Thursday, June 16, 2011

Hati si Jusoh: episod 18

"baso jate tak ppakka!"

Hari berganti minggu. Bulan beralih bulan. Anak ayam yang baru menetas dah jadi ayam dara. Ibu ayam dah jadi ayam pencen. Bapak ayam dah jadi nenek ayam. Rosman sudah kalih dengan kehidupan di Kuantan. Dia dah bawak keluarga ikut pindah sekali. Dia pun dah ada ramai kawan di sini. Kalau dikumpulkan, mahu penuh satu bas. Entah sapa-sapa, ramai yang Jusoh tak pernah kenal. Tak apalah. Bukan salah Jusoh pun. Memang orang-orang tu yang tak glamour langsung!

Dengan puak tablighnya, puak sufi, geng yang sama belajar tasawuf di Kemaman, puak tareqat Hasan Anak Rimau di Bukit Goh, puak-puak kubur keramat di Ubai, puak mazhab Ahlul Baitnya, geng-geng pondok sini dan pondok sana, geng Pekidanya, geng Suqur Rufaqa @ Ikhwan Timur pun ada! ish, antarabangsa sungguh Rosman! Semua dia boleh jadi geng. Kecuali satu. Golongan yang ikut sunnah! Itu satu-satu musuh Rosman dalam agama. Rosman kata itu puak wahabi, puak-puak sesat! Umat Islam wajib menentang puak-puak wahabi yang nak ikut sunnah Nabi!

Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud umat Islam akan berpecah kepada 73 puak, semua ke neraka kecuali satu, iaitu golongan yang berpegang kepada Sunnah baginda SAW dan sunnah para sahabat. Golongan yang satu inilah yang digelar wahabi oleh puak-puak yang 72 termasuk Rosman. Inilah fenomena yang berlaku dalam masyarakat Islam di Malaysia sejak dulu, kini, dan tak tahu sampai bila. Jusoh amat mempercayai akan sabda Nabi SAW itu. Perpecahan kepada bermacam-macam puak yang disebut oleh baginda PASTI akan berlaku!

Rosman dah jarang jumpa Jusoh. Tak kerap macam dulu. Mungkin sibuk dengan pengajian tasawufnya. Tak apalah, baguslah tu! Sebab Rosman pernah bagitahu, kalau tak kenal diri sendiri, maka kita tak akan kenal Tuhan. Kalau tak kenal Tuhan, macam mana Tuhan nak terima ibadat kita? Itulah pentingnya ilmu tasawuf. Untuk menyucikan hati. Menjaga kebersihan batin. Barulah boleh mengenal Tuhan dan mendekatkan diri kepada Tuhan. Orang-orang yang mengenal Tuhan, dan dapat merasai kewujudan Tuhan dalam diri mereka, hanya orang tersebut yang tahu betapa lazatnya ibadat dan zikir yang diamalkan.

Ya tak ya juga! Pandai juga Rosman. Tapi pandai menunjukkan kebodohan sendiri lah! Ada ke patut, dia yang kata kalau tak mengaji ilmu tasawuf tak akan kenal diri sendiri, maka kita tak akan kenal Tuhan! Dia yang kata! Tapi dia sendiri sekarang baru belajar tasawuf? Habis selama ni......? Mungkin selama ini Rosman belum kenal diri sendiri? Maknanya Rosman pun belum kenal Tuhan? Jusoh pun tak pasti macam mana Rosman solat dan puasa selama lebih 30 tahun sebelum ni dalam keadaan tak kenal Tuhan!!?

Jusoh pun tak tahu samada falsafah tasawuf Rosman tu betul atau kelentong. Tapi dengar macam bangang je! Pernah hal itu diucapkan oleh Rosman depan Jusoh, tapi Jusoh jawab acuh tak acuh sambil buat-buat muka macam biawak pasir, “setakat nak kenal diri sendiri... apek Sungai Lembing pun kenal diri dia sapa, bila masanya apek belajar tasawuf? Apa kaitan pulak kenal diri sendiri dengan kenal Tuhan?” Begitu jawab Jusoh bila Rosman cuba berdakwah kempen dia suruh menuntut ilmu hakikat dan makrifat, mengenal diri dan mengenal Tuhan.

Ya lah, nak mengenal Tuhan macam mana lagi? Allah memang tidak menyerupai sesuatu pun! Kita mengenal Allah sekadar apa yang dinyatakan oleh Allah sendiri dalam al-Qur’an dan apa disebut dalam Hadis SAW sahaja. Titik. Untuk nak kaji lebih pada apa yang Qur’an Hadis bagitahu, itu bukan kerja Jusoh! Manusia diperintahkan untuk beriman kepada Allah. Menyembah Allah. Meng-Esa-kan Allah. Jangan Syirik! Jauhi Khurafat dan Tahyul. Pegang Sunnah Nabi SAW. Jauhi Bid’ah! Setahu Jusoh, tak ada perintah pun suruh manusia kenal Allah, apatah lagi nak kena buat kajian khusus untuk menyiasat sifat-sifat Allah. Nak tahu Allah duduk di mana, ada tempat ke tak ada tempat..... Tak ada! Itu bukan urusan manusia. Umat Islam tidak dipertanggungjawabkan untuk itu! Syahadah kita berbunyi, TIADA Tuhan... kecuali Allah! Bukannya aku kenal Tuhan ke tak, Tuhan tak kenal aku, Tuhan dalam diri aku, Aku adalah Tuhan, jisim tak sama dengan jirim, wujud Tuhan bersifat nafsiah, wujud menempel pada zat, wujud dalam erti kata yang wujud walau macam tak wujud membuktikan Allah ada tapi tempat tak ada..... owh, bukan! bukan! Jusoh tak faham tu. Takkan Jusoh nak menganut fahaman yang dia sendiri tak faham buah butir isi ajarannya. Tidak!

Tiba-tiba. Pada satu malam. Rosman call. Ajak keluar minum di resroren Area Seafood depan sekolah Paya Besar dekat dengan trafic light Permatang Badak. Katanya dia bertiga. Ada dua orang sahabat tumpang kereta. Dari Sri Damai. Sekarang on the way. Jusoh kalu sebut ajak keluar makan minum, macam bohsia bila duda kaya ajak nikah, belum habis tanya lagi, setuju terus!

Tapi... dari Sri Damai? Rosman pergi buat apa kampung tu malam-malam? Entah, Jusoh tak tahu sangat tentang kampung yang jaraknya cuma 7 batu dari bandar Kuantan tapi masuk Parlimen Pekan tu. Jusoh pernah masuk sekali dua ke kampung tu pun sebab nak gi makan. Ada kedai makan jual lauk ayam kampung, gulai kawah daging cincang, dan lain-lain. Ya sungguh. Ada macam-macam lauk, jangankan gulai ayam, bahkan goreng itik pun ada! Dengan acar timunnya, telur masinnya, semua ada. Tetapi keadaan kebersihan kedai dan di sekitarnya menyebabkan Jusoh makan saling tak tumpah macam pengantin perempuan, malu-malu dan tak gelojoh langsung.

Ada satu tempat yang signifikan yang menyebabkan ramai orang tahu akan kewujudan satu kampung di Semenanjung Malaysia yang namanya kampung Sri Damai. Kerana di situ terletaknya madrasah Darul Fikri! Sebuah pusat Tahfiz Qur’an. Kalau tak silap Jusoh, mudir di situ ialah ustaz Rosli Jabar, YDP PAS kawasan Kuantan. Dalam Pilihanraya 2008, dia bertanding DUN Tanjung Lumpur. Kalah tipis. Tipis sungguh-sungguh. Beberapa ratus je. Kalaulah tidak kerana ada manusia yang jadi hantu mengundi lebih dari sekali di pusat undi yang berlainan, agaknya dah lama ustaz Rosli Jabar dapat jadi wakil rakyat!

Rupanya masa Jusoh sampai, Rosman belum sampai. Tadi kata on the way, ceh! Rupanya masih kat Sri Damai! Mek Siam mari ambik odar dengan muka sipu-sipu, “minum gapo abe!”

“Buat teh o, deh!”

“Make...?”

“Takpo, make biar dulu..!”

“Bakpo, tok ser make ko? hi hik..!”

“Dok eih, kejap agi kito mitok ah... tunggu saing mmettar!” Suara Jusoh lebih lembut dari bingka ubi. Anak dara warga Thailand itu senyum... ish, manis macam nekbat sira! Nampak ikhlas sungguh!

“Saing hok rajin mari make sekali ngan abe tu ko?”

“Hor, jo lo ah tu... bakpo, awak minat ke dio ko?”

“Hi hiik, mano ado...! Kito tok ser dah eih... serik kakloh dah... ore jate buke buleh cayo! Semo serupo jah....!”

“Anok sehat ko?”

“Anok? Hiish..! Ha haa..! abe ni mengado... ore tak nikah lagi lah, nak ado anok mano?”

“Oowh... bakpo tak nikah nyo? rugi ah ore comei nikah lambat...! pokwo duduk mano lo ning?”

“Hiik..! takdok pokwo pun... dulu saya pernah kahwin, tapi takdok anak...!”

“Bakpo cerai?”

“Uh, susah ah bang, nikah dengan tok laki ore... jenis kecek belawok... mulo tu yo royat kato kito hok nombor duo, lepas nikah baru tahu kito bini nombor tigo dah! Lepas nikah ngan kito tu, dengar cerito nikah pulak sore lagi dengan hok nombor empat. Baso jate tak ppakka... gilo bbinning rama! Bini sampai empat ore nak wat gapo dio? Baso ore tuo tak kadar ko diri. Padahal dio tu, kalu nak nyakul tanah, pege cok pun tak larat....!”

Jusoh meneguk air liur. Tak tahu untuk kali yang ke berapa. Mintak teh o entah bila nak dapat. Yang tukang ambik order pun masih duk berbalas pantun dengan Jusoh! Mujur Tuhan jadikan manusia ni ada air liur dalam mulut. Kalau tak, Jusoh pun tak tahu nak telan apa. Janda lawa yang malang, ataupun janda malang yang lawa tu pakai baju kebaya ketat. Tengok dari jauh nampak macam paramugari kapalterbang sikit-sikit. Dua bungkus nasi lemak atas meja sangat menunjal pandangan mata Jusoh. Teringat pantun orang dulu-dulu :

Sakit kaki terpijak jeruju
Jeruju berada di dalam paya
Sakit hati melihat susu
Susu berada dalam kebaya

Mungkin ada ceramah Pas di Darul Fikri. Rosman pergi dengar ceramah. Agaknyalah! Tapi, ish, Rosman bukan sokong Pas pun! Ceramah kat sebelah rumah dia pun dia tutup pintu, takkan nak bersusah payah pergi jauh-jauh dalam gelap jalan sempit semata-mata nak dengar ceramah?

Tak mungkin Rosman pergi Darul Fikri. Tapi dia dari mana? Sorang kawan baik Jusoh pernah buat projek bela kambing di Sri Damai. Tapi nak kata Rosman pergi situ pun, tak masuk akal langsung! Tak ada pasal pulak Rosman nak pergi masuk kandang kambing malam-malam buta, nak buat apa? Kambing pun tak nak jumpa Rosman masa gelap-gelap gini. Banyak lagi kerja lain nak buat!

Oooowhh..! Jusoh baru ingat. Dulu pernah ada orang kabo. Di kampung Sri Damai ada satu surau yang... yang... yang... ala ala latuk..! ala ala latuk! Tempat puak-puak tareqat ratib kuat dalam gelap sampai bergegar suaru-balai! oh mungkinkah... oh Rosman..! oh tidaaak!

Rosman parking kereta. Memang betul dia mari tiga orang. Rosman pakai kopiah muncung tajam atas, baju melayu labuh kat lutut, dan kain pelikat. Tak pernah pulak sebelum ni nampak Rosman pakai baju fesyen gini. Memang nampak tak hensem langsung! Sorang kawan dia pakai kopiah tajam macam Rosman, tapi berselirat sekali serban berbelit atas bahu. Nama Pian. Sorang lagi yang pakai serban sama besar dengan bakul namanya Suhaimi.

Aik! Rosman macam saja nak perangkap Jusoh je. Macam dah plan sengaja bawak geng untuk nak attack Jusoh je. Nak ajak Jusoh bahas ke? Nak dakwah Jusoh? Nak brain wash Jusoh? Nak betulkan akidah Jusoh? Nak bagitahu Jusoh jangan pegang akidah sesat? Nak bagitahu Jusoh jangan ikut sunnah, takut jadi wahabi? Nak bagitahu Muhammad Abdul Wahab tu kafir, sebab dia larang orang sembah kubur?

Ikut pandai mu lah Semang! Bawaklah mu nak bawak ramai mana pun! Dua orang ke, tiga ke, lapan ke... Jusoh tak hairan langsung! Mu jangan kira bodoh mu je, mu ingat Jusoh tak bodoh untuk nak layan bahas benda-benda gini? Jatuh pada malam ni, waktu ini, di tempat ini, Jusoh nak kabo, mari lah sepuluh orang pun, Jusoh akan lawan! Nak sangat bahas, sila....!

Pian bertubuh kurus cikeding. Banyak tulang pada daging. Muka agak keruh. Tapi ada setompok hitam kat dahi. Tak tahulah kalau-kalau itu memang kesan bekas sujud, atau dia sengaja tenyeh dahi kat sejadah, sebab orang lain solat pun ada sujud jugak, tak ada pulak sampai berparut dahi!

Suhaimi tubuh besar. Nampak dia melangkah dari tepi, sebijik macam almari baju tengah berjalan. Masa bersalam dengan Jusoh, terasa tapak tangan dia macam pelapik tiang rumah. Lengan dia... ingat kalau sekali dia bagi back hand kat anjing, senang-senang je member tu tak boleh menyalak tiga empat hari. Cuti sakit.

Rosman duduk sebelah Jusoh. Mengadap Pian di depan. Nampak muka Pian serabut dan tak ada seri. Gaya macam tok bomoh pakar ilmu pengasih dan ayat penunduk yang bini sendiri lari ikut orang lain. Suhaimi yang montel duduk di sebelah Pian. Nampak perutnya selonggok macam guni beras siam. Jusoh perasan yang Suhaimi macam ada tanya sesuatu kepada Rosman, tapi dengan isyarat kening. Dan dari sisi, Jusoh perasan yang Rosman ada kabo sesuatu dengan isyarat bibir, sebab mata Pian pun duk jeling lama ke Rosman. Tapi suara tak keluar. Macam tv rosak masuk cicak. Gambar ada, suara tak bunyi. Puak-puak ni bercakap pakai bahasa isyarat rupanya! Isyarat muka je, tangan pun tak pakai. Cuma pakai kening, bijik mata, lubang hidung, bibir, bulu mata, dan bulu hidung!

“Kami dari surau Sri Damai tadi... ada program sikit. Ya lah, sekarang dah masuk bulan Maulud, tak lama lagi hari Maulud Nabi. Kami ada buat zikir sikit, lepas tu tengah berlatih berzanji....!” Pian memulakan bicara dengan topik yang tak menarik langsung bagi Jusoh! Info yang tak penting dan tak berfaedah langsung!

“Iyee...? Hari maulud nabi? Bukan maulud lah, maulid! Maulud tu bayi yang baru lahir, maulid tu hari kelahiran...! Eh, antum nak makan apa? Mintak ah...!” sempat jugak Jusoh pukul curi.

“Anta tak ikut program mana-mana untuk sambut hari maulid nabi ke?” Pian sempat cuit Suhaimi, terus meluru masuk gelanggang.

“Tak ada!” Jusoh jawab dengan selamba. Mata duk jeling janda muda pelayan restoren. Ya lah, daripada tengok Pian dengan Suhaimi depan muka, bukan lawa pun.

“Hish, ruginya....!” Suhaimi buat-buat suspen.

“Rugi pasal apa?” Jusoh tanya sambil tergelak.

“Inilah masa kita nak menzahirkan kecintaan kita kepada Rasul, nak memuliakan Rasul, nak menunjukkan kasih kita pada Rasul... nanti di Padang Masyar kita mengharapkan Syafaat Rasul... kalau kita tak cintakan Rasul, bagaimana kita nak dapat syafaat...?”

“Ana tak sambut hari maulid, bukan bermakna ana tak kasihkan Rasul! Hanya Allah yang tahu betapa kasihnya ana kepada Nabi SAW dan semua sahabat baginda. Tapi ana tak perlu nak tunjukkan kecintaan itu dengan berzanji marhaban dan berarak atas jalan pada hari jadi Nabi! Nabi Muhammad SAW sendiri pun tak pernah sambut hari jadi, dan baginda tak pernah suruh pun sahabat sambut hari maulid! Padahal sahabat cintakan Nabi lebih sejuta kali kalu nak bandingkan dengan ana ni, dan sahabat pun tak pernah suruh tabi’in berarak maulid. Bahkan, di kalangan sahabat dan tabi’in tak ada sorang pun yang reti berzanji marhaban! Ana nak jawab apa, syeikh? Takkan ana nak kata sahabat Nabi semua koman, hari jadi Nabi pun tak berzanji marhaban! Takkan ana nak tunjukkan kononnya ana lah yang lebih sayang Nabi dari sahabat! Nak tunjuk kat sapa?”

Fuh, kalu lah bini dengar Jusoh bercakap masa tu, jenuhlah kena soal siasat dengan Mek Dayang dia ingat Jusoh sebut nama Ana janda mana pulak!

“Dalam acara sambutan hari Maulid, kita pun baca selawat... Nabi bagitahu, sesiapa yang berselawat ke atas baginda dengan sekali selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali...!” Ceh, Pian pulak yang jadi tok katib baca khutbah Jumaat.

“Ya lah, ganjaran selawat tu betul lah... tapi pasal apa kena tunggu hari maulid baru nak baca selawat? Ana selawat tiap-tiap hari, bukannya setahun sekali masa hari jadi...!”

“Anta jangan ikut perangai puak wahabi dah lah!” Suhaimi mula tunjuk bekeng.

“Perangai puak wahabi? Siapa puak wahabi? Perangai dia orang macam mana? Tolong cerita sikit syeikh..!”

Ambik nak! Jangan kira bekeng Suhaimi je. Jusoh tu rimau, bukannya tikus! Walaupun tubuh Suhaimi macam beruang, dia ingat Jusoh takut ke?

“Puak yang akidah Allah atas langit! Itulah wahabi! Puak-puak sesat! Mereka ni memang benci kepada Nabi dan Ahlul Bait! Nabi dah janji, puak ni di akhirat nanti tempat mereka adalah neraka jahannam!” Suhaimi mula naik syeh. Nampak jari dia yang macam popiah garing tu menggeletar. Panas ah tu!

“Helo Syeikh...! Jari ketar tu, pasal apa? Ha ha ha! Kalu ya pun sayang ke Nabi, biar gak cerdik sikit kita ni! Jangan duk merapu tak tentu hala sangat gak! Sekarang mu tahu dok, Nabi dan Sahabat tak pernah sambut hari Maulid Nabi? Aku nak tanya yang tu dulu, mu tahu ke dok?”

“Memang Nabi tak pernah sambut maulid, tapi takkan.....!”

“Dok! Dok! Mu jawab dulu soalan ni, mu tahu atau tidak....? Kalu tak tahu aku nak cerita ni...!”

Rosman terdiam. Dia pandang Suhaimi sambil kepala mengangguk-ngangguk kecil. Mungkin nak bagitahu Suhaimi, aku kata dah! Jusoh ni wahabi. Jenis tak takut kat orang. Mulut lazer boleh tahan. Kalu wat lebih kurang, padan kena smash je!

“Aku tahu, memang Nabi tak pernah sambut maulid... tapi...!”

“Ok soalan aku seterusnya... sesuatu amalan yang bukan daripada Nabi, dan sahabat pun tak pernah buat, amalan itu tidak boleh dikatakan Sunnah...! Mu setuju tak?”

“Tak setuju...!”

“Sebab apa? Adakah mu ingat selain dari Sunnah Nabi, ada juga Sunnah lain yang bukan dari Nabi? Sunnah siapa? Mu sambut Maulid tiap-tiap tahun ikut Sunnah siapa? Ini soal ibadat, mu ambik agama daripada siapa?”

“Puak wahabi, kalau dia tak nak sambut maulid nabi, itu dia punya pasal! Tapi janganlah sampai membid’ahkan orang! Itu yang jadi masalah...!”

“Jadi masalah? Masalah ke siapa? Sebab tu aku kata tadi, cakap biarlah cerdik sikit! Sekarang aku nak tanya, mu sambut Maulid tiap-tiap tahun, walaupun mu sendiri mengaku Nabi tak buat, tapi mu kata itu sunnah jugak....? Okey! Tapi kalau ada orang lain yang berpendapat amalan itu bukan Sunnah, apa yang jadi ke masalahnya? Aku pegang pada pendapat, kalu bukan sunnah, maknanya itu bid’ah! Sebab sunnah lawannya bid’ah! Kalau ibadat itu bukan daripada Nabi atau sahabat, otomatik itu bukan sunnah. Kalu bukan sunnah, otomatik itu bid’ah! Tak ada amalan yang bukan dari Nabi atau sahabat, tapi sunnah jugak! Tak ada! Apa yang jadi masalah besarnya mu sambut maulid selama ni? Ada orang wahabi membid’ahkan mu? Macam mana cara dia membid’ahkan...? Ada dia orang gi melolong depan batang hidung mu kata, BID’AH!!! Gitu? Masalah apa Syeikh..! Kalu itu yang jadi masalah, maka aku nak kabo, masalah ni bukan baru tahun lepas timbul, sejak zaman sahabat lagi besar masalah! Tak ada sorang pun sahabat yang sambut ulangtahun hari lahir Nabi! Mu tak faham ke apa maknanya tu? Maknanya, para sahabat tak ambik tahu pun Nabi lahir berapa haribulan! Zaman tu mana ada kalendar kuda macam sekarang! Takdok! Mu pandai-pandai berarak berzanji marhaban pada 12 rabi’ul awwal, mu mana tahu? Orang Arab sendiri, pakar sejarah sendiri, pun masih berbeza pendapat tentang tarikh sebenar Nabi lahir. Ada yang kata 9 rabi’ulawwal, ada yang kata 12 haribulan, dan banyak lagi tarikh lain. Maknanya apa? Maknanya tarikh sebenar Nabi lahir bukan penting pun! Yang puak-puak mu sampai ketar tangan marah sangat bila puak wahabi kata sambut hari jadi Nabi tu bid’ah, pasal apa?

“Menghukum bid’ah terhadap amalan yang kita orang melayu dah amalkan turun-temurun, itu satu tuduhan yang berat tu sahabat...!” Ceh, Suhaimi dah lembik, Pian pulak yang cari penyakit nak kena belasah.

“Kalau tak suka orang kata bid’ah, tak payah lah buat!! Yang bermatian-matian nak pertahankan perayaan hari maulid tu pasal apa? Bukan ada apa pun, setakat nyanyi nasyid lagu berzanji dan marhaban... kalu mu selawat tiap-tiap hari jauh lebih baik dari mu selawat syifa’ berjemaah setahun sekali, tahu dok? Puak-puak mu ni kan, kena gi mengaji dulu apa makna bid’ah menurut ilmu syar’i! Kalu tak, tak payah cakap banyak lah, buat malu orang Melayu je! Korang tak pernah fikir ke dengan kepala hotak... kalau sambut maulid tu sunnah nabi, pasal apa orang Arab tak raya? Mu semua ni, baca Arab pun tunggang langgang, mu rasa mu lebih faham Qur’an Sunnah dari orang Arab ke? Sedarlah diri tu sikit..!!”

Suhaimi seluk poket. Ambik gas ubat lelah. Sedut. Nampak segar balik. Laa, ada asma rupanya! Jusoh pun kendur sikit. Kalu bagi berat sangat kang, ada pulak yang mati atas meja makan tak sempat raya hari maulid kang! Maklumlah, orang ada penyakit lelah ni, pelepah pisang jatuh pun boleh semput. Ada hati nak bahas dengan Jusoh pasal maulid!

Tiba-tiba... Jusoh terkanjal! Rupanya dia terkejut sebab handphone vibrate bergetar dalam poket. Ada call masuk.

“Jack, mu kat mana?”

“Aku dah sampai kat trafic light, bai..!”

Sejak Jusoh ajar Jack baca Qur’an masa di ITM 23 tahun yang lalu, Jack mula panggil ‘lobai’ ke Jusoh. Maksudnya lebai. Bila dimanjakan, jadi ‘bai’! Sekarang ramai budak nogori yang guna istilah ‘bai’ bila bercakap dengan orang. Tak tahu lah dia orang ikut Jack atau Jack yang ikut dia orang. Budak India yang cakap sama dia orang pun, guna ‘bai’ jugak! Itu bai benggali, bukan lobai!

“Trafic light mana pulak! Mana ada trafic light kat Kuantan..! Hahaha.. Trafic light mana? Tak ada sign board ke, acu mu baca, dia tulis apa?”

“Ada! Dia tulis ‘Awas Pandu Perlahan’...! Hahaha..! Aku kat Taman Tas lah...! bai, aku tidur rumah kau malam ni!”

“Mari sini dulu, aku kat luar ni, nanti sampai trafic light kat masjid, mu buat u-turn, mu pandang belah kiri. Nampak restoren Area. Aku tengah makan kat sini. Mu masuk ikut simpang Taman Guru depan nun... cepat sikit! Ada cerita sedap ni...!”

“Apa cerita, bai...? Bagi lah hint sikit...!”

“Mu kena tolong aku. Aku kena basuh dengan geng tareqat ratib kuat dalam gelap ni! Sebab aku tak nak sambut maulid nabi! Mari cepat sikit! Hahaha...!”

“Hahaha...! kau yang kena basuh atau kau yang basuh dia orang, bai? Aku macam tak caya je, wahabi macam kau kena basuh dengan geng tareqat... Hehehe..!”

“Aku wahabi kecik je. Mu kang wahabi muktabar..! ”

“Ok, kejap lagi aku sampai!”

Klik! Rosman, Pian, dan Suhaimi terlopong. Boleh tahan celupar juga mulut Jusoh. Tak tapis langsung. Sekejap lagi Jack pulak nak sampai! Dengar cara bercakap, Jack lebih kuat kewahabiannya dari Jusoh. Apa kisah selanjutnya? Akan diceritakan dalam siri akan datang.

Demikian adanya.
Bersambung...

No comments:

Post a Comment