Tuesday, May 31, 2011

Hati si Jusoh: episod 16

Wahabi Tua

Jusoh duduk menengung sambil menopang dagu atas beranda luar rumah. Segumpal awan hitam yang tadinya mula meluruhkan air setitik demi setitik demi setitik demi setitik... kini hujan telah semakin lebat. Walaupun tidaklah lebat berderohong macam dua hari lepas, tapi kalaulah hujan mencurah seperti ini selama tujuh hari tujuh malam di Afrika, sudah cukup untuk membuatkan tiga empat puluh orang penduduk Sudan mati terkejut atau penduduk Somalia mati kesejukan. Sesekali percikan tempias air hujan yang dihembus angin menampar muka, menjadikan Jusoh sejuk mengoko hingga berketap-ketap gigi atas berlaga dengan gigi bawah. Tapak tangan Jusoh terasa kebas dan kecut-berut. Terasa sejuk macam mayat anak kucing yang gugur syahid sebab tersilap landing dalam peti sejuk.

Rosman belum sampai. Janji nak datang rumah Jusoh. Musim hujan gini berasa teringat nak makan ubi kayu rebus cicah nyor parut, dengan air kopi o... kalau setakat nak makan ubi kayu atau keledek atau keladi rebus, bukanlah satu masalah yang rumit bagi Jusoh. Kalau dicabut pokok tepi pagar belakang rumah saja pun, kalau kumpul boleh muat penuh satu kereta. Tapi kereta tolak lah!

Rosman tak sampai lagi. Tadi Jusoh call, katanya on the way. Tak tahulah dah sampai mana. Jusoh faham sangat perangai Rosman. Kalu cakap dalam telefon kuat sangat bedo’ohnya... Kalau masih dalam jamban kat rumah pun kata on the way jugak! Pernah sekali Rosman suruh Jusoh tunggu di restoren Sitiman kat Galing, nak makan mee jawa. Katanya dia ada di Air Putih, sekejap lagi sampai.... tunggu punya tunggu, kalau kerusi tempat Jusoh duduk tu berbaja, agaknya senang-senang je punggung Jusoh tumbuh akar...! Padahal jarak Air Putih dengan Jalan Haji Ahmad tu, bukannya jauh sangat, sepelaung je, kalau berlari pun sampai! Rupa-rupanya Rosman masih berada di Air Putih Kemaman, bukan Air Putih Kuantan!

Hujan dah reda sikit, tapi masih berberai-berai. Dua tiga ekor ayam tengah mandi hujan, sambil main-main speed trap tangkap kelkatu yang melintas. Awan gelap masih menutup langit. Suasana sebegini mudah saja mengimbau dan menggamit kenangan Jusoh masa zaman kecik-kecik dulu... zaman duduk rumah kayu atap zink. Kalau hujan lebat, bunyi bising bukan main, rudung-radang-berapak sekali! Nak bercakap dalam rumah pun kena separuh melaung. Nak kena jaga api pelita pun satu hal jugak... api meliuk-lintuk sokmo kena tiup dek angin yang masuk ikut celah lubang dinding.... tapi paling seronok masa nak mandi. Maklumlah air dalam telaga sikit lagi nak penuh. Mudah sungguh. Tak payah nak hulur dan karai tali timba panjang-panjang, pakai cebok terus dengan tangan je...! Satu lagi yang Jusoh paling ingat ialah acara sauk ikan dalam baruh. Pakai seludang nyor, tak kira ikan sepat, haruan, puyu, semua rembat. Sampaikan ikan kecik-kecik yang ada tanda putih atas kepala... ikan kepala putih! Itupun Jusoh pernah sauk, kumpul, dan jemur nak buat ikan bilis...!

Rosman tak nampak batang hidung lagi.

Ben Ali dan big mama telah diusir oleh rakyat Tunisia. Rakyat dah muak dengan penyelewengan, rasuah, dan salah guna kuasa oleh pemimpin. Bukan setakat suruh letak jawatan, tapi kena hambat terus keluar dari negara Tunisia! Rakyat Mesir pula tengah mengamuk, mendesak Husni Mubarak keluar dari bumi Egypt! Rakyat meluat dengan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah yang berleluasa....

Banjir di Johor belum surut. Lebih 50 ribu orang kena pindah. Pilihanraya Kecil DUN Tenang baru berakhir. Masa hari mengundi, kereta yang parking dalam pekan Labis tenggelam nampak bumbung. Jusoh mengikuti perkembangan itu dari jauh. Manalah tahu kot-kot tindakan rakyat Tunisia dan Mesir itu memberi inspirasi kepada pengundi DUN Tenang... Maklumlah, ketua parti kerajaan pun lebih kurang Husni Mubarak juga. Bahkan lebih hebat lagi. Bini ketua parti kerajaan pun lebih handal dari bini Ben Ali. Berlaku pulak banjir besar masa hari mengundi. Ish, macam nak bagi ingat kepada pengundi Tenang supaya jangan pilih pemimpin yang melampaui batas...!

Rupa-rupanya... Jusoh terlupa, padahal begitulah sokmo-sokmo! Orang Johor berfikir tidak sama dengan apa yang Jusoh fikir. Orang Johor bukan tidak fikir pasal banjir. Bukan setakat fikir, mereka sendiri yang mengharung air banjir nak pergi mengundi. Orang Johor juga sedar banjir itu sebagai peringatan dari Tuhan. Mereka tahu! Tetapi... mereka mungkin melihat banjir besar itu sebagai amaran Allah supaya jangan undi PAS! Orang Johor berfikiran mungkin banjir yang kerap melanda negeri Kelantan dan Kedah itu adalah bala Allah yang ditimpakan kerana penduduk di negeri tersebut kuat sokong PAS! Dulu masa banjir besar di Kuantan pun, Menteri Besar Pahang kata itu bala dari Allah disebabkan Perumahan Sungai Isap itu lubuk PAS!

Hujan lebat semula. Kelibat kereta Rosman belum ternampak. Jusoh terus mengelamun. Yang dikatakan Ayat Allah itu ada dua. Satu yang bertulis dan satu lagi yang tidak bertulis. Yang bertulis itulah dinamakan Wahyu. Manakala yang tidak bertulis itu ialah seperti alam cakerawala, gunung ganang, ombak laut, hutan rimba, bukit bukau, semak samun, pulau-pulau dan sungai-sungai. Apabila Ayat Allah yang bertulis sudah tidak dipedulikan orang, takut kalau-kalau Ayat Allah yang tidak bertulis itu pula yang akan bersuara!

Apabila Wahyu Allah sekadar untuk dibuat tanding-tandingan, dimusabaqahkan untuk menentukan siapa paling berdengung, atau Ayat Qur’an sekadar untuk digunakan sebagai jampi serapah dalam sihir dan perubatan sahaja, atau sekadar dihafal Ayat-Ayat tertentu sahaja untuk amalan petua itu dan ini begitu dan begini... kalau nak muka lawa berseri semua orang suka tengok, baca ayat sekian-sekian 3 kali masa sikat rambut depan cermin... kalau nak biar nampak muda sokmo tak tua-tua sampai bila-bila, baca ayat sekian-sekian 7 kali masa nak tidur dan lepas bangun tidur... kalau nak murah rezeki, amal ayat ni. Kalau nak cepat kaya, amal ayat tu. Kalau nak lambat kaya, amal ayat nun. Kalau tak nak kaya, pun ada ayat jugak....! Hanya sekadar itu. Ayat Seribu Dinar diukir warna emas, buat frame cantik-cantik, digantung dalam kedai, tujuannya empat dalam satu... Yang pertama, supaya orang ramai tahu itu kedai orang melayu, confirm tak ada daging babi... Yang kedua, untuk buat perhiasan, sebab tulisan tu cantik, harga pun bukan murah... Yang ketiga, moga-moga dapat pahala, sebab kreatif dan ada idea untuk mencantikkan ayat Qur’an boleh buat perhiasan.... Yang keempat, Ayat tu ada power, ayat murah rezeki, kalau gantung Ayat tu dalam restoren, masakan tak sedap pun orang rasa macam sedap...! Itu belum termasuk lagi Surah Yasin, Surah empat Qul.... lain pula khasiatnya.

Begitulah tanggapan orang Melayu terhadap al-Qur’an. Ayat Allah yang bertulis sekadar dijadikan sebagai petua dan azimat. Dalam masa yang sama, ramai yang masih bergelumang dengan syirik, khurafat, tahyul, dan maksiat.... Bila keadaan sudah melampau, bila Ayat Allah yang bertulis itu diperlakukan begitu rupa, maka giliran Ayat Allah yang tidak bertulis pula akan bertindak, untuk memberi peringatan dan pengajaran kepada manusia. Itulah yang berlakunya gempa bumi, angin ribut, letupan gunung berapi, tanah runtuh, sunami, banjir, dan sebagainya.... Agaknyalah!

Seingat Jusoh, dulu pernah berlaku, kalau tak silap tahun 1993, tanah runtuh di Genting Highland! Ramai jugak yang mati. Kereta tengah jem beratur nak naik ke atas, tiba-tiba datang kepala air bercampur dengan lumpur, batang pokok, dan bongkah batu, terus rempuh dan hanyutkan semua kereta yang sedang merayap dengan penuh kesabaran itu, borong dengan orang-orang sekali terjun masuk gaung kat terowong Genting Sempah. Gaung tu nak kata dalam, taklah dalam mana, kalau duduk kat atas, nampak orang kat bawah sama besar dengan kepala mancis je...

Ya lah, bukan semua orang yang panjat Genting Highland tu nak pergi buat maksiat... bukan semuanya nak pergi main judi kat kasino... ada yang pergi berbulan madu dengan makwe, ada yang bawak anak-anak untuk bercuti dan bersuka ria, main roller coaster dalam air, naik keretapi yang konar guling-bating... dan mungkin ada juga yang saja nak singgah solat Zohor kat atas tu...! Bukan semua maksiat, masjid pun ada... Judi di kasino memanglah haram untuk orang melayu, tapi kat atas tu pun banyak juga judi yang halal... orang melayu pun boleh main, tak kena tangkap punya...! Kanak-kanak bawah umur pun boleh main. Tak pakai duit pun, cuma guna kupon je. Kalau nak dapatkan kupon tu, senang je... kena beli kat kaunter. Ceh!

Ada banyak jenis game pulak tu. Semua senang-senang. Setiap kali kena, dapat satu tiket. Kalau kumpul tiket tu banyak-banyak, nanti boleh tukar di kaunter hadiah... Wow! Boleh pilih hadiah apa kita nak.... Ada sorang kawan Jusoh, bawak famili ke Genting... bawak anak masuk tempat game, konon nak tengok-tengok.... lepas tu main jugaklah sekejap, nak try, dalam setengah jam, habis jugak RM138.00...! Beratur nak tukar hadiah dekat satu jam... tengok-tengok dapat tisu 2 kotak! Ceh!

Masa kejadian kepala air dan tanah runtuh di jalan naik bukit menuju ke Genting Highland itu, maka bukan main sibuk hero-hero melayu berebut pakat keluar TV, tak cukup mulut nak ulas, kalau boleh dengan tangan dan kaki sekali pun nak bercakap, konon wakil kementerian itu, wakil jabatan ini, wakil persatuan itu, wakil pertubuhan ini, pihak NGO jangan ceritalah.. semua marah-marah dan gesa kerajaan siasat punca kejadian. Semua menyalahkan pihak Genting. Kononnya sebab penebangan hutan yang berleluasa, bukit ditarah ikut suka hati, pembangunan yang pesat dan tidak seimbang di atas bukit, menyebabkan sistem ekologi terganggu, alam sekitar tidak dipelihara... Habis semua dengan JKR, JBA, JPS, Bomba, Alam Sekitar, Polis, Tentera... semua jadi sibuk nak siasat punca kejadian. Sampaikan JKKK pun tumpang buat-buat sibuk, manalah tahu kot-kot ada basi-basi duit peruntukan, boleh gak kelepek... Bahkan BPR pun kena buat siasatan jugak, manalah tahu kot-kot ada orang bagi rasuah kepada pokok-pokok dan batu-batan tu suruh tumbang dan bergolek....

Last sekali baru keluar interview dengan Lim Goh Tong, taukeh Genting. Dah semua orang duk salahkan dia, tok pek ni pun jawab : “Itu semua Tuhan Alah punya kerja, apa mau bising-bising? You tengok bukit sana, mengapa tak ada runtuh? Sebab Tuhan Alah tak mahu kasi runtuh, dia tadak runtuh... ini bukit, Tuhan Alah mahu kasi runtuh, dia runtuh lah..!!” Ambik nak!

Padahal... bila masa gemulah Goh Tong ni belajar Sifat 20 nya? Jangankan nak hafal, nak eja Sifat 20 pun tak reti... tapi, at least sekurang-kurangnya tok pek ni tahu akan kekuasaan Allah. Itu fitrah manusia. Bila orang setara Goh Tong pun percaya akan Kuasa Allah, sudah tentu dia telah percaya bahawa Allah itu Ada, Berkuasa, Melihat, Mendengar.... yang ni yang orang melayu duk hafal sampai 20 tahun tak selesai lagi ni... Wujud ertinya Ada, lawannya Tiada... apa makna ada, adapun ada itu ialah adanya Allah itu atas sifat Nafsiah, iaitu dari zat itu sendiri, bukan sifat yang menumpang padanya. Wujud itu bersifat Nafsiah kerana ia tidak menunjukkan makna yang menumpang pada diri zat. Sifat ini menunjukkan kepada zatnya, bukan menunjukkan kepada perkara yang menumpang pada zat. Wujud itu bukan merupakan sifat yang menumpang atau menempel pada Zat Allah akan tetapi Zat Allah itu dengan sendirinya merupakan bukti kewujudan Allah. Tetapi Zat Allah dengan Wujud Allah tidak dapat dipisahkan. Berbeza dengan Sifat Ma'ani seperti Ilmu, kerana sifat ini merupakan sifat yang menempel pada Zat Allah. Ertinya sifat Ilmu itu terpisah dengan Zat Allah. Sebab Allah mengetahui sesuatu dengan Ilmu-Nya, bukan dengan Zat-Nya. Hanya sifat `wujud' sahaja yang termasuk dalam Sifat Nafsiah...

Itu baru Wujud tu... baru sikit, tak habis lagi... itu belum masuk bab berjisim tak berjirim, berjirim tak ada zat lagi tu... belum masuk bab ada lawannya tiada, sampai retak tempurung kepala nak fahamkan apa makna tiada..! Tok Imam yang mengajar Sifat 20 seminggu sekali kat surau pun, dalam bulan pertama tu padan menggelupur dengan sifat wujud ada lawan tiada berjirim tak berjisim tapi ada zat... apa tak geleparnya, tok imam sendiri pun pening tak berapa nak faham, sebab tak pernah belajar Fizik pun...! masuk bulan kedua, tok Imam sakit lutut lah, kena berulang balik rumah bini baru kat Pekan lah... motorsikal rosaklah, lampu proton saga keceng sebelah lah... kuliah Sifat 20 ditangguhkan... masuk bulan kelima, ada ganti ustaz lain untuk sementara, start balik pelajaran wujud ertinya ada dari awal... baru ngajar 4 kali, belum masuk bab Qidam ertinya Sedia, ustaz ganti tu tak boleh mari dah, jadual ketat sangat... tangguh lagi.... lepas tiga bulan, tok imam pun sihat, boleh sambung balik kuliah Sifat 20... start dari awal balik, Wujud ertinya Ada...!

Begitulah orang Melayu. Begitulah! Di Felda Tenang. Di Pekan Labis. Di daerah Segamat. Di negeri Johor. Di Melaka. Di Negeri Sembilan. Di Pahang. Di Kuala Berang. Datanglah banjir besar mana pun, mari lah ombak sunami bergulung besar mana pun, meletuplah gunung berapi besar mana pun, runtuhlah bukit besar mana nak runtuh pun.... itu semua bencana alam! Itu semua salah pemaju... Itu semua salah taukeh highway... itu semua salah kerajaan Pakatan Rakyat...! Bila berlaku malapetaka, orang Melayu yang jadi juara Sifat 20 selalu lemas untuk mencari punca dan sebab-musabab kejadian, semata-mata untuk menidakkan hakikat bahawa itu mungkin pengajaran atau peringatan dari Allah atas kezaliman dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin.

Marilah bah besar mana pun... Itu hanya peringatan supaya kena undi parti kerajaan, jangan nak gatal-gatal undi parti pembangkang! Dun Tenang tu dalam Parlimen Labis. Ketua parti kerajaan di Labis itu, juga menjadi ketua parti peringkat negeri Johor dan seluruh Malaysia. Hujanlah nak hujan lebat setara mana pun, itu tak ada kena-mengena dengan sokongan orang melayu kepada parti yang ketuanya sekelas dengan Ariel Peterpan dan Luna Maya, kalau pun tidak mencapai taraf Peter North dan Asia Carera... pelakun filem lucah yang terkenal di seluruh dunia! At least paling tidak pun Ariel tu seorang penyanyi... kena penjara 42 bulan... itu pun bukan main marah umat Islam di Indonesia kerana hukuman tu ringan sangat... ada yang baling telur pada kereta yang bawak Ariel ke mahkamah... tu artis tu! Kena penjara 3 tahun setengah pun tak padan lagi...

Di Malaysia.....? Seorang menteri! Seorang pemimpin politik! Jadi ketua parti! Buat kerja yang sama dengan Ariel dan Cut Tari... tak kena hukum apa-apa! Bahkan... bila diadakan pilihanraya kecil, parti yang dipimpin oleh seorang pelakun blue filem menang besar! Makin lebat hujan, makin kuat suara guruh petir, makin melimpah air sungai, makin banyak kereta tenggelam... sokongan orang melayu kepada parti yg berketuakan pelakun video lucah makin kuat...!!! Inilah satu kepelikan unik yang dimiliki oleh orang Malaysia.

Rosman terus membelokkan kereta masuk ke dalam pagar yang pintunya sedia ternganga, sengaja dibukakan oleh Jusoh. Ubi kayu dan kopi o dah hampir sejuk.

“Kah kah kah...! PAS kalah teruk di Tenang, padan muka..! Hahaha...!” Rosman cuba bermain api dalam hujan. Mujur tak tersembur ubi kayu dalam mulut.

“Yang mu marah sangat ke PAS tu, pasal apa?”

“Aku bukan marah... dulu memang aku penyokong kuat PAS.... tapi....!”

“Dok sah lebong lah Semang...! Aku kenal mak ayah mu, memang keluarga mu semua orang sona...!”

“Memang betul... dulu mak ayah aku orang UMNO, tapi sekarang dah masuk PAS..! Aku memang tak pernah masuk UMNO pun... sejak dulu memang aku sokong PAS.... tapi bila PAS bergabung dengan DAP dan PKR, setuju nak lantik Nuar Brahim jadi PM pulak tu, aku rasa perjuangan PAS dah tersasar dari landasan! Selagi si wahabi tua tu jadi Mursyidul Am PAS, memang banyak yang mengarut... sampaikan sanggup menyokong majalah kristian gunakan nama Allah...! Aku tahu sebab apa mu sokong PAS, Soh...! Sebab kepimpinan PAS telah dikuasai oleh wahabi! Nik Aziz, Haji Hadi, semua tu wahabi tu!!”

Kalaulah telinga manusia dibuat dari lilin, agaknya cuping telinga Jusoh dah cair dan luruh setongkol-setongkol dah, sebab panas sangat.

“Jadi, sekarang mu sokong UMNO, semata-mata sebab benci ke wahabi?”

“Dok juga... sistem demokrasi ni semua mengarut, sistem ciptaan orang kafir. Sepatutnya orang Islam wajib kembali kepada sistem khilafah dengan mewujudkan Daulah Islamiyah, menjalani kehidupan seperti masyarakat Islam pada zaman Khulafa ar-Rasyidin... mu pernah dengar Hizbul Tahrir?”

“Pernah dengar je lah... tapi apa benda menatang Hizbul Tahrir tu, sikit haram pun aku dok tahu...! NGO ke, parti politik ke, persatuan bulan sabit merah ke...”

“Ok, mu dengar aku cerita, Soh.........!”

Demikian adanya.
Bersambung..

No comments:

Post a Comment