Peristiwa Saqifah Bani Sa'idah
Dulu zaman mengaji di ITM masa ambik diploma. Ada subjek Tamadun Islam. Kod matapelajaran, UIS. Paper wajib. Dua credit hours untuk satu semester. Maknanya dari part one sampai part six ada enam paper, 12 credit hours semua sekali. Masa semester satu, ada sesi ujian lisan. Kena masuk bilik ustaz dua orang dua orang. Ustaz akan tanya soalan-soalan basic tentang agama, tentang rukun Iman, rukun Islam, baca doa qunut, Sifat 20, atau ustaz suruh baca surah-surah pendek dalam Juz Amma, macam temuduga kursus kahwin tu lah. Kalau final exam markahnya 70%, carry mark ialah 30%. Untuk carry mark tu pulak, 10% adalah daripada ujian lisan!
Giliran Jusoh kena masuk bilik ustaz Muslihin sama dengan seorang kawan baik, kebetulan di hostel pun duduk sama satu bilik. Sama-sama main bola, sama-sama main takraw dengan Jusoh. Budak Negeri Sembilan. Nama dia Jamal. Orang panggil Jack. Mulanya Jusoh agak mesti ayah dia ni peminat setia Jamal Abdillah, atau paling koman pun peminat Jamal Mirdad, penyanyi Indonesia yang terkenal dengan lagu Jamilah tu. Kalu dok pun, mungkin ayah dia ni minat bela unta! Rupanya, semua salah! Jack bagitahu, mak Jack cerita ke dia, ayah Jack ada kabo ke mak dia, dia pilih nama tu sempena nama Jamal Abdol Naser, bekas Presiden Mesir! Ambik nak! Peeergh, buleh tahan! Tapi... sampai sekarang Jusoh tak faham apa kena-mengena Presiden Mesir dengan ayah Jack yang duduk di kampung Bongek tu. Nak kata waris mak dia pun, tak munasabah langsung! Nak kata dua pupu dengan adik ipar biras ayah dia pun... itupun tak masuk akal! Kalau kambing dengar, kambing pun senyum. Senyum sebab tak caya. Nampak sangat lebong atas darat kering!
Tapi Jack baik. Walaupun dia tidaklah sehensem dan semacho Jusoh, tapi Jack ni jenis menyemart. Baju masuk dalam sokmo! Nak keluar gi kantin tengah malam buta pun jenuh tunggu dia bojeng rambut lah, tukar talipinggang lah, nak sembur ketiak dengan odorono dulu lah! Mujur tak nampak sikat cokeng dalam kocek belakang, kalau tidak, susah juga nak beza yang mana Jack yang mana Mohamed Ghulam Ali, orang Bangladesh yang kerja stesen minyak Shell!
Jack cerdik boleh tahan jugak. CGPA tiga point lima lebih. Dapat sijil dekan. Cakap speaking bahasa English berabuk hanyai. Pendek kata, Kalu Jack tengah speaking dengan lecturer English, Jusoh akan bertukar menjadi seorang pelajar yang pendiam tak banyak cakap, lebih banyak gelak dari berkata-kata. Tapi... Jusoh gelak pun dalam English woo!
Jack pandai main gitar. Menyanyi pun sedap. Peminat perempuan yang secret admirer kat Jack memang ramai. Tapi Jack bukanlah jenis jantan yang lembek tengkok dan belenja air liur bila depan perempuan. Atau yang jenis tergedik-gedik berkinja tak tentu arah. Bukan! Jack tak banyak cakap dengan perempuan. Sama jugak dengan Jusoh. Bercakap bila perlu je. Itupun kalau sekali sekala bercakap, macam gaya Nasir Bilal Khan je. Malu-malu ayam bapak! Ceh!
Sebab tu kalau sekali sekala Jack buat nakal tegur awek steno tengah berjalan tepi library, buat-buat puji kasut lawa lah, rambut mengancam macam maggi tak masak lah, tahi lalat kat dagu macam Roseyatimah lah, punggung macam itik pulang petang lah, leher macam angsa tak nak pulang lah... itu pun sudah cukup untuk membuatkan siswi-siswi glemer ITM itu senyum temewek sorang-sorang masa tengah tidur malam karang. Mengigau!
Itulah kelebihan Jack. Jika kegentlemanan dan sikap sopan santun Jusoh mampu mencairkan hati dua tiga orang awek steno sehingga sanggup menyerahkan segala-galanya dan rela diperlakukan apa saja..... cewah! acah je, mana ada! tipu je lah! Hahaha! Maksudnya, dua tiga orang serikandi bertuah itu sanggup bersusah payah mengorbankan masa dan tenaga, demi untuk tolong taipkan assignment Jusoh; walaupun dengan berbekalkan budi bahasa yang lembut macam dodol dalam pinggan saja, Jusoh sudah mampu mengikhlaskan hati aweks (plural) untuk tolong taipkan Business Research setebal dua kilogram siap dengan binding sekali, akan tetapi... Jusoh tetap tak boleh lawan Jack. Jack jejaka idaman Malaya. Kalau nak bandingkan Jusoh dengan Jack, ibaratnya macam Nasir Bilal Khan dengan Datuk Shahrul Khan!
Pendek kata, kalu Jack senyum saja pun, itu sudah merupakan pengajaran berguna kepada empat lima orang mahasisiwi untuk memahami apa makna c-i-n-t-a!! Kalau Jack dah tegur, itu maknanya gadis-gadis pemudi tiang negara itu akan mendapat pengalaman untuk turut sama mengecapi kepahitan c-i-n-t-a!! Pernah sekali masa Jack tengah nyanyi lagu Mona Gersang, eh..! lagu Suratan Takdir nyanyian kumpulan Gersang pada Malam Persembahan Kebudayaan...
Uusahlah ku disaalahkan... terjaadinya perpisahaan inii... iitu suraatan takdiir... tak teerlintas di hatii ini untuuk akuu jatuh cintaa lagii... taapi takdir yang menentukaan...!
Fuh! ada dua awek naik stage bagi bunga kat Jack...! Sorang budak Steno sorang lagi budak Banking. Sorang naik ikut tangga kiri sorang ikut kanan. Berselisih pulak atas pentas, nyaris berlaku tragedi Sri Mersing dalam dewan besar malam tu. Berebut Jamal Bongek punya pasal!
Cuma satu saja kelemahan Jack. Dia tak reti baca Qur’an! Dia memang tak kenal huruf pun. Dia cuma tahu huruf Alif, Ba, Ta, Sa... itu je. Masuk Ha, Kho, Jin.. habis bolok-arok sekali, tak tahu huruf apa titik atas huruf apa titik tengah. Kalu Jack tengok suratkhabar jawi sebijik macam orang Yaman tengah baca suratkhabar Sin Chew Jit Poh. Padan tilik gambar je!
Dipendekkan cerita, tiga hari sebelum ujian lisan kena masuk mengadap dalam bilik ustaz Muslihin, Jusoh terpaksa bertungkus lumus ajar Jack hafal surah-surah pendek, dari surah an-Nas sampai Wal-‘Asri. Bukan senang. Nak hafal ayat yang dia sendiri tak tahu baca, tak tahu tulis, dan tak tahu makna sepatah haram pun... hafal bodo bodo gitu je! Untuk nak mudah hafal, Jack tulis satu-satu ayat yang dibaca, tapi... dia tulis ayat Qur’an dalam tulisan rumi daaa!
Pada malam terakhir sebelum tiba giliran mengadap ustaz Muslihin, Jusoh tak tahu Jack tidur pukul berapa. Masa Jusoh bangun kencing pukul 3.54 pagi, terdengar suara Jack tengah menghafal, “Innahuu kaa natawwaabaa....” dengan loghat Negeri Sembilannya, dengan pitching lari out habis, lidah dia punya pelat mengalahkan orang Taiwan yang baru belajar cakap Siam! Tak ada sabdu langsung! Tapi ok lah... sebelum masuk bilik ustaz, dapat juga Jack hafal semua surah.
Jack yang kena soal dulu. Mula-mula ustaz suruh mengucap dua kalimah syahadah! Punyalah senang! Nak siyat kulit ikan jebong lagi susah! Semangat kesukanan sungguh ustaz Muslihin, sporting habis! Mungkin ustaz tahu Jack tak reti baca Qur’an, tu sebabnya tanya soalan mudah je kot! Sebab pernah sekali masa dalam kelas, ustaz terangkan setiap yang hidup mesti mati. Tanda-tanda awal kita akan mati ialah, kita hidup! Kullu nafsin zaa iqatul maut, tiap-tiap yang hidup akan mati. Nampak Jack macam kusyuk je dengar, yang tak kelakar pun dia senyum, ustaz pun tanya, Jamal, boleh kamu terangkan, apa tandanya kita akan mati? Jack jawab, buktinya ialah Allah itu Maha Berkuasa! Ambik nak! Berkedut dahi ustaz Muslihin mikir kalau-kalau dia tersalah bagi soalan! Yang pastinya, lepas tu ustaz tak tanya apa-apa soalan lagi kat Jack, ustaz tanya orang lain.
Jenuh Jack duk hafal surah muqaddam tiga hari tiga malam, alih-alih ustaz suruh mengucap je! Jusoh pun lega bukan main, at least dah ada markah free untuk Jack. Dengan keyakinan yang penuh konfiden, dan dengan muka yang tidak berkedut langsung, Jack pun jawab : “assalaamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh...!”
Ustaz Muslihin terkanjal macam kereta tercabut tayar. Spontan keluar soalan slang Indon dari mulut ustaz Muslihin, apa itu? Muka Jusoh berkeriput menahan gelak. Tubuh Jusoh berhinggut macam orang sakit pakinson. Jusoh pandang muka ustaz, fuh! Respek ah... muka ustaz tenang tak ada nampak tanda-tanda nak tergelak langsung. Huh, istiqamah sungguh ustaz Muslihin!
Jack semakin panik tak tentu arah. Surah yang dia hafal selama tiga hari semua dah lupa. Serabut-arut sekali tak tahu ayat ni surah mana ayat tu sambungan dari ayat mana. Ustaz suruh baca surah al-Ikhlas pulak, hah sudah...! Jack rasa-rasa macam pernah hafal, tapi tak tahu yang mana satu surah al-Ikhlas. Kalu tahu ayat mula-mula, Jack bolehlah sambung ayat selepas tu. Ini ustaz terus sebut nama surah suruh Jack baca, padahal Jack hafal Ayat je, tak hafal nama Surah! Belum sempat Jusoh berbisik nak bagitahu Qulhuallahu Ahad, Jack dah jawab dulu : “Allahumaa baariklanaa fima razaktana waqinaa azaabannar, Aamm... eh? Ops sorry silap, silap, sorry ustaz, sorry..!”
Ceh, Jack bantai baca doa makan..! Masa nak sebut amin baru perasan dia tersilap...! Aduuuuh, kali ini Jusoh betul-betul dah tak boleh tahan sabar... dia bantai gelak depan ustaz sampai terduduk atas lantai, sampai berjurai tubik air mata. Dan, itulah pertama kali Jusoh berpeluang mendengar suara ustaz Muslihin tergelak sampai terkekek-kekek. Istiqamah ke mana, tamakninah ke mana, mukadimah ke mana, ustaz betul-betul tak boleh tahan...! Agaknya kalau cerita kat Osama bin Laden pun Osama gelak. Tapi.. hanya Jusoh yang tahu! Jack baca doa makan dalam loghat Negeri Sembilan memang kelakar. Tapi bagi Jusoh, ada benda lain yang lebih lucu yang menyebabkan dia gelak sampai merangkak seruh-sereh atas lantai. Hanya Jusoh yang tahu betapa tidak merdunya bunyi suara ustaz Muslihin gelak! Walaupun ustaz gelak dengan ikhlas, dan ustaz cuba kontrol supaya jangan sampai terbahak-bahak, tapi bila dah tak boleh tahan, terkeluar juga suara creiiik creiiik serupa macam bunyi rantai basikal tak cukup minyak!
“Mu kata mu sokong Hizbul Tahrir. Aku cuma nak tanya, Mang! apa benda Hizbul Tahrir tu?” Jusoh bertanya sambil tangan memilih-milih ubi kayu rebus yang sedang-sedang empuk, tak nak yang lembik sangat.
“Aku tanya apa pendapat mu tentang Hizbul Tahrir, mu tak jawab... alih-alih mu tanya aku balik Hizbul Tahrir tu apa....?!” Rosman buat-buat garang.
“Aku memang tak tahu Hizbul Tahrir tu apa, sebab tu aku tanya!!! Nak suruh aku bagi pendapat korok kering apa kalau aku tak tahu apa benda Hizbul Tahrir..!!! Aku sokong ke, aku tak sokong ke, mana aku tahu? Aku ulang, Hizbul Tahrir tu apa sebenarnya? Gerakan dakwah ke... NGO ke... pejuang hak asasi manusia ke... badan pertolongan cemas ke.... parti politik ke..?” Jusoh sergah balik.
“Parti politik! Memang Hizbul Tahrir adalah sebuah parti politik...!”
“Di mana? Maksud aku, politik di Malaysia atau politik antarabangsa?”
“Hizbul Tahrir ditubuhkan di Baitul Maqdis, Palestin. Tahun 1953. Pengasas dia nama Syeikh Taqiyuddin.”
“Owh, maksudnya Hizbul Tahrir tu parti politik di Palestine lah ya...! so, apa kena-mengena dengan politik Malaysia? Ke mu nak ajak aku gi ngundi di Palestine pulak? Susah jugak tu, nak daftar DUN mana Parlimen mana, aku bukan tahu pun...! Kalu kena sesah dengan puak-puak parti Refah, dia cas kita pengundi hantu, macam mana? Hahaha..!”
“Aku kata Hizbul Tahrir diasaskan di Palestine! Aku tak kata ia satu parti politik yang bertanding pilihanraya!”
“Dah kalu parti politik tak masuk bertanding dalam pilihanraya, Hizbul Tahrir nak masuk acara apa? Acara lawan pedang ke? Satu lagi, kalau tak masuk pilihanraya, mu sokong wat mende? Apa benda yang mu sokong sebenarnya? Untuk apa..? Itu yang aku tak faham tu!”
“Hizbul Tahrir diasaskan di Palestine. Tahun 1953, bukan tiga empat tahun lepas. Sekarang Hizbul Tahrir sudah berkembang ke seluruh negara Arab di Timur Tengah, termasuk di Afrika seperti Mesir, Libya, Sudan dan Algeria. Juga ke Turki, United Kingdom, Perancis, Jerman, Austria, Belanda, dan negara-negara Eropah lain hingga ke Amerika Syarikat, ke Rusia, Uzbekistan, Tajikistan, Kirgistan, Pakistan, Malaysia, Indonesia, hingga ke Australia. Yang aku masuk ialah Hizbul Tahrir Malaysia, bukan di Palestine! Ada fehem?”
“Dok! Memang aku dok paham...! Mu kata Hizbul Tahrir tu parti politik. Mana ada parti politik di Malaysia nama Hizbul Tahrir? Pejabat Pendaftar Pertubuhan pun tak pernah meluluskan penubuhan parti nama Hizbul Tahrir...!”
“Hizbul Tahrir bukan nak masuk pilihanraya. Pilihanraya tu sistem demokrasi ciptaan orang kafir! Padahal dalam Islam sudah ada sistem pemerintahan cara Khilafah. Hizbul Tahrir menitik beratkan perjuangan membangkitkan umat di seluruh dunia untuk mengembalikan semula kehidupan Islam melalui tegaknya kembali Khilafah Islamiyah di muka bumi Allah ini...!”
“Parti politik... tapi tidak berdaftar... tapi nak berjuang menegakkan khilafah Islamiyah... tapi tak nak masuk pilihanraya.... lepas tu? Mu fikir Hizbul Tahrir nak tegak sistem khilafah cara mana? Sebab tu aku tanya tadi, Hizbul Tahrir nak masuk acara lawan pedang ke?”
“Mu ni bercakap macam orang mengaji Sirah tak habis lah Jusoh! Nabi Muhammad menegakkan negara Islam Madinah macam mana? Khulafa ar-Rasyidin meluaskan kekuasaan wilayah Islam cara mana? Melalui pilihanraya ke? Sistem pemerintahan cara Islam telah ditunjuk contoh oleh Nabi dan sahabat, kenapa kita tak boleh ikut? Kenapa masih nak bersekongkol dalam sistem pilihanraya yang jelas telah dicipta oleh orang kafir?”
“Aku tak pertikaikan tentang Sirah. Aku cuma tanya, macam mana cara Hizbul Tahrir nak berjuang? Jangan kira yang luar, kita ambik di Malaysia ni! Hizbul Tahrir Malaysia berjuang untuk apa? Kalu nak tukarkan sistem demokrasi di Malaysia ni kepada sistem khilafah daulah Islamiyah sekalipun, paling tidak pun Hizbul Tahrir kena ambil alih tampuk kekuasaan dalam pemerintahan negara. Itu yang aku tak faham tu, Hizbul Tahrir nak berjuang mendapatkan kekuasaan dengan cara apa, kalau tak nak masuk pilihanraya? Dan apa sumbangan mu sebagai penyokong dalam perjuangan Hizbul Tahrir? Itu saja yang aku nak tahu!”
“Mu balik baca sirah sampai habis dulu lah Jusoh, baru boleh cerita hal ni dengan aku! Faham elok-elok dulu apa makna sistem khilafah, apa makna Daulah Islamiyah, apa makna demokrasi. Nabi Muhammad berhijrah dari Mekah untuk mendirikan kerajaan Islam Madinah, Nabi menerapkan sistem pemerintahan dan kehidupan cara Islam sehingga Islam berkembang ke seluruh semenanjung Arab. Selepas Nabi wafat, tugas itu disambung oleh sahabat sehingga Islam berjaya mengalahkan Rom dan Parsi. Sepatutnya semua umat Islam di Malaysia, tak kiralah Pas ke, UMNO ke, Tabligh ke, Arqam ke, semua bergabung dengan Hizbut Tahrir untuk berjuang bagi perpaduan dan penyatuan semua orang Islam di bawah bendera Lailahaillallah Muhammadurrasulullah! Kita wajib melantik seorang Khalifah atau Imam, yang bertanggungjawab melakukan tugas ri’ayah su’un al-ummah, iaitu untuk mengatur urusan umat.”
Rosman ni dah makan ubi kayu kenyang-kenyang, kang Jusoh pepah dengan batang ubi pulak kang baru padan muka.
“Ok, mu nak cerita pasal Sirah, pasal Khilafah, pasal daulah Islamiyah... aku nak tanya dengan ikhlas, aku tak berani nak kata Hizbul Tahrir salah atau betul, itu bukan urusan aku pun! Cuma nak minta kepastian... mu kata Hizbul Tahrir parti politik, tapi tak nak masuk pilihanraya, ok? Tapi Hizbul Tahrir nak menegakkan sistem pemerintahan Islam dan mahu melantik pemimpin berdasarkan sistem Khilafah, ok? Sebab tu aku tanya dari awal tadi, Hizbul Tahrir ni parti politik ke atau gerakan dakwah? Mu kata parti politik! Ok lah, mu kata nak ikut cara Nabi menegakkan negara Islam Madinah. Aku nak tanya, Hizbul Tahrir nak ambik perjalanan Sirah Nabi bermula dari mana? Nabi Muhammad SAW menyampaikan dakwah Islam tahun 610 di Mekah. Kena siksa macam-macam. Kena fitnah. Kena boikot. Masa tu tak timbul lagi soal nak tegakkan negara Islam atau nak laksanakan sistem Khilafah dalam pemerintahan. Nabi SAW cuma mendakwahkan Tauhid laa ilaha illa Allah, Muhammad Rasul Allah! Itu saja. Tinggalkan syirik, tidak ada khurafat dan tahyul dalam Agama! Itu dakwah utama Nabi, Mang! Bukan sistem pemerintahan. Nabi dihalau dari Mekah kerana membawa syahadah itu, bukan sebab orang Quraish takut Nabi ambil alih kekuasaan dan pemerintahan di Mekah! Kalau Nabi berjuang untuk menguasai pemerintahan, tak payah lah hijrah ke Madinah. Pembesar Quraish sendiri pun pernah offer Nabi suruh jadi ketua di Mekah!!! Tahun 620, para sahabat terpaksa Hijrah ke Madinah demi keimanan kepada Allah dan Rasul, demi mempertahankan laa ilaaha illallah, Muhammadurrasulullah! Bukan sebab nak melaksanakan dan mempertahankan sistem khilafah, tak timbul lagi soal khilafah masa tu, Semang! Orang Ansar di Madinah pun sanggup melindungi Nabi Saw dan orang Muhajirin dari Mekah, pun semata-mata kerana keimanan kepada Allah dan Rasul! Mereka sanggup menggadaikan nyawa untuk mempertahankan laa ilaaha illallah Muhammadurrasulullah. Tidak ada sirah yang bagitahu orang Ansar bermatian-matian mempertahankan sistem pemerintahan cara Khilafah yang akan dilaksanakan oleh Nabi SAW, tak ada! Sebab tu aku tanya, Hizbul Tahrir nak ambik perjalanan Sirah bermula dari mana? Dalam realiti hidup kita zaman sekarang, selepas beribu-ribu tahun Nabi SAW wafat, orang Hizbul Tahrir nak Hijrah ke mana? Nak lantik siapa jadi Imam? Orang negeri mana? Siapa pulak yang tukang lantik Khalifah? Hizbul Tahrir nak mendakwahkan Agama atau nak berjuang dalam politik? Nabi SAW diutuskan mempunyai dua fungsi, iaitu sebagai Risalah dan Imamah! Risalah ialah fungsi sebagai Rasul Allah yang menyampaikan Agama Islam kepada manusia. Fungsi ini tidak boleh digantikan oleh sesiapa pun, kerana Nabi SAW adalah Rasul yang terakhir. Fungsi yang kedua ialah sebagai Imamah, iaitu sebagai pemimpin kekuasaan dan pemerintahan duniawi. Di sinilah timbulnya sistem Khilafah, iaitu pengganti Nabi SAW dalam hal kepimpinan politik!! Sebelum Penaklukan kota Mekah tahun 628, Nabi lebih menumpukan kepada fungsi sebagai Risalah, iaitu mendakwahkan Agama Islam kepada masyarakat Arab. Semua peperangan yang berlaku semasa Nabi SAW masih hidup, adalah kerana fungsi sebagai Rasul Allah, bukan untuk mempertahankan fungsi sebagai Imam atau Khalifah atau Perdana Menteri!! Hizbul Tahrir nak ikut contoh mana? Mu tahu apa sebab musabab kenapa berlaku Perang Badar? Perang Uhud? Perang Khandaq? Perang Hunain? Perang Khaybar? Perang Mu’tah? Mu ingat sebab Nabi nak pertahankan jawatan sebagai pemimpin negara Islam ke? Nabi SAW nak pertahankan Agama, Mang!!! Contoh dari Sirah mana yang Hizbul Tahrir nak perjuangkan? Zaman Nabi tak ada sistem Khalifah. Khalifah tu maknanya pengganti! Sejak zaman Abu Bakar, mulanya dia dipanggil Khalifatullah, iaitu Khalifah Allah. Tapi sebab dia rasa berat sangat gelaran tu, lalu dipanggil Khalifatul-Rasul, iaitu Pengganti Rasul. Lama kelamaan orang panggil Khalifah je. Masa Umar jadi ketua, mulanya dia dipanggil Khalifatu Khalifatul Rasul, iaitu Pengganti kepada Pengganti Rasul. Lepas ada sorang yang panggil Amirul Mukminin, Umar pun suka dengan panggilan itu, maka orang ramai pun panggil Amirul Mukiminin. Mu tahu macam mana cara Abu Bakar dilantik jadi Khalifah sebagai pengganti Nabi sebagai ketua kerajaan Islam? Mu tahu kisah Saqifah Bani Sa’idah yang berlaku di kampung orang Ansar dekat sauq al-Madinah, ketika mayat Nabi SAW masih terbaring dalam rumah A’isyah? Mu tahu sebab apa berlaku pertikaian untuk melantik pengganti Nabi SAW? Sebabnya nabi SAW tak pernah tinggalkan apa-apa wasiat untuk melantik sesiapa menggantikan baginda! Kalau soal sistem Khalifah itu merupakan sesuatu yang terlalu penting yang wajib diperjuangkan dalam menegakkan Agama Allah dan untuk menjalani kehidupan cara Islam dalam mempertahankan Qur’an dan Sunnah di atas muka bumi ini, kenapa Nabi tak lantik awal-awal pengganti baginda? Adakah Hizbul Tahrir nak jadikan peristiwa Saqifah Bani Sa’idah sebagai sunnah dan ikutan untuk melantik seorang Khalifah atau Imam? Cuba cerita kat aku, apa sebenarnya yang mu faham tentang perjuangan Hizbul Tahrir dalam politik di Malaysia dengan pedoman yang berlaku dalam Sirah Nabi SAW dan sahabat! Atau memang mu tak faham apa-apa? Kita hidup di alam nyata, Mang! Bukan alam ghaib atau dalam dunia falsafah dan teori. Aku persoalkan dari apa yang aku nampak. Aku tak pandai nak berteori itu dan ini, padahal diri sendiri tak faham sepenuhnya apa yang berlaku dalam Sirah Nabi. Mang! Mu jangan balik selagi mu belum jelaskan kat aku apa sebenarnya yang mu nampak dalam perjuangan Hizbul Tahrir!”
Baru-baru ni Jusoh ada jumpa Jack. Kebetulan Jack ada hal di Kuantan, dia call Jusoh suruh datang ambik dia kat Masjid Besar depan padang bola sebelah bank HSBC. Dia tak tahu sangat tempat-tempat di Kuantan. Kebetulan Jusoh tengah berada di kawasan sekitar area bandar, dengan senang hati Jusoh terus masuk ikut depan Shahzan Inn parking depan pejabat agama. Memang Jusoh dah lama terasa sangat nak jumpa Jack. Tak tahu kenapa. Wow! Jack pakai kereta Mercedes, sama brand jugak dengan kereta Jusoh. Cuma model je lain-lain. Jack pakai Mercedes Brabus, Jusoh pakai Mercedes Berambus!! Jack bagitahu dia belum solat. Tunggu dia solat dulu kejap. Jusoh tengok Jack ambik wuduk. Ish, nampak tertib molek. Kembang hati Jusoh. Alhamdulillah. Jusoh terkenang kisah 20 tahun yang lalu. Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, nescaya tiada siapa yang mampu menyesatkannya. Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, nescaya tiada siapa yang mampu memberinya petunjuk. Jack masuk ke dalam masjid dengan tenang, Jusoh mengikuti dengan ekor mata dari atas tangga depan pintu masjid. Jack berdiri lalu mengangkat Takbiratul-ihram. Ya Tuhan! Jusoh berseru dalam hati. Tenang sungguh. Jack bersedekap dengan tertib. Rukuk. Sujud. Dan ketika Jack membaca Tahiyyat, hati Jusoh sebak bila melihat jari telunjuk Jack bergedik-gedik... Allahuakbar! Jusoh memanjatkan doa dalam hati, ampunkanlah segala kesalahan dia yang lalu Ya Allah!
Ikuti sambungan perkembangan kisah Jack dan kisah perbahasan Jusoh-Rosman sambungan bab Hizbul Tahrir dalam episod akan datang. Apa akan jadi bila Rosman dipertemukan dengan Jack?
Demikian adanya.
Bersambung..
No comments:
Post a Comment