Friday, May 20, 2011

Hati si Jusoh: episod 14

Tiga vs Dua Puluh?

Dapat kepada Hasan…! (Penonton bersorak riuh damat)... Masih lagi Hasan…! Cocok Hasan….! (Pengulas cemas... hilang suara sekejap)… Hasan Sani kepada Jusoh…!!.... Jusoh menggelicik... Goooool! Goool!!!..... Malaysia berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik…

“Mu kata tak payah belajar Sifat 20, nanti kalu anak kita tanya, Allah tu siapa.... kita nak jawab apa, Soh?”

Kalau lah tidak kerana terkanjal dengan soalan bodo dari Rosman, Jusoh masih lagi hanyut dalam angan-angan yang paling bangang dalam dunia itu. Mereka dalam perjalanan dari Kuantan ke Jerantut. Lalu jalan lama Kuantan–Temerloh…. Seperti adat kebiasaan yang telah diamalkan sejak turun temurun, Jusoh jadi drebar dan Rosman jadi kelindan.

“Jawab je lah... Tuhan! Apa yang susah sangatnya? Nak jawab soalan anak macam tu pun nak kena mengaji sampai lima enam tahun ke?”

Mujur jugak ada soalan lawak yang tak kelakar langsung macam tu dari Rosman, kalau tidak, nescaya Jusoh akan terus tenggelam dalam angan-angannya tadi… agaknya Jusoh dah sampai ke England dah… mungkin tengah lepak sambil minum dan borak-borak dengan Van Persie lepas berlatih... atau barangkali Jusoh dah jadi coach Barcelona tengah melatih Iniesta, Xavi, Puyol, Pique, David Villa, Pedro, Messi, nurse, doktor, dressar....

“Itulah sebabnya kita wajib belajar Sifat 20, Soh...! kalu tidak, sampai bila-bila pun kita tak akan kenal Tuhan...! Macam mana kita nak rasa kebesaran Allah dan merasai hidup bertuhan, kalau kita tak kenal Tuhan? Macam mana kita nak kenal Tuhan kalau kita tak kenal diri sendiri? Macam mana kita nak tahu semua tu kalau kita menolak ajaran Sifat 20? Mu kena tahu, Soh... golongan yang paling ramai sesat pada hari ini ialah puak Mujassimah, iaitu puak yang mengatakan Allah berjisim, dan satu lagi puak Musyabbihah, puak yang mengatakan Allah menyerupai makhluk. Puak Wahabi terang-terang telah menyamakan Allah dengan makhluk! Mu tahu dok... Puak Musyabbihah dan Mujassimah itu adalah KAFIR!!! Mu tak takut ke kalau termasuk dalam puak-puak ni, Jusoh?”

Jusoh geli geleman rasa loya nak muntah bila dengar Rosman mula berfalsafah entah apa-apa tu... bosan! Siap jatuh hukum kafir tu...! Orang Tranung kata, rasa lugar nak jeluak...!

Jalan lengang. Tak banyak kereta yang lalu lalang. Pembinaan lebuhraya oleh wakil rakyat Barisan Nasional benar-benar telah mengubah sikap kedekut pahit rayat Malaysia bertukar menjadi insan yang pemurah hati dan tidak segan-segan menghulurkan duit kepada tukang jaga tol, walaupun derma ikhlas itu disusuli dengan bibir muncong macam patin sungai, paling koman pun muka macam tapai tak cukup ragi, tak berapa nak manis! Barangkali itulah manafaat yang tersirat hasil kebijaksanaan dan hasrat murni Perdana Menteri kesayangan ramai rakyat Malaysia. Jasa isterinya juga tidak terkira besarnya dalam menyumbang ke arah kemajuan negara dan kemakmuran rakyat, selain meningkatkan ekonomi sendiri.

“Mu bercakap biar gak logik sikit, Semang...! Anak cuma tanya siapa Allah je... kata lah anak baru umur 6 tahun... baru sekolah tadika... belajar Qur’an pun baru Iqra’ 3... Habis tinggi pun dia tanya, Allah duduk mana... itu je...! Takkanlah nak jawab kat budak 6 tahun, owh nak rasa hidup bertuhan...! owh kena kenal diri sendiri...! owh siapa yang tak kenal diri sendiri maka dia tak kenal Tuhan...! owh wajib belajar sifat 20...! owh mujassimah...! owh musyabbihah...! wujud ertinya ada lawan tiada...! owh Allah tidak berjisim...! owh apa makna jisim...! owh ayah pun tak tahu...! Aku rasa Lah Mang, kalu jawab gitu ke anak, mahu hilang mata hitam budak tu, mata putih je yang timbul kelip pah kelip pah... pening! Kalu dok pun, anak tanya dalam hati, bapak aku ni betul ke dok betul? Apa benda lah mu, Semang! Masa anak aku sekolah tadika, aku tak dang cerita lagi, dia yang bagitahu dulu, Allah atas langit! Takdok sapa ajar pun... itu fitrah seorang budak-budak, Mang! Islam agama fitrah! Mu nak gi reka falsafah yang bercanggah dengan naluri dan fitrah, untuk apa? Apa tujuan? Apa untung yang mu dapat...? Takdok benda lain dah ke mu nak cerita dalam agama ni?”

Kalau tadinya Rosman rasa bangga sampai hidung kembang kempis susah nak control, tak ubah macam hidung Dato’ tua bila awek muda umur 23 tahun buat-buat puji kereta mercedez dia lawa... tapi kini Rosman tersentak dan giginya pucat bila dengar Jusoh meninggikan suara sambil mentadikakan hujahnya. Rosman terkejut sungguh. Muka pun dah jadi macam Dato’ tua yang baru balik rumah pagi-pagi buta, tiba-tiba ternampak mak datin keluar dari bilik tukang kebun warga Bangladesh sambil memeluk bantal!

“Ini soal akidah, Jusoh... Mana boleh kata Allah duduk atas langit..? Itu sama dengan puak mujassimah, menyamakan Allah dengan makhluk... sebab langit tu makhluk... takkan Allah yang jadikan langit, Allah nak duduk atas langit pulak?”

Jusoh malas nak melayan. Biarlah orang nak kata dia kedekut pun tapi Jusoh tetap nak lalu ikut jalan lama. Dah lama tak lalu. Sebenarnya selama ni Jusoh sendiri pun dah banyak menyumbang untuk menolong memperkayakan tauke highway di Malaysia. Tapi hari ini... barangkali Jusoh nak latih diri untuk mula menjadi seorang yang pandai berjimat cermat. Agaknyalah. Ya lah, kalau lalu highway Pantai Timur, masuk tol Gambang keluar tol Chenor, kena bayar RM9.50, kalau pergi balik dah boleh jimat RM19... kalau 10 kali pergi, RM190... kalau 100 kali, bukan ke RM1,900? Bayangkan kalau 4000 kali..? Senang-senang duit tol tu boleh buat tambang gi Umrah, siap dengan pakej ziarah ke Jordan! Jusoh berkira-kira macam ahli direct selling CNI yang tengah kempen ahli baru untuk melayakkan dia naik pangkat jadi supervisor.

“Dah tu, aku nak kata Tuhan duduk mana....?” Jusoh buat-buat bengong dengan suara yang boring gila...!

“Tuhan ada di mana-mana...!” Jawab Rosman dengan fasih, sambil cari penyakit.

Sampai sekarang Jusoh tak faham pasal apa tempat exit keluar nak ke Jengka tu diberi nama Persimpangan Chenor... padahal tak ada kena-mengena langsung dengan kampung Chenor pun! Jauh sungguh. Kalau berjalan kaki, mahu dua tiga hari baru sampai... kalau banyak berhenti dari berjalan. Satu alasan yang boleh diterima akal ialah, masa highway tu siap dulu, DUN Jengka dimenangi oleh PAS dalam pilihanraya. Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man yang jadi wakil rakyat di situ. Barangkali itulah sebabnya kerajaan tak nak letak nama Jengka pada tempat kutip tol. Takut PAS ada bela hantu raya! Bertuah sungguh pengundi DUN Chenor yang berwakil-rakyatkan UMNO. Nama kampung Chenor tertulis pada tempat kutip tol highway Pantai Timur! Bangga sungguh penduduk Chenor mempunyai seorang wakil rakyat yang begitu berjasa sekali dalam memartabatkan nama kampung Chenor, walaupun kalau sekali pandang, dia takdok gaya Yang Berhormat langsung... mungkin lebih sesuai untuk jadi pelakon filem Melayu, menggantikan watak Saleh Kamil atau Omar Rojik, atau pun Sharif Dol, samseng Kampung Dusun. Barangkali!

“Kalu anak tanya lagi... di mana-mana tu di mana? Kat Penang ada Tuhan? Terengganu ada Tuhan? Selangor ada Tuhan? Gong Pasir ada Tuhan? Kampung Che Lijah ada Tuhan? Pulau Kerengga ada Tuhan? Kampung Gong Nangka ada Tuhan? Last-last kalu anak tanya lagi, Tuhan ada berapa orang, aku nak jawab apa? Budak kecik, Mang! dia bukan tahu apa... naluri dia rasa nak tahu, dia tanya...! Silap-silap dia tanya, dalam jamban ada Tuhan? Dalam taik lembu ada Tuhan? Nak jawab mende?” Jusoh buat-buat tanya soalan bangang.

“Soh, mu dengar aku kata dulu... Allah Taala tidak berada di tempat tertentu! sama ada atas ke... bawah ke... kiri ke... kanan ke... depan ke.. atau belakang ke! Tetapi itu bukanlah bermakna Allah Taala itu ‘ma’dum‘, iaitu ‘yang ditiadakan’, kerana Allah telah sedia ada wujud dengan zat-Nya. Dan juga Allah Taala tidak berada di semua tempat!” Rosman cuiba bersyarah....

”Kalu ikut je apa yang Qur’an bagitahu, yang Hadis bagitahu, kan senang? Allah duduk atas langit....! Apa yang susahnya? Budak kecik pun boleh faham, anak pun tak payah lagi nak soal lebih-lebih....! Habis bodoh pun anak tanya, langit tu tinggi tak... tinggi mana? Jawab je lah tinggi tinggi tinggi yang habis tinggi... Yang mu sampai bersusah payah nak memperjuangkan Tuhan ada di mana-mana, apa definasi langit, berjisim tidak berjirim, berjirim tapi tak ada zat... pasal apa? Mu ingat itu ke akidah Islam, Mang? Mu ingat Nabi dan sahabat kena halau dari Mekah, lari ke Madinah, bergabung dengan orang Madinah untuk berperang balik dengan saudara mara sendiri di Mekah... mu ingat Nabi berjuang untuk mempertahankan ‘Allah ada di mana-mana’ atau ‘Allah wujud tidak bertempat’ ke? Itu semua tak ada kena-mengena langsung dengan perjuangan Nabi, Mang!!!” Jusoh mula nak bongkar.

“Apa saja hujah mu tak ada nilai, Soh... selagi mu masih berpegang Allah duduk atas langit..! Itu akidah mujassimah yang kafir? Akidah Islam ialah Allah itu wujud tanpa bertempat! Kerana Allah Taala tidak memerlukan tempat, padahal langit itu ialah tempat. Yang memerlukan tempat ialah makhluk. Allah yang menciptakan tempat, maka tempat adalah makhluk. Allah Taala tidak memerlukan apa-apa daripada makhluk dan tidak bergantung kepada makhluk walau sikit pun!”

Dah lepas Maran. Depan tu simpang ke Jerantut, kalu nak lalu ikut Tong Kiat dan Felda Ulu Jempol. Tapi Jusoh nak masuk simpang Kampung Awah, lalu ikut Bandar Pusat. Dulu di Bandar Pusat ada satu kedai makan yang femes, orang panggil ‘kedai bini muda’... Jusoh fikir kedai tu mesti ramai mek siam, atau janda, atau anak dara comei-comei... rupa-rupanya, ceh! Suami kakak tuan kedai tu nama Muda!

“Mang, ok aku nak tanya... mu berdoa tadah tangan ke mana? Pasal apa mu tadah ke atas? Mu berdoa tu mu nak mintak dari siapa? Mu yang bermati-matian mempertahankan Allah ada di mana-mana, tapi wujud tidak bertempat, tidak di kiri kanan belakang depan.... tapi bila tadah doa angkat tangan ke atas bukan main tinggi macam nak sambut pahala jatuh dari langit! Pasal apa?”

Lepas masuk simpang kat Felda Kampung Awah, jalan banyak selekoh. Rosman yang jadi kelindan pun turut ambik kesempatan untuk konar sekali...

“Kalu gitu, Sifat 20 tu ajaran salah lah? Semua orang yang berpegang dengan Tauhid 20 tu sesat lah? Boleh ke kita terima penyesatan ini yang melibatkan nenek moyang kita, para ulama kita dan majoriti umat Islam di Asia Tenggara?”

Ceh! Asia Tenggara tu... apa tak cakap seluruh rantau Asia Pacific ke, Pertubuhan negara Pengeluar Minyak ke....

“Aku tanya pasal apa mu doa tadah tangan ke atas, mu tak jawab... mu tanya aku balik orang belajar sifat 20 sesat ke tidak.... ungkit sampai ke nenek moyang... apa benda lah mu Semang! Pasal apa dalam kitab semua sebut ‘Qur’an diturunkan’... kalau diturunkan, maknanya dari mana? Dari atas lah ngok! Pasal apa selalu disebut Allah menurunkan RahmatNya... menurunkan dari mana? Dari kiri kanan? Pasal apa disebutkan Allah turun ke langit dunia...? Kalu turun maknanya dari atas, kalu dari depan atau belakang orang tak sebut turun, itu disebut panjat!” Jusoh memperlekehkan Rosman, yang memang telah lama selekeh.

“Jadi... mu tetap menafikan sifat Wajib Allah yang terkandung dalam ajaran Sifat 20? Mu sedar tak Jusoh... Kalu menentang ajaran sifat 20, makna kita telah menolak ulama’ dahulu seperti Syeikh Daud Fatani yang mengarang kitab kuning! Kalu kita rasa diri kita dah pandai sangat, karanglah satu kaedah baru bagaimana nak mengenal Allah, tulislah kitab-kitab usuluddin biar orang ramai buleh mengaji....!” Rosman tidak mudah menyerah kalah. Macam hero Hindustan, biasanya kena dulu balas kemudian... tapi Rosman ni tak tahu hero apa... kena belasah dari awal sampai tamat cerita...!

“Kitab kuning pulak dah!.... Mu warna kitab pun jadi masalah ke..? Kalu aku mengaji kitab biru ke kitab hijau ke, tak boleh? Berapa juta orang dalam dunia ni yang tak pernah kenal kitab kuning... apa semua tu mujassimah ke?” Dalam hati Jusoh, aku tinggal Rosman tepi ladang sawit ni, suruh balik tumpang lori minyak, baru padan muka!

“Pendapat ulama ahli sunnah dari dulu sampai sekarang mengatakan jika kita memahami 20 sifat wajib dan 20 sifat mustahil dan 1 sifat harus bagi Allah, itu sudah cukup untuk makrifatullah bagi kita orang biasa. Bagi orang yang berada di maqam yang lebih tinggi seperti maqam fana’ mereka tidak memerlukan sifat 20 sebab golongan ini telah mengenali Allah lebih dalam dari itu. Kita kena sedar kita ni di maqam mana, Jusoh!” Rosman masih tak puas hati.

“Huh, karang belum balik kita gi makan kedai dekat stesen ESSO, ikan patin buah masak tempoyak...! peeergh, ikan pekasam...” Jusoh cuba menukar tajuk, untuk bagi hint kepada Rosman, bahawa falsampah yang Rosman syarahkan itu, boring nak mampus!

Rupa-rupanya... baru Jusoh tahu bahawasanya Rosman ni tergolong dalam kalangan manusia yang memang bodoh nak mampus!

Rosman menyambung, “Cara nak buat ibadah dibincang dalam ilmu feqah… cara nak mengenal sifat tuhan, kenabian, sam’iyat dalam ilmu tauhid, cara nak baiki hati, taubat, sifat mazmumah dan mahmudah di bincang dalam ilmu tasauf... setiap bidang dah ada sudut perbahasannya.. ulama dah bahagi siap.. tugas kita kena belajar je… Kalau ikut cara wahabi, memang huru haralah... cara nak solat, nak tayammum pun bincang dalam ilmu tauhid jugak…!” Rosman terbabas makin jauh.

“Eh Mang, mu tahu kisah Lukman Hakim... apa yang aku dengar, Lukman Hakim dan bercerai dengan bini dia Abby Abadi... Hari tu kecoh Lukman Hakim kena tangkap basah dengan Memey...!”

Tak pasti samada Rosman sengaja buat-buat tak faham yang Jusoh meluat dengar dia bersyarah, atau pun dia memang betul-betul bodoh dan perasan ingat Jusoh tak mampu jawab hujah dia.

“Bagi aku, inilah kesilapan besar umat Islam zaman sekarang dalam pencarian Tauhid mereka. Akibatnya mereka sendiri tidak mengenal Zat Tuhan mereka. mereka hanya menerima kalimat-kalimat al-Quran tentang ALLah Taala macam burung kakak tua! Aku tak kata setiap ayat Quran itu mesti dibahas sebelum dipegang dan diamalkan, tapi Quran bukanlah statik semuanya. Sami’na wa atho’na ada tempatnya yang khusus dan perbahasan adalah melalui pencarian kebenaran kepada perkara yang diperselisihkan dan dalam pencarian hikmah. Pasal apa umat Islam jadi jahil dengan Tuhan mereka sendiri? Di sinilah letaknya kesilapan ulama’ yang gagal memberikan kefahaman Tuhan kepada semua orang awam...”

Rosman rasa ada harapan buleh menang hari ni... Sebelum ni asyik kena belasah je, bila lagi nak merasa belasah Jusoh pulak...!

Jusoh rilek jap, tarik nafas... kemudian mula berkata, “Semang, mu dengar aku nak cerita pulak... Tujuan utama belajar Ilmu Tauhid atau Aqidah ialah untuk mengetahui bagaimana kita hendak mentauhidkan Allah dan nak tahu setiap perkara yang berkaitan dengan Rukun Iman! Kalu seseorang itu boleh kenal Allah dan Nabi tanpa perlu melalui pelajaran Sifat 20, tak apa lah dia tak belajar ikut cara tu. Untuk nak kenal Allah dan Nabi, tidak semestinya wajib belajar Sifat 20 atau dengan menghafal teori-teori Mantiq dan Falsafah! Para Sahabat Nabi, Para Imam Mujtahidin, dan Para Salafus Solihin, semuanya tak belajar Tauhid Sifat 20 ni! La Ilaha Illallah... tiada Tuhan selain Allah ialah bahagian pertama daripada kalimah pengakuan keimanan. Ia bermaksud tiada sesuatu pun yang patut disembah melainkan Allah. Muhammad Rasulullah adalah bahagian kedua. Maksudnya, pengabdian kepada Allah mesti dilakukan berdasarkan ajaran dan cara yang ditunjuk-ajar oleh Rasulullah SAW! Itulah Tauhid yang utama! Aku berpegang... mentauhidkan Allah dengan makna yang sebenarnya hendaklah merangkumi tiga perkara iaitu Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah, dan Asma was-Sifat! Orang tareqat panggil Tauhid 3 Serangkai! Aku mengaji aqidah atau tauhid berdasarkan nama-nama Allah dan sifat-sifat-Nya! Itulah Tauhid Asma’ Wassifat! Bagi aku, kaedah ini lebih baik dan aku lebih yakin kerana ia diambil terus daripada Qur’an dan Sunnah Nabi SAW! Ia tidak dihidangkan dalam bentuk ilmu falasafah, berteka-teki, berteori itu ini begitu begini, dan tidak dikaitkan dengan sebarang amalan mistik, kebatinan yang khurafat lagi tahyul serta syirik!! Tauhid Rububiyah ialah mengaku hanya Allah yang mencipta dan menguruskan seluruh alam... Tauhid Uluhiyah ialah mengaku Allah itu Esa dan segala ibadah hanya untuk Allah semata-mata.... Tauhid Asma was-Sifat ialah mengakui dan meyakini segala nama dan sifat Allah tidak sama dengan makhluk sedikit pun! Acu mu kabo tang mana yang sesatnya, Semang? Tunjukkan mana yang Mujassimahnya? Orang yang taksub gila babi buta pekak badak dengan Sifat 20, mereka akan kata orang Tauhid 3 Serangkai sesat... dia bukan faham pun! Tapi biasanya orang yang pegang Tauhid Asma’ was-Sifat, mereka tahu Sifat 20! Aku tahu, kalau ikut ilmu kalam Tauhid Sifat 20, ada Sifat Nafsiah iaitu dari zat itu sendiri, bukan sifat yang menumpang pada zat itu. Sifat ini dikatakan Nafsiah kerana tidak menunjukkan makna yang menumpang pada diri zat. Menurut Jumhur Ulama' sifat ini menunjukkan kepada zatnya, bukan menunjukkan kepada perkara yang menumpang pada zat. Sifat `Wujud' dikatakan Sifat Nafsiah ertinya, wujud itu bukan merupakan sifat yang menumpang atau menempel pada Zat Allah akan tetapi Zat Allah itu dengan sendirinya kewujudan Allah. Ataupun Zat Allah dengan Wujud Allah tidak dapat dipisahkan. Berbeza dengan Sifat Ma'ani seperti Ilmu, kerana sifat ini merupakan sifat yang menempel pada Zat Allah. Ertinya sifat Ilmu itu terpisah dengan Zat Allah. Sebab Allah mengetahui sesuatu dengan Ilmu-Nya, bukan dengan Zat-Nya. Hanya sifat `wujud' sahaja yang termasuk dalam Sifat Nafsiah... aku tahu semua tu, Mang! dan aku tak kata salah pun, tapi aku ni graduate universiti macam mu jugak... aku nak hafal dan nak fahamkan falsafah tu, sampai mengigau bercakap sorang-sorang tengah malam! Mu nak suruh aku ajar anak aku benda gitu? Mu ingat Islam ni diturunkan untuk orang cerdik saja ke? Mu ingat orang yang pakar dalam bahasa saja yang layak belajar ilmu Tauhid? Kalau ilmu Tauhid sesusah itu, apa nasib orang kelaut yang tak reti baca? Apa nasib orang yang SPM gred 9? Apakah mereka tak layak belajar ilmu Tauhid, sebab susah nak faham?”

Ambik nak! Kata dah, jangan cari penyakit....! Rosman ternganga, tak tahu nak cakap apa. Cuma sesekali dia terbatuk... bunyi macam itik kena pijak. Dah sampai Kota Gelangi. Perut Jusoh dah bagi isyarat, loceng makan. Jusoh ada angin medu. Tak buleh lewat makan. Perut mudah masuk angin. Sekali Jusoh sendawa, eeeeeerkrkk... bunyi sebijik macam kambing nak beranak.

Demikian adanya.
Bersambung...

No comments:

Post a Comment