah. Sekelompok orang berzikir dalam masjid, ada tekong sorang, kira zikir dengan biji batu, kena sergah dengan Abdullah bin Mas’ud, celakalah umat Muhammad! Tahu ke tak riwayat ni, syeikh syeikh sekelian? Ambiklah pengajaran wahai antum-antum yang ada akal! Takkan perkara yang senang macam tu pun tak faham?”
“Itu hanya kaedah kami untuk menunjukkan rasa bahagia kami pada hari kelahiran seorang Nabi penerang umat! Kita bebas menzahirkan perasaan yang menunjukkan rasa senang dan syukur. Allah tidak menghadkannya! kalau solat dah jelas caranya, solatlah seperti kamu lihat aku solat, kalau tak ada peraturannya, entah tunggang terbalik, entah menyanyi, entah apa...! bila ada tanda had laju di jalan raya, 70 km/jam, kita tidak boleh pandu laju melebihi 70...! tapi kalau tidak ada peringatan had laju, tapi ada juga yang menghadkan kelajuan bawah 70 km/jam, itulah yang sebenarnya dikatakan bid’ah! Kerana buat hukum baru yang tidak diperintahkan...!”
Alamak! Suhaimi dah start baca jampi serapah mayang prapu pulak dah, Jusoh tak faham! Nampaknya syeikh dah mula bawak keluar hujah mahal dia. Hujah yang dia sendiri pun tak faham kepala ekor apa yang dia cakap. Iaitu, merapu!
“Syeikh, sebenarnya anta kena faham, Nabi Muhammad SAW dilantik menjadi Rasul masa umur baginda 40 tahun! Kalau ya pun, apa-apa peristiwa yang berlaku sebelum Muhammad jadi Rasul, itu bukan sunnah yang diperintahkan suruh kita ikut. Bukannya Nabi lahir lahir je, terus jadi Rasul Allah! Yang berhempas pulas mempertahankan sambutan hari lahir Nabi, pasal apa? Anta sepatutnya faham, dalam semua ibadat, hukum asalnya adalah haram. Ia hanya boleh dilakukan kalau ada dalil yang memerintahkan atau yang mensyariatkan... tapi dalam masalah kehidupan dunia, terbalik pulak! Hukum asal semuanya boleh, kecuali jika ada dalil yang melarangnya, baru jadi haram. Ok, dari sini anta tak boleh fikir ke, adakah sambut maulid itu termasuk sebagai ibadat atau tidak? Kalau anta kata ibadat, otomatik anta tahu jawapannya, TIDAK BOLEH! Kenapa tidak boleh? Sebab bid’ah! Kenapa bid’ah? Sebab itu bukan dari ajaran Nabi! Itu bukan ibadat. Mereka-reka ibadat hukumnya haram! Tidak pernah disebut dari Qur’an atau Hadis sahih memerintahkan umat Islam memperingati hari kelahiran Nabi, tidak ada! Tapi perintah untuk memuliakan Nabi memang banyak. Bukan dengan cara sambut maulid!”
Jusoh tak kira siapa. Siapa yang bersuara depan dia, semua kena sembur! Yang badan besar ke, yang meliok lentok macam lalang kena tiup angin ke, kawan lama yang dah kenal sejak zaman purba ke, tak kira!
“Siapa yang kata sambut maulid tu ibadat...? Ana tak kata pun..! Boleh jadi peringatan maulid bukan untuk ritual tapi sekadar wasilah untuk mengingat perjuangan Nabi Muhammad dan akhlaqul karimah yang dimiliki oleh baginda. Dalam kes macam ni, hukumnya sama lah macam memperingati hari kemerdekaan atau hari pahlawan untuk mengingat jasa dan perjuangan para prajurit. Kenapa anta tak kata bid’ah? Lain lah kalau orang yang sambut maulid tu beri’tikad bahawa sambut maulud tu wajib dilakukan, itu baru bid’ah!”
Suhaimi masih berpusing-pusing. Dia masih tak puas hati.
“Tak payah kata wajib, kalau antum kata sambut maulid tu sunat pun bid’ah! Habis kalau bukan ibadat, antum beria-ria sambut pasal apa? Apa yang antum nak? Harap dapat pahala? Kalau harap dapat pahala, itu ibadat lah tu! Kalau tak harapkan pahala, berarak berzanji marhaban buat apa? Dengar sini syeikh, apa-apa sahaja persoalan yang dikaitkan dengan peribadi Nabi Muhammad SAW, bagi ana, itu semua persoalan Agama! Ana tak nampak macam mana kalau menyambut hari kelahiran Rasulullah SAW, tapi bagi alasan itu bukan soal agama, hanya persoalan tentang kehidupan dunia! Ana tak setuju! Kalau fanatik sangat dengan sambutan harijadi pun, dan kalau tak nak kaitkan dengan agama, sambutlah hari jadi Saddam Husin ke, Robert Mugabe ke, Kopi Anan ke... jangan kaitkan dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda seorang Rasul Allah! Antum sambut maulid Nabi, nak kata itu tak ada kaitan dengan agama?”
Ambik nak! Baru tahu. Suhaimi belum pernah jumpa orang yang seberani ini. Tidak ada orang yang pernah bercakap ‘kurang ajar’ macam ni dengan Suhaimi sebelum ini. Betul lah kata Rosman, Jusoh ni mulut celupar. Kalau setakat cuping telinga buat dari lilin, jangan nak bahas dengan dia. Takut telinga cair gitu je.
“Dulu Rasulullah naik unta, sahabat naik kuda... habis tu sekarang kita naik kereta, naik bas, naik flight, apa itu semua bukan bid’ah ke? Kalau semua bid’ah sesat, pasal apa kita tak naik unta je sekarang? Handphone, lap-top, speaker, mikrofon, semua tu bid’ah...! kenapa tak kata sesat?”
Pulaaak! Pian ni, tak serik-serik!
“Laa... ana ingat anta sorang yang paling cerdik, rupa-rupanya enam tolak enam je dengan yang lain...! Dah tiga belas kali ana kata, semua bid’ah sesat! semua bid’ah sesat! tidak ada kecuali! Bid’ah tetap bid’ah. Bid’ah tak akan bertukar jadi sunnah semata-mata pelakunya memberi alasan atas niat yang baik! Kalau dah semua bid’ah sesat, yang tak sesat macam naik kereta naik bas tu, bukanlah bid’ah namanya! Kalau bid’ah pun, itu bid’ah menurut istilah lughoh bahasa sahaja, bukan bid’ah pada syariat, dan bukan juga bid’ah hasanah! Tidak ada bid’ah hasanah dalam agama. Kalau antum kata handphone bid’ah yang sesat, pasal apa antum pakai handphone jugak?”
“Anta pun pakai handphone!”
“Ya lah! Ana tak kata pun handphone bid’ah!! Anta yang kata!”
“Bila ana kata?”
“Tadi!”
“Anta silap dengar. Ana kata lain, anta cakap lain...!”
“Helo syeikh, ana ni bukan nyanyuk lagi tau? Member hutang duit ana masa sekolah darjah lima pun ana ingat lagi, inikan pulak anta baru cakap kejap tadi...!”
Laaaa..! bertekak macam budak-budak pulak dah..! Nasib baik Rosman bersuara menenangkan keadaan. Sambil memandang Jack, dia berkata :
“Kenapa kita berfikir terlalu sempit, kalau memang dengan adanya peringatan maulid nabi kita boleh dapat banyak manafaat, pasal apa nak kecoh-kecoh? Anta kena tahu bahawa dengan adanya peringatan maulid nabi oleh sebahagian saudara kita, itu merupakan bentuk kecintaan mereka terhadap nabi, jadi kita tidak boleh menyalahkan, itu hak mereka! Kalau ada orang yang membid’ahkan, itulah puak wahabi. Mereka sebenarnya jahil! Mereka bukan tahu dalam progaram sambut maulid pun ada buat ceramah, itu semua acara dakwah dan perlu diingat bahawa dakwah itu dianjurkan oleh Islam!”
Jack yang cuma tersenyum-senyum dan tergelak kecil dari tadi, akhirnya dipaksa untuk bersuara, “Kalau korang semua dah tahu nabi dan tiga generasi selepas baginda tidak pernah melakukan sambutan maulid, kenapa korang sungguh-sungguh sangat nak pertahankan? Apakah korang kira dengan buat program menyambut hari maulid, korang rasa lebih mulia dari sahabat Rasulullah SAW? Aku cakap kau, merayakan maulid nabi itu maksudnya secara tidak langsung, diakui atau tidak, itu maknanya korang telah melakukan tasyabuh, iaitu menyerupai amalan orang Nasrani, di mana mereka selalu merayakan hari kelahiran Nabi Isa, iaitu hari Krismas. Cuba korang baca hadis yang diriwayatkan dari imam Bukhari yang maksudnya, “Janganlah kamu berlebih-lebihan terhadap ku sebagaimana umat Nasrani berlebih-lebihan terhadap Isa al Masih.”
Aceeeh, Jack dah panas injin.
“Kalau tujuan merayakan maulid Nabi ialah untuk membangkitkan semangat Islam dengan cara mendengar ceramah tentang sejarah Rasul dan menceritakan sifat-sifat baginda serta memuji akhlak baginda, itu pun bid’ah ke?” Rosman bertanya.
“Kau tahu, syarat amal soleh ada 3. Satu, adanya perintah dari Allah. Dua, mesti mengikut cara yang diajar oleh Rasulullah SAW. Tiga, mesti ikhlas kerana Allah. Kalau tidak cukup ketiga-tiga syarat ini, maka ia tidak boleh dikatakan amal soleh. Aku nak tanya kau, sambut maulid cukup tak tiga syarat ni?” Jack mula tunjuk skill.
“Alah, kalau hari jadi orang yang kita sayang pun kita sambut, pasal apa nak sambut hari kelahiran orang yang paling mulia tak boleh pulak?” Rosman pun dah start merapu.
“Eh boleh! Sapa pulak yang kata tak boleh? Kau nak sambut maulid, kau sambut saja lah, tak ada siapa nak halang pun!” Jack macam makin hilang sabar je.
“Ok macam ni lah. Sebab hari pun dah lewat. Apa kata kalau ana jemput antum berdua datang ke tempat kami......!”
Suhaimi bertindak sebagai tekong merangkap ketua pasukan memberikan cadangan. Tapi, nahu Arab ada sikit broken lah syeikh! Mana ada ‘antum berdua’?!
Jemput datang ke tempat dia? Di mana? Bila? Untuk apa? Tidak! Kedua-dua Jusoh dan Jack menolak ajakan itu. Tak ada tujuan. Takdok pekdah apa pun! Buang masa je! Tapi Suhaimi dan Pian masih tak puas hati. Ikuti episod seterusnya.
Demikian adanya.
Bersambung..
No comments:
Post a Comment