Air Tuak Basi
Suatu pagi yang hening. Tenang sungguh. Daun dan pelepah nyor atas pokok pun duduk diam bertafakur tak goyang sikit habuk pun. Buah nyor komeng tetap setia bergayut pada seludang, tak luruh sebutir pun. Air laut lenang tak berkucoh. Tidak lah macam dua minggu lepas, walau pun hujan turun tak berapa lebat mana, cuma berberai-berai, tapi angin kuat berderohong sampai senget reban ayam belakang rumah. Ombak pun kasar bukan main, jangankan nelayan, ikan yu bodo dalam laut pun tak jadi nak main berhambat. Pening kepala! Buatnya mari pulak angin tenggara, jangankan bot sekuci pukat tangkul, jeragan pukat cerut pun balik awal! Dah kalu awak-awak netang-kalang mabuk laut, nak mukat pun dok buleh!
“Sama lah tu, Jusoh...! Memang mu tak kutuk Ali, tapi bila mu puji Mua’wiyah maknanya samalah macam mu mencela Ali! Perangai orang wahabi, memang benci kepada ahli bait!” Sejak Jusoh pergi ambik di ofis tadi, Rosman membebel tak berenti. Jusoh cuma menyampuk sekali-sekala, itupun dalam acuh tak acuh.
Jusoh membawa Rosman ke kedai Pok Mang untuk makan sarapan breakfast pagi. Tepi pantai Tanjung Lumpur dekat hujung kuala, sebelum sampai ke jeti lama stesen bot penambang nak ke Tanjung Api. Rosman mengadu rasa teringin sungguh nak makan roti canai cicah kuah kari ikan macam kedai kopi di Tranung. Dalam kuah kari ada bubuh ikan selayang dikerat kecik-kecik.
“Jangankan aku nak kutuk Ali, Mang... kalu aku dengar ada orang kutuk Ali depan aku, tobat aku lempang!” Jusoh cuba membetulkan tanggapan serong Rosman terhadap ahli sunnah wal jamaah yang sangat memuliakan semua sahabat Nabi SAW. Semua! Termasuk Ali dan Mu’awiyah! Inilah yang menimbulkan salah faham orang-orang seperti Rosman.
“Mu’awiyah memang gila kuasa. Sanggup memerangi Khalifah Ali. Perangai dia pun teruk! Minum arak. Pemabuk. Anak dia Yazid itulah yang bunuh Saidina Husin cucu Nabi di Karbala’! Saidina Hasan pun mati sebab Mu’awiyah yang bagi minum racun! Rasullullah pernah bersabda, ‘sesiapa yang memusuhi dan mencela Ali samalah seperti memusuhi aku, dan siapa yang memusuhi aku samalah juga memusuhi Allah’! Jadi jelas Mu’awiyah adalah musuh Allah!!" Rosman terus berlagak seperti ustaz yang baru dapat tauliah dari JAIS.”
Selepas melintas jambatan besar menghala ke Sungai Soi, Jusoh masuk simpang belah kiri dekat kedai ikan bakar Mail tepi semak pokok nipah, dan terus menyusuri jalan tepi pantai.
“Entah, aku tak pernah jumpa pun Hadis gitu... bila Nabi kata gitu? Tahun berapa? Di mana? Dalam peristiwa apa? Siapa lagi sahabat lain yang ada masa tu? Apa sebab musabab timbulnya hadis itu dari Nabi... dan siapa yang meriwayatkan Hadis itu? Kalau itu hadis sahih, disahihkan oleh siapa? Ceritalah sikit, Mang!” Walaupun soalan bertalu-talu, tetapi Jusoh bertanya dengan suara yang mendatar sahaja.
“hahaha.. Itu memang soalan lawak antarabangsa puak wahabi. Sikit-sikit tanya hadis sahih ke dok... manalah aku hafal siapa perawi dan apa Asbabul-Wurudnya...?” Rosman menepis bola tendangan lemah dari Jusoh. Dalam hati Rosman ada rasa kembang jugak sebab mampu sebut Asbabul-Wurud, iaitu sebab musabab timbulnya sesuatu Hadis. Mungkin selama ini Jusoh hanya tahu Asbabul Nuzul je, iaitu sebab musabab turunnya Ayat Qur’an...
Radio CD kereta sedang mendayu mengalunkan lagu nyanyian Sanisah Huri... Kekanda di medan peerang... Adinda di medan seeni... Sama-sama berjuang, sama-sama berbakti... Semoga tabah hatii..... Majulah kekanda maju, jangan undur... Dinda mohon doaa restu... Rela sehidup semati bersama mu... Perwiiraa kuuu...
Bila dengar lagu ni, Jusoh mesti senyum dalam hati teringat ceramah Mat Sabu di Cengal Lempung beberapa tahun dulu. Masa negara tengah heboh dengan wabak JE. Askar Melayu dikerah untuk menembak babi-babi di kandang ternak. Mat Sabu berpantun menyindir pasukan tentera dengan mengubah lirik lagu Perwira ku....
Kekanda di medan perang
Adinda di medan seni
Kini tinggal lah dinda seorang
Kanda pergi tembak babi!
Dalam belasan ribu hadirin yang macam laut itu, tidak ada seorang pun yang tidak ketawa, kecik besar tua muda semua pakat suka kok-kik kok-kik. Hatta dua tiga orang anggota polis dalam kereta peronda yang ditugaskan mengawal ceramah punyalah gelak bergelekek sampai berhinggut kereta.
“Soh, Mu tahu apa makna ‘Mu’awiyah’? Semua ulamak sunni sebulat suara berpendapat bahawa ‘mu’awiyah’ itu bermaksud ‘salakan anjing betina’! Sebab tu aku kata wahabi bukan ahli sunnah wal jamaah! Mu bukan tak tahu siapa mak ayah Mu’awiyah, Soh...!” Mulut Rosman semakin celupar mengutuk Mu’awiyah.
Jusoh diam malas nak jawab. Dia memandu sambil memandang keluar. Lengang. Tak nampak ramai orang duk gi mari. Barangkali ramai yang turun kelaut. Cuma ada nampak seorang mak cik tua tengah junjung talam atas kepala nak gi hantar kuih akok dan buah ulu ke kedai kopi.
Lepas tu, masa sampai dekat dengan sekolah, nampak sorang ‘ajmain’ pakai kain batik buruk kilas senget tengah melintas jalan lambat-lambat. Langkah pun macam huruf S. Nak wat guane, nak jadi doktor sangat. Cocok lengan sendiri. Nyudahnya, kepala jadi mereng. Orang Tranung kata, lari steseng!
Rosman menyambung, “Ayah Mu’awiyah ialah Abu Sufyan bin Harb! Dia ni lah yang jadi punca berlaku Perang Badar! Dalam Perang Uhud dan Perang Khandaq pulak, Abu Sufyan ni lah yang jadi kepala haliang tentera kafir...! Mu tahu ke Jusoh, dalam Perang Uhud, siapa perempuan kafir yang belah dada nak makan jantung Saidina Hamzah? Namanya Hindun. Inilah bini Abu Sufyan! Hindun inilah emak Mu’awiyah...!”
Rosman bersyarah panjang lebar memburukkan keluarga Mu’awiyah, lagaknya seperti Mami Jarum Pantai Timur! Melihat Jusoh tak banyak cakap, Rosman yakin Jusoh tak berapa tahu sangat pasal sejarah. Selama ini Jusoh hanya tahu membid’ahkan orang je!
“Itu masa sebelum dia masuk Islam, buat apa nak ungkit? Bukankah akhirnya semua keluarga Abu Sufyan masuk Islam?” Suara Jusoh masih bersahaja.
“Eleh! Masuk Islam pun sebab terpaksa. Pada masa kecederaan pulak tu! Dah last minit! Lagi pun ramai ulamak yang percaya Abu Sufyan dan Hindun ni munafik! Dah tak ada Mekah orang nak ikut dia, sebab tu dia terpaksa masuk Islam. Islam second gred!! Kesan kejahatan dia masa Perang Uhud tak boleh dilupakan begitu saja....!” Ceh! Nada suara Rosman macam nak pergi menuntut bela atas kematian tentera Islam dalam Perang Uhud pulak.
“Kalu gitu, Khalid al-Walid pun munafik jugak lah...? Khalid yang menyebabkan pasukan Islam kalah dalam Perang Uhud. Khalid al-Walid yang memimpin pasukan berkuda Quraish melakukan helah, pura-pura berundur, rupanya dia pusing bukit Uhud, datang balik serang tentera Islam dari belakang.....!” Nampak gaya Jusoh macam nak start panas enjin je.
“er... ish... er... kita bercakap tentang Mu’awiyah dengan Ali, tak ada kaitan dengan Khalid al-Walid...” Suara Rosman mula kendur.
“Sebelum Abu Sufyan masuk Islam pun, Nabi sendiri tetap hormatkan Abu Sufyan sebagai pemimpin Quraish. Masa Penaklukan Kota Mekah, Nabi siap buat pengumuman kepada penduduk Mekah yang belum Islam, sesiapa yang berlindung dalam masjid, dia selamat! Sesiapa yang berlindung dalam rumah Abu Sufyan, dia selamat! Sesiapa yang berlindung dalam rumah Hakim bin Hizam, dia selamat....!!! Apa maknanya tu, Mang? Kenapa Nabi memuliakan Abu Sufiyan padahal dia belum masuk Islam pun lagi?” Jusoh buat-buat tanya Rosman.
Rosman terkedu sekejap. Jusoh nak sambung, tapi dah dekat dah nak sampai kedai Pok Mang. Jusoh sempat memandang ke arah bangsal pukat di sebelah kanan. Nampak dua ekor kambing tepi bangsal. Yang jantan tengah mengejas yang betina. Barangkali sedang mencuba nasib, tengah pujuk kambing betina ajak bergurau senda antara pusat dan lutut lah tu! Yang betina pulak buat-buat jual mahal, tak ubah macam bohsia bila mat rempit mengayat ajak gendong motor gi tengok wayang gambar kat bandar.
“Mu tahu salah seorang isteri Nabi, namanya Ummul Mukminin Ummu Habibah...” Jusoh terus bertanya dengan tenang.
“Aku tahu lah ada isteri Nabi yang nama macam gitu.....!” Rosman agak tergagap macam tak yakin je yang dia hafal semua nama keluarga Nabi SAW.
Jusoh parking kereta bawah pokok nangka tepi kedai. Ada nampak empat lima butir buah nangka berende atas pokok. Buleh tahan jugak, kecik sikit pada tempayan. Dibalut dengan baju buruk. Kalu nampak dari jauh tengah malam, sebijik macam hantu langsuir tengah panjat pokok!
“Ummu Habibah ialah anak perempuan Abu Sufyan, kakak kepada Mu’awiyah dan Yazid! Namanya yang sebenar ialah Ramlah binti Abu Sufyan! Dia ni salah seorang as-Sabiqun al-Awwalun, golongan yang mula-mula masuk Islam atas muka bumi ni!! Sebelum orang lain Hijrah ke Madinah pun, Ummu Habibah sudah berhijrah ke Habsyah, bersama suami dia masa tu, Ubaidillah bin Jash. Sampai di Habsyah, suami dia murtad masuk Kristian! Tapi dia tetap mempertahankan imannya. Akhirnya melalui perantaraan Raja an-Najasyi, Nabi SAW meminang dan akhirnya menikah dengan Ummu Habibah! Maknanya, Abu Sufiyan ni salah seorang bapa mertua Nabi, dan Muawiyah pulak, bukan setakat sahabat biasa, malah dia adalah adik ipar Nabi SAW sendiri.!!!” Muka Rosman bertukar jadi macam air tuak basi.
Jusoh dan Rosman duduk di meja hujung tepi dinding. Kedai kayu atap zink. Memang tak lawa langsung. Pendek kata, kalu ada pertandingan kedai makan paling cantik di DUN Tanjung Lumpur, dalam tangan kedai Pok Mang dapat nombor sembilan belas! Tapi bagi Jusoh, kedai gini sangat membangkitkan nostalgia masa kecik-kecik zaman tv hitam putih dulu! Sikap Pok Mang sendiri memang belaga angin molek dengan Jusoh. Kalu nampak je Jusoh sampai, Pok Mang yang tengah tebar roti terus mulut po-pek pok-pek ajak Jusoh sembang. Makanan yang ada pun semua yang jenis klasik.... selain roti canai kari ikan selayang, nasi lemak lauk ikan bilis, nasi minyak lauk daging ayam, nasi dagang, nasi kunyit, mi goreng halus dan mi goreng kasar dalam talam, ada macam-macam jenis kuih lama masa zaman kegemilangan mutor pukat kilat Mat Konggo dulu. Ada tepung kapur, roti keramat, bekang kuah lemak dan kuah manis, jagung gaul nyor, jemput bawang, pisang rebus, ubi stela rebus, roti paung inti nyor, inti kacang, nasi kapit kuah, nasi kapit sambal taik minyak, dan beberapa jenis kuih lagi yang payah nak eja.
Lepas mintak air dan ambik makanan, Jusoh menyambung, “Mu’awiyah dan abangnya Yazid lebih dulu masuk Islam dari Abu Sufyan dan Hindun... tetapi secara senyap-senyap sebab nak jaga hati mak ayah dia! Lepas masuk Islam, Abu Sufyan sangat gigih membela Islam dan ikut berperang bersama pasukan Islam, samada semasa bersama Nabi dan juga selepas Nabi wafat. Masa Perang Taif, matanya buta sebelah kena anak panah musuh... tapi dia masih tetap ikut sama dalam beberapa siri peperangan selepas itu semasa Islam menakluk seluruh semenanjung Arab. Pada masa Perang Yarmuk, masa tu Khalifah Abu Bakar baru wafat, dan Umar al-Khattab dilantik jadi Khalifah, Abu Sufiyan turut berperang di bawah panji pasukan yang dipimpin oleh anaknya Yazid! Masa itulah mata Abu Sufyan yang sebelah lagi buta kena anak panah oleh pasukan pemanah dari Armenia. Dan, dalam perang Yarmuk itulah juga, seorang lagi anak perempuannya yang bernama Juwairiyah binti Abu Sufiyan telah gugur syahid! Selepas kedua-dua matanya buta demi mempertahankan Islam, Abu Sufiyan terus menetap di Madinah sehingga wafat pada tahun 31 Hijrah. Jenazahnya turut disolatkan oleh Khalifah Usman bin Affan sendiri, dan dimakamkan di perkuburan al-Baqik!!!! Itu ke ciri-ciri orang munafik, Mang?”
Rosman terdiam. Jusoh bangun nak tambah kuah kari roti canai. Memang Jusoh suka cedok sendiri sebab boleh ambik ikan lebih sikit.
“Ya sila! sila... owoh, wat macam sekala ah...! hahaha...! Encik Soh kita kalu makan, piring kuah tiris sokmo..!” Pok Mang bergurau dengan Jusoh. Ada dua puak pekerja MPK tengah makan di meja tengah. Lepas tu ada dua orang staff TNB makan di meja satu lagi, dan meja luar belah sana kalau tak silap orang Pejabat Pertanian atau Lembaga Pertubuhan Peladang.
Lepas tambah kuah kari dan duduk semula di meja tepi dinding, Jusoh menyambung, “Mu faham ke apa yang dikatakan sahabat Nabi, Mang? Mu tahu tak apa ciri-ciri sehingga seseorang itu untuk layak dipanggil sahabat? Dan mu tahu ke betapa tingginya martabat seseorang yang berstatus sahabat Nabi?” Jusoh mula main kucing-kucing yang mempertikuskan Rosman.
“Ya lah, orang yang pernah jumpa Nabi semua dipanggil sahabat. Mereka pun manusia biasa, bukan maksum... sahabat pun ada buat salah....!” Rosman masih cuba menegakkan tali kasut buruknya.
“Bukan setakat pernah jumpa Nabi! Syarat utama ialah mesti beriman dan mesti mati dalam Islam. Itu baru boleh digelar sahabat! Kalau jumpa Nabi siang malam pun, tapi sebelum mati dia murtad, itu bukan sahabat! Orang yang munafik tidak boleh dipanggil sahabat! Mana mungkin mayat orang munafik dimakamkan di al-Baqik..!!” Jusoh terus membedal dan membidas.
Jusoh terus tak boleh brek dah, “Mu tak pernah dengar dan baca ke, berapa banyak Ayat Qur’an yang memartabatkan sahabat Nabi? Berapa banyak Hadis Nabi SAW yang menegaskan tentang keutamaan dan kemuliaan para sahabat? Dari Abu Said al-Khudri, katanya Nabi SAW bersabda ‘Jangan kamu mencerca para sahabat ku. Sesungguhnya kalau ada di kalangan kamu mensedekahkan emas sebesar bukit Uhud sekali pun, ia tidak sama dengan nilai secupak makanan yang disedekahkan oleh para sahabat! Dan Nabi SAW sendiri memberi jaminan, semua sahabat baginda akan masuk Syurga!”
Jusoh terus menambah, “Para sahabat pernah bertanya Nabi, siapakah golongan manusia yang paling baik? Baginda menjawab, generasi yang hidup pada kurun ku (sahabat), kemudian yang datang selepas itu (Tabi’in), kemudian yang datang selepas itu (tabi’ tabi’in)... Inilah tiga generasi terbaik dalam sejarah umat manusia, yang dijamin oleh Nabi SAW...!!!”
Rosman terpele’ok terus. Jusoh terus menambah, “Dalam Sahih al-Bukhari, ada Hadis yang berbunyi, daripada Ummu Haram, bahawa dia pernah mendengar Nabi SAW bersabda, tentera yang pertama di kalangan umat ku yang berperang merentasi lautan, wajib lah mereka itu Syurga. Kemudian Nabi bersabda lagi, tentera yang pertama di kalangan umat ku yang memerangi Caesarea, Tuhan ampunkan semua dosa mereka!! Mu tahu Mang, peperangan pertama umat Muhammad SAW di lautan ialah Peperangan Cyprus. Dan ternyata pasukan Islam itu dipimpin oleh Panglima Mu’awiyah bin Abu Sufiyan! Ummu Haram sendiri gugur syahid dalam peperangan Cyprus itu. Dan mu tahu Mang, orang yang pertama memerangi bandar Qaesarea ialah anaknya Yazid bin Mu’awiyah...!!!”
“Ummu Haram tu siapa? Aku ada baca Hadis tu, dan ulamak berpendapat Hadis itu memang ditujukan kepada Ummu Haram, tak ada kena-mengena dengan Mu’awiyah pun!” Rosman masih bernafas!
“Ummu Haram ialah isteri kepada Ubadah bin Samit, seorang sahabat besar dan tokoh Ansar yang turut serta dalam Peperangan Cyprus. Ummu Haram hanya mengikut suaminya. Malah isteri Mu’awiyah sendiri pun turut berperang di Cyprus itu. Yang memimpin pasukan ialah Mu’awiyah. Memang Ummu Haram gugur syahid, tetapi Hadis itu menyebut semua yang berperang, bukan hanya yang gugur Syahid....!”
Kalau tadi muka Rosman macam air tuak, tetapi sekarang telah bertukar jadi macam kepala taik! Suasana pagi yang tadinya tenang dan hening, kini bertukar menjadi agak meriah bila terdengar bersahut-sahutan bunyi enjin bot pukat kilat dan pukat tunda yang berjerudu mula memasuki kuala sungai Kuantan menuju ke jeti. Dekat bangsal pukat, yang terlihat hanya kambing betina sedang melangkah longlai dan berserabai, tapi muka tetap senyum! Mungkin masih terkenang-kenang peristiwa sebentar tadi. Yang jantan sudah hilang entah ke mana, tak nampak kelibat pun. Memang dasar jantan, habis madu botol disimpan, untuk isi madu lain pulak....!
Dalam perjalanan balik ke ofis, Jusoh masih terus membasuh Rosman dalam kereta, tetapi akan diceritakan dalam siri yang akan datang.
Demikian adanya.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment